Connect with us

Oh! Media

COVID-19: Hukum Baca Qunut Nazilah Dalam Solat Fardhu

Umum

COVID-19: Hukum Baca Qunut Nazilah Dalam Solat Fardhu

SOALAN:
Bolehkah seseorang itu membaca Qunut Nazilah di dalam solatnya disebabkan Covid-19 yang berlaku sekarang ini? Mohon penjelasan.

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Qunut Nazilah merupakan suatu perbuatan yang tsabit di sisi syarak. Ia dilakukan setiap kali ada sahaja peristiwa tertentu atau lebih khususnya suatu musibah menimpa umat Islam. Rasulullah SAW sendiri pernah melakukan Qunut Nazilah di dalam solat ketika berlakunya pengkhianatan dan juga pembunuhan terhadap beberapa orang sahabat baginda. Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A beliau berkata:

أَنَّ رِعْلاً، وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ وَبَنِي لَحْيَانَ اسْتَمَدُّوا رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَلَى عَدُوٍّ، فَأَمَدَّهُمْ بِسَبْعِينَ مِنَ الأَنْصَارِ، كُنَّا نُسَمِّيهِمُ الْقُرَّاءَ فِي زَمَانِهِمْ، كَانُوا يَحْتَطِبُونَ بِالنَّهَارِ وَيُصَلُّونَ بِاللَّيْلِ، حَتَّى كَانُوا بِبِئْرِ مَعُونَةَ قَتَلُوهُمْ، وَغَدَرُوا بِهِمْ، فَبَلَغَ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم، فَقَنَتَ شَهْرًا يَدْعُو فِي الصُّبْحِ عَلَى أَحْيَاءٍ مِنْ أَحْيَاءِ الْعَرَبِ، عَلَى رِعْلٍ وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ وَبَنِي لَحْيَانَ‏
“Sesungguhnya Ri’l, Zakwan, Usaiyyah dan Bani Lahyan meminta bantuan daripada Nabi SAW untuk menyediakan kepada mereka beberapa orang lelaki untuk memerangi musuh mereka. Maka baginda SAW menghantarkan kepada mereka tujuh puluh orang lelaki dari golongan Ansar yang dikenali sebagai Al-Qurra’ (penghafaz al-Quran). Maka mereka ini membantu untuk mengumpul kayu api pada siang, dan bermunajat kepada Allah pada waktu malam. Ketika mana mereka (golongan Ansar) sedang berada di lembah Ma’unah, mereka dibunuh dan dikhianati. Apabila berita ini sampai kepada Rasulullah, baginda membaca Qunut (Nazilah) selama sebulan dalam solat Subuh mendoakan (kecelakaan) ke atas sebahagian Arab, Ri’il, Zakwan, Usaiyyah dan puak Lahyan.” [Riwayat Al-Bukhari (4090)]

Selain itu, antara riwayat lain yang menyebutkan berkenaan dengan bacaan Qunut Nazilah ini adalah seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata:

بَيْنَا النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُصَلِّي الْعِشَاءَ إِذْ قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ ‏ ثُمَّ قَالَ قَبْلَ أَنْ يَسْجُدَ اللَّهُمَّ نَجِّ عَيَّاشَ بْنَ أَبِي رَبِيعَةَ، اللَّهُمَّ نَجِّ سَلَمَةَ بْنَ هِشَامٍ، اللَّهُمَّ نَجِّ الْوَلِيدَ بْنَ الْوَلِيدِ، اللَّهُمَّ نَجِّ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ، اللَّهُمَّ اشْدُدْ وَطْأَتَكَ عَلَى مُضَرَ، اللَّهُمَّ اجْعَلْهَا سِنِينَ كَسِنِي يُوسُفَ
Ketika Nabi SAW sedang mengerjakan solat Isyak sebaik sahaja baginda membaca سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ kemudian terus membaca doa sebelum baginda sujud dengan sebutan: “Ya Allah, selamatkanlah ‘Ayyash bin Abi Rabi’ah, Ya Allah, selamatkanlah Salamah bin Hisyam. Ya Allah, selamatkanlah Al-Walid Ibn al-Walid. Ya Allah, selamatkanlah golongan yang tertindas dari kalangan orang beriman. Ya Allah, Kau beratkanlah hukuman-Mu ke atas suku kaum Mudhar. Ya Allah, jadikanlah ia seperti tahun-tahun Yusuf (tujuh tahun yang penuh kesulitan).” [Riwayat Al-Bukhari (122)]

