Oh! Artis
Ismahalil Hamzah Buat Video Pesanan Terakhir Kepada Isteri Dan Anak-Anak
Ismahalil Hamzah reda selepas dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan sempat menitipkan pesanan buat keluarga serta sahabat.
“Jaga ibu baik-baik.” Ringkas pesanannya, tetapi cukup membuatkan suasana dalam sebuah video berdurasi seminit 15 saat itu terasa begitu berat.
Pengasas dan penyampai radio Bapakku FM, Ismahalil Hamzah dilihat memeluk isterinya, Nor Haslinda Abdul Manaf sambil ditemani anak mereka, Isma Hakim selepas dijatuhi hukuman penjara 30 tahun, hari ini.
BACA: Mahkamah Rayuan Ketepikan Keputusan Mahkamah Tinggi, Ismahalil Dipenjara 30 Tahun Kes Dadah
Pesanan Ismahalil Hamzah buat anak-anak

Dalam rakaman yang dikongsikan Nor Haslinda kepada rakan-rakan dalam kumpulan WhatsApp Bapakku FM, Ismahalil, 53, kelihatan tenang ketika menyampaikan beberapa pesanan kepada keluarga dan sahabat.
Antara yang paling menyentuh hati adalah apabila dia meminta anak-anak supaya terus mendoakannya.
Kepada anak-anak ayah, doakan ayah, mungkin ini bahagian ayah. Kepada lawyer, kepada semua sekali.- Katanya.
Di sisinya, wajah Nor Haslinda pula kelihatan sayu dan sebak mendengar ucapan suaminya.
Anggap sebagai ketentuan Allah

Walaupun berdepan hukuman penjara yang panjang, Ismahalil tidak menyalahkan mana-mana pihak atas apa yang berlaku.
Demi Allah saya tak ada nak menyalahkan siapa-siapa. Semua ketentuan Allah. Terima kasih semua yang mendoakan. Kita dah berusaha dan kita telah mendoakan, insya-Allah.- Katanya.
Ismahalil turut menyifatkan rakaman berkenaan sebagai video terakhirnya sebelum meneruskan kehidupan seterusnya.
Ismahalil Hamzah luah rasa syukur isteri setia dengannya

Suasana menjadi lebih sayu apabila Ismahalil meninggalkan pesanan khusus kepada anaknya supaya menjaga ibu dengan baik sepanjang ketiadaannya.
Insya-Allah. Demi Allah, terima kasih semua sekali sahabat-sahabat… terima kasih semua sekali. Hakim, jaga ibu bagi-baik. Ibu, setia dengan ayah, insya-Allah… Insya-Allah, sayang.- Katanya.
Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun terhadap Ismahalil sekali gus mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini melepas dan membebaskannya atas kesalahan mengedar dadah pada September 2021.

