Connect with us

Oh! Media

KPM Nafi Dakwaan Najib Berkenaan Pengurangan Kadar Peruntukan Makanan Murid SBP

Umum

KPM Nafi Dakwaan Najib Berkenaan Pengurangan Kadar Peruntukan Makanan Murid SBP

Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kononnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah mengurangkan kadar peruntukan bagi makanan untuk murid Sekolah Berasrama Penuh (SBP) kendalian KPM.

ADVERTISEMENT

Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, harga makanan asrama adalah berdasarkan menu yang diputuskan mengikut keperluan nutrisi murid seperti ketetapan Kementerian Kesihatan untuk bekalan makanan bermasak.

Menurutnya, pengiraan keseluruhan harga kontrak juga mengambil kira bilangan murid dan lokasi sekolah.

“KPM tidak pernah mengurangkan kadar harga makanan.

“Sebagai contoh, semakin ramai murid, semakin rendah harga kontrak dan semakin jauh sekolah dari kawasan bandar, semakin tinggi harga kontrak bagi sekolah tersebut,” katanya di sini hari ini.

Baru-baru ini, Najib menerusi akaun Twitternya mendakwa kerajaan PH telah mengurangkan kadar makanan sehari di SBP daripada RM18 kepada RM14.50.

Sementara itu, KPM berkata, penetapan harga kontrak juga berdasarkan kepada kontrak yang dianugerahkan melalui tender terbuka dan dipersetujui antara kontraktor dengan kerajaan.

Jelasnya, bagi tender yang baru dianugerahkan untuk tahun ini, pelantikan kontraktor adalah secara kaedah tender terbuka melalui sistem ePerolehan sepenuhnya.

“Pemilihan kontrakor adalah berdasarkan kriteria-kriteria selaras dengan garis panduan, peraturan serta pekeliling berkaitan perolehan yang berkuat kuasa.

“KPM memilih kontraktor melalui kaedah tender terbuka di mana ia dilaksanakan secara telus dan penuh integriti,” katanya.

Dalam pada itu, KPM berkata, adalah menjadi prinsip kementerian untuk memastikan setiap murid di SBP mendapat makanan yang berkualiti.

“KPM memberi jaminan tidak akan berkompromi dalam hal ini,” katanya.

Sumber: Kosmo

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas