Oh! Arena
Donald Trump Diboo Penyokong Ketika Penyerahan Trofi Final Piala Dunia 2026
Donald Trump diboo penyokong ketika hadir pada majlis penyerahan trofi Final Piala Dunia 2026 di New York New Jersey.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sekali lagi menjadi perhatian dunia apabila menerima sorakan boo daripada penyokong ketika menyerahkan trofi Final Piala Dunia 2026.
Reaksi itu berlaku di Stadium New York New Jersey sejurus Trump bersama Presiden FIFA, Gianni Infantino turun ke padang untuk menyampaikan trofi kepada juara baharu, Sepanyol yang menewaskan Argentina 1-0.
Semua tunjukkan betapa bencinya mereka dengan Donald Trump

Kehadiran Trump dan Infantino di atas pentas tidak disambut mesra apabila penyokong mula bersorak boo sepanjang majlis penyerahan trofi berlangsung.
Malah, sebelum sepak mula final, Trump turut menerima reaksi sama apabila wajahnya dipaparkan seketika di skrin besar stadium selepas persembahan lagu kebangsaan Amerika Syarikat.
Menurut laporan media, Trump menyaksikan perlawanan akhir itu dari ruang khas yang dilindungi kaca bersama Gianni Infantino, Presiden Mexico Claudia Sheinbaum, Perdana Menteri Kanada Mark Carney serta beberapa pegawai pentadbiran dan anggota keluarganya.
Sebelum ini, Trump turut menjadi perhatian apabila meminta Infantino menilai semula hukuman kad merah yang dikenakan terhadap penyerang Amerika Syarikat, Folarin Balogun dalam aksi pusingan 32 menentang Bosnia dan Herzegovina.
Trump cetus kontroversi sepanjang kejohanan

FIFA kemudian mengundang kontroversi apabila menggantung hukuman penggantungan satu perlawanan terhadap Balogun, sekali gus membolehkannya beraksi sebelum Amerika Syarikat tersingkir selepas tewas 4-1 kepada Belgium.
Walaupun tidak menghadiri perlawanan lain sepanjang Piala Dunia 2026, Trump sebelum ini dilihat kerap muncul dalam beberapa acara sukan utama sejak memulakan penggal kedua pemerintahannya termasuk Final NBA, Daytona 500 dan Super Bowl.

