Oh! Inspirasi
Lelaki OKU Berkerusi Roda Sejauh 1km Sehari Untuk Jual Nasi Lemak
Oleh
Sebagai manusia biasa, kadang kala kita lupa untuk bersyukur dengan nikmat yang telah dikurniakan Allah SWT.
Jika lihat di sekeliling kita, ramai yang kais pagi makan pagi semata-mata untuk mencari sesuap nasi.
BACA: Dapat 3 Tawaran, Dr Sheikh Muszaphar Dilema Nak Pilih Sekolah Terbaik Untuk Anak
Seperti kisah yang dikongsi portal WeirdKaya, seorang lelaki kurang upaya dikenali sebagai Mohd Nor Bin Dini ke Nu Sentral setiap hari untuk menjual nasi lemak.
Dia yang tinggal di Setapak Jaya bergerak menggunakan kerusi roda kira-kira 1km untuk sampai ke hentian bas terdekat.
Setiap hari, dia bangun seawal jam 4.30 pagi untuk memasak dan menjualnya bermula 7.30 pagi hingga 12 tengah hari.
Saya dapat kira-kira RM70 hingga RM90 setiap hari, cukuplah untuk makan minum dan simpanan sedikit.
Meskipun hidup sebatang kara, Mohd Nor yang hilang upaya separuh hayatnya gembira dengan kehidupan yang dilaluinya kini.
Terima seadanya
Menurut Mohd, ketika berumur setahun dia demam panas dan keadaan bertambah buruk apabila doktor mengesahkan dia akan perlahan-lahan hilang kawalan ke atas kaki dan tangannya.
Masuk umur 20 tahun, dia sepenuhnya hilang keupayaan menggunakan kaki dan jari jemari.
Mengimbas semula kenangan pahit itu, Mohd tetap bersemangat meneruskan kehidupan.
Saya mungkin lemah dari segi fizikal, tetapi dari segi mental saya kuat. Macam-macam ujian yang Allah beri kepada saya tetapi saya tetap berdiri teguh.
Semangat yang tinggi ini menjadi asbab untuk dia meneruskan kehidupan dan mengelak daripada terus bersedih di atas kekurangan diri.
Sebaliknya, dia menghadapi setiap cabaran dengan senyuman di wajah.
Menjual nasi lemak dari kerusi roda
Mohd reda kekurangan diri menyebabkan dia tak boleh menjalani kehidupan normal seperti orang lain iaitu sambung belajar, berkahwin dan mempunyai pekerjaan tetap.
Tapi sebenarnya Mohd pernah ambil kursus menjahit untuk mencabar diri. Malangnya, dia terpaksa berhenti kerana sedar tak boleh meneruskannya.
Dia kemudian berpindah ke Kuala Lumpur membantu kawan baiknya menjual nasi lemak di Nu Sentral. Dia mengambil alih bisnes sejak 7 tahun lalu selepas rakannya meninggal dunia.
Mohd akui kadang kala berasa sunyi kerana hidupnya tak sempurna seperti orang lain. Tambahan pula, dia tiada ibu bapa dan adik beradik.
Tetapi, dia memilih untuk bersyukur kerana masih hidup, mempunyai tempat tinggal dan masih berupaya mencari rezeki.
Banyak lagi yang perlu dilakukan untuk orang kurang upaya
Mohd berpendapat rakyat Malaysia perlu berusaha lebih untuk membantu golongan OKU memudahkan kehidupan mereka. Jelasnya kerajaan ada membantu tetapi tidak banyak.
Pernah juga bas sampai, tetapi saya tak boleh naik sebab pemandu bas malas nak bantu saya.
Kalau saya perempuan cantik, mesti ada yang nak tolong saya kan? Memang wujud layanan berdasarkan paras rupa ni.
Di sebalik halangan itu, Mohd terus mengukir senyuman lebar di wajahnya apabila dia mampu bangun sebelum matahari terbit untuk mencari rezeki halal.
Kredit: WeirdKaya
Saya selaku digital hos separuh masa, editor, producer dan penulis artikel sampingan untuk tim video di Oh!Media.