Oh! Artis
“Saya Tanya Dia Dahulu” – Elisya Sandha Minta Izin Suami Sebelum Lakon Babak Mesra
Elisya Sandha tanya suami dahulu sebelum jayakan babak mesra dalam drama.
Bukan mudah nak membawa watak yang penuh konflik, lebih-lebih lagi bila melibatkan babak mesra yang boleh mengundang pelbagai persepsi penonton.
Itulah yang dilalui pelakon Elisya Sandha apabila diberi tanggungjawab menjayakan watak Nikita dalam drama Madu Atau Racun bersama Aliff Aziz.
Elisya Sandha dapatkan pandangan suami sebelum terima babak mesra
Menurut Elisya dia tidak terus menerima tuntutan watak berkenaan tanpa berbincang terlebih dahulu, terutama dengan suaminya.
Pelakon itu menjelaskan setiap babak romantis yang dilakonkan bersama Aliff tidak dibuat secara berlebihan.
Sebaliknya, semuanya melalui perbincangan antara dirinya, Aliff dan pengarah drama berkenaan, Eyra Rahman.
Bila sampai set penggambaran, saya terus masuk watak. Jadi, apa sahaja yang saya buat di situ adalah hasil perbincangan antara saya dengan Aliff dan juga pengarah. Kalau hendak jadikan sesuatu babak itu, kena ada perbincangan. Kami akan saling bertanya sama ada okey atau selesa untuk dibuat, termasuk mendapatkan nasihat pengarah. Kita tidaklah terlalu berlebihan, tetapi ada juga babak seperti itu untuk menunjukkan watak Nikita ini seorang penyondol. Bila mereka setuju, saya pun teruskan.
Elisya berkata, apa yang dipaparkan menerusi watak tersebut hanyalah sebahagian daripada tugasnya sebagai seorang pelakon.

Jelasnya lagi, lakonan itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kehidupan peribadinya. Malah, keluarga dan suaminya juga memahami tuntutan kerjaya dalam dunia lakonan.
Suami saya juga begitu. Saya tanya dia dahulu. Bila pertama kali dapat skrip, orang pertama yang saya tanya adalah suami saya. Saya bacakan babak itu dan minta pendapat, kemudian dia tiada masalah.
Dalam masa sama, Elisya turut menyentuh mengenai persepsi penonton terhadap babak romantis yang dilihat di kaca televisyen.
Katanya, kebanyakan babak seperti itu tidak semestinya berlaku seperti yang ditonton, sebaliknya menggunakan teknik kamera bagi menghasilkan kesan visual yang lebih meyakinkan.