Justeru, hadith-hadith di atas ini jelas menganjurkan bacaan Qunut Nazilah di dalam solat yang dibaca semasa i’tidal pada rakaat solat yang terakhir. Selain dari mendoakan keburukan ke atas musuh-musuh Islam yang telah melakukan kejahatan dan menyakiti umat Islam, Qunut Nazilah juga dituntut sekiranya berlaku wabak penyakit atau bencana yang menimpa umat Islam. Imam Al-Nawawi berkata: “Disyariatkan Qunut dalam kesemua solat fardhu disebabkan nazilah (kejadian tertentu yang berlaku) dan bukanlah (ia dibaca) secara mutlak (yakni tanpa sebarang sebab).” [Rujuk: Minhaj Al-Thalibin, Al-Nawawi (1/222)]

Manakala Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam mensyarahkan kata-kata Imam Al-Nawawi di atas beliau berkata: “Sama ada Nazilah (kejadian yang berlaku) itu bersifat umum atau pun perkara khusus yang melibatkan masyarakat umum yang mana kemudharatannya akan melibatkan umat Islam seperti wabak dan juga Taun, demikian juga hujan lebat yang memudharatkan.” [Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, Ibn Hajar al-Haitami (2/68)]

Oleh yang demikian, merujuk kepada situasi semasa negara kita khususnya dan dunia secara umumnya yang diuji dengan wabak penyakit berjangkit Covid-19 ini, maka kami menyatakan adalah dituntut bagi umat Islam untuk membaca Qunut Nazilah di dalam solat mereka.

Berikut kami nyatakan beberapa hukum hakam Qunut Nazilah secara ringkas:

  • Disunatkan untuk dibaca secara kuat sama ada di dalam solat al-sirriyyah (seperti solat Zohor dan solat Asar) atau solat al-jahriyyah (seperti solat Subuh, Maghrib, dan Isyak).
  • Qunut Nazilah hanya disyariatkan di dalam solat-solat fardhu sahaja dan tidak pada solat-solat sunat.
  • Boleh dibaca di dalam solat fardhu berjemaah mahupun solat fardhu secara bersendirian. Jika dilakukan secara berjemaah, imam membacanya secara kuat dan makmum mengaminkannya. Jika dilakukan secara berseorangan maka ia dibaca secara perlahan.
  • Dibaca pada rakaat solat yang terakhir, semasa i’tidal selepas bangun daripada rukuk.
  • Tidak perlu melakukan sujud sahwi sekiranya tertinggal Qunut Nazilah kerana ia bukan termasuk di dalam sunat ab’aadh.
  • Disunatkan mengangkat kedua tangan semasa berdoa.
  • Tidak perlu menyapu tangan ke muka selepas berdoa.

Berikut pula merupakan antara cadangan doa qunut nazilah :

‎اللَّهُمَّ اهْدِنا فِيمَنْ هَدَيْتَ وَعَافِنا فِيمَنْ عَافَيْتَ وَتَوَلَّنا فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ وَبَارِكْ لنا فِيمَا أَعْطَيْتَ وقِنَا شَرَّ مَا قَضَيْتَ إِنَّكَ تَقْضِي وَلاَ يُقْضَى عَلَيْكَ وَإِنَّهُ لاَ يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ
‎اللهم إلَيكَ نَشْكُو وَإيَّاكَ نَرْجُو أَنْ تَدْفَعَ عَنَّا الْبَلَاء والوَبَاء والفِتَنَ والمِحَنَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بطَن يا أرحم الراحمين ويا مُجِيبَ السَّائلِين
‎اللهم إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ وَالجُنُونِ والْجُزَامِ وَمِنْ سَيِّءِ الأَسْقَام
‎وصَلَّى اللهُ وسلَّم علَى نَبيِّنا محمَّدٍ وعَلى آله وصَحْبِهِ أجمعين

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa bacaan Qunut Nazilah semasa musibah menimpa umat Islam adalah disyariatkan dan hukumnya adalah mustahab (sunat). Dalam usaha semua pihak untuk mendoakan keselamatan dan kesejahteraan umat Islam dari sebarang wabak dan penyakit berjangkit.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Oleh: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas