Connect with us

Oh! Media

Perlu Ke Isteri Minta Izin Suami Untuk Qadha’ Puasa? Ini Jawapan Pejabat Mufti

Oh! Islam

Perlu Ke Isteri Minta Izin Suami Untuk Qadha’ Puasa? Ini Jawapan Pejabat Mufti

Pejam celik pejam celik kurang daripada 3 bulan lagi kita akan memasuki bulan Ramadan. Pasti ramai dalam kalangan kita yang membuat persediaan untuk ganti puasa kan?

ADVERTISEMENT

BACA: Pejabat Mufti Perjelas Hukum Prank Dalam Islam, Haram Dan Dilarang Jika..

Namun, tahukah korang seorang isteri wajib meminta izin suaminya jika nak puasa ganti atau puasa sunat seandainya suami berada di rumah.

Tetapi, seorang isteri diharuskan berpuasa tanpa izin jika suaminya tiada di tempat tinggalnya. Jom baca penerangan penuh daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ini.

Foto: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ditanya adakah perlu untuk isteri meminta izin suami jika hendak puasa Qadha Ramadhan.

Ini jawapannya:

Hukum menggantikan puasa Ramadhan bagi seorang isteri adalah wajib untuk meminta keizinan suaminya, sekiranya tempoh untuk menggantikannya masih panjang dan suaminya berada di rumah. Ini kerana kewajipan seorang isteri adalah memenuhi hak suaminya.

Huraian Jawapan

Berbalik kepada soalan pada asalnya seorang isteri itu wajib meminta keizinan suaminya untuk berpuasa sunat. Ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Hammam bin Munabbih R.A, sabda Nabi SAW:

لاَ تَصُمِ الْمَرْأَةُ وَبَعْلُهَا شَاهِدٌ إِلاَّ بِإِذْنِهِ

Maksudnya: Tidak dibenarkan berpuasa bagi seorang wanita (isteri) dan suaminya ada disisinya melainkan dengan keizinannya

Riwayat Muslim (1026)

Imam Nawawi dalam mensyarahkan hadis di atas menyebut:

هَذَا مَحْمُولٌ عَلَى صَوْمِ التَّطَوُّعِ وَالْمَنْدُوبِ الَّذِي لَيْسَ لَهُ زَمَنٌ مُعَيَّنٌ وَهَذَا النَّهْيُ لِلتَّحْرِيمِ صَرَّحَ بِهِ أَصْحَابُنَا

Maksudnya: larangan ini bermaksud ke atas puasa sunat (yang memiliki waktu tertentu seperti puasa hari arafah) dan puasa yang disunatkan yang tidak memiliki waktu tertentu, dan larangan ini merupakan larangan yang menunjukkan pengharamannya sebagaimana yang dijelaskan oleh ashab al-Syafi’eyyah

(Lihat Syarh al-Nawawi ala Muslim, 7/115)

Bagi menjelaskan isu puasa qadha’ Ramadhan para ulama menerangkan bahawa tidak dibenarkan bagi sesorang isteri untuk menggantikan puasa Ramadhan tanpa keizinan suami sekiranya waktu untuk menggantikannya masih mempunyai tempoh yang panjang.

Ini sepertimana yang dijelaskan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haithami di dalam kitabnya:

وَيَحْرُمُ عَلَى الزَّوْجَةِ أَنْ تَصُومَ تَطَوُّعًا أَوْ قَضَاءً مُوَسَّعًا وَزَوْجُهَا حَاضِرٌ إلَّا بِإِذْنِهِ أَوْ عَلِمَ رِضَاهُ

Maksudnya: Dan diharamkan ke atas seorang isteri untuk berpuasa sunat atau puasa qadha’ sekiranya tempoh menggantikannya masih berpanjangan dan suaminya datang kepadanya melainkan dengan keizinan suaminya atau dia mengetahui suami meredhainya berpuasa.

(Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 3/461)

Imam al-Syirwani menyebut di dalam hasyiahnya bahawa sekiranya seorang isteri itu berpuasa tanpa keizinan suaminya maka sah puasanya akan tetapi perbuatannya itu haram dan berdosa. Walau bagaimanapun sekiranya suaminya tidak berada di tempat tinggalnya maka diharuskan baginya untuk berpuasa.

(Lihat Hasyiah al-Syirwani ala Tuhfah al-Muhtaj, 3/461)

Kesimpulan

Dapat disimpulkan bahawa seseorang isteri wajib meminta izin suaminya apabila hendak melakukan puasa ganti atau puasa sunat sekiranya suami berada di rumah. Ini kerana wajib bagi seorang isteri untuk memenuhi hak bagi suaminya. Namun sekiranya suaminya tidak ada di rumah, maka ia boleh berpuasa qadha’ atau sunat. Bahkan sebaiknya meminta keizinan suaminya bagi menunjukkan rasa hormat ke atasnya.

Wallahua`lam.

Kredit: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

+ Baca respon pembaca di Facebook dan Telegram Oh!Media.

Lagi dalam kategori Oh! Islam

Ke Atas