Oh! Islam
#RENUNGAN Mandi Wajib Selepas Terbit Matahari, Boleh Ke Teruskan Puasa? Ini Penjelasan Mufti
Oleh
Hari ini merupakan hari pertama umat Islam berpuasa di bulan Ramadan untuk tahun 1445H. Diharapkan tahun ini umat Islam dapat memanfaatkan masa sepenuhnya untuk beribadah dan mengejar ganjaran pahala daripada Allah SWT.
BACA: #RENUNGAN Ada Pasangan Sengaja Batalkan Puasa Untuk Berjimak? Ini Hukumnya Di Sisi Syara’
Untuk segmen #renungan kali ini, kami ingin berkongsi hukum berpuasa sekiranya seseorang mandi junub selepas terbitnya matahari. Sah ke tidak sebenarnya puasa? Ini penjelasan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
SOALAN
Apakah hukum mandi junub selepas terbit fajar dalam bulan ramadhan?
JAWAPAN
Hukum mandi junub selepas terbit fajar pada bulan ramadhan disebabkan persetubuhan pada malam hari atau sebelum waktu fajar adalah diharuskan dan ianya tidak membatalkan puasa. Dan tidak ada halangan untuk orang yang berjunub untuk melewatkan mandi junub sehingga terbitnya fajar.
Ini berdasarkan dalil hadis daripada Aisyah dan Ummu Salamah R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:
كَانَ يُدْرِكُهُ الفَجْرُ وَهُوَ جُنُبٌ مِنْ أهْلِهِ، ثُمَّ يَغْتَسِلُ وَيَصُومُ
Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW pernah mendapati fajar telah terbit dan ketika itu beliau dalam keadaan junub setelah bercampur dengan isterinya. Kemudian beliau mandi dan berpuasa.”
Riwayat al-Bukhari (1927) dan Muslim (1106). Hadis ini ialah hadis Muttafaq ‘alaih.
Dan hadis Abdurrahman bertanya kepada Aisyah dan Ummu Salamah berkenaan dengan mandi junud selepas waktu fajar, maka Aisyah dan Ummu Salamah berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصْبِحُ جُنُبًا مِنْ غَيْرِ حُلُمٍ، ثُمَّ يَصُومُ
Maksudnya: “Adalah Nabi SAW dalam keadaan berjunud disebabkan selain dari mimpi, kemudian baginda meneruskan puasanya.”
Riwayat al-Bukhari (1825) dan Muslim (1109)
Mantan Syeikhul Azhar, almarhum Syeikh Dr Abdul Halim Mahmud menyebut dalam kitab Fatwa Abdul Halim Mahmud menyebut: “Sesungguhnya mandi junub pada siang hari ramadhan adalah harus dan tidak ada halangan padanya, akan tetapi boleh menjadi wajib jika sekiranya ianya membawa kepada melewatkan solat subuh dan luputnya waktu solat.”
Dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyebut: “Sesiapa yang berjunub pada malam hari, kemudian dia berpuasa, maka puasanya sah, dan tidak ada qadha puasa ke atasnya. Inilah pendapat yang jumhur. Ini berdasarkan hadis Aisyah dan Ummu Salamah tersebut.
Imam al-Syaukani berkata: “Inilah pandangan jumhur, dan Imam Nawawi menetapkan bahawa perkara ini telah diputuskan secara ijma’. Dan Imam Ibn Daqiq al-‘Id berkata: “Perkara ini (iaitu sahnya puasa orang yang berjunub pada malam hari) telah menjadi ijma’ atau seperti ijma’.” Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah (28/63).
Dalam al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie menyebut: “Sekiranya bersetubuh sebelum fajar, maka mengeluarkan (berhenti setubuh) bersamaan dengan waktu terbitnya fajar, dan keluar mani, tidak membatalkan puasanya.” Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/184).
Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadis ini dalam Syarh Sahih Muslim menyebut: “Yang afdhal adalah melakukan mandi junub sebelum fajar.” Lihat Syarh Sahih Muslim (3/165).
Jelaslah daripada hadis di atas bahawa sahlah puasanya dan tidak batal puasanya kerana berpuasa dalam keadaan berjunub mahupun kerana mandi wajib selepas subuh. Ini pendapat majoriti ulama. Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (6/307-308)
Berdasarkan nas-nas dan dalil-dalil serta padangan ulama, maka hukum mandi junub selepas terbit fajar adalah harus di sisi mazhab Syafie dan jumhur ulama. Begitu juga hendaklah diteruskan berpuasa kerana ianya sama sekali tidak membatalkan puasa sepertimana yang dinaskan oleh para ulama dalam kitab-kitab mereka.
Editor-In-Chief. Penulis sepenuh masa di Oh! Media berkaitan isu viral dan trending di media sosial.