Trending
Mekanik Tular Hidup 13 Tahun Tanpa Elektrik Jelaskan Kekeliruan, Tanah Diduduki Milik Kerajaan
Mekanik nafi tunggu elektrik 13 tahun, jelaskan keadaan sebenar.
Seorang lelaki dikenali sebagai Muhammad Ramadhan tampil menjelaskan kekeliruan selepas tular kisah 13 tahun hidup tanpa bekalan elektrik.
Memetik laporan Harian Metro, Ramadhan yang bekerja sebagai mekanik berkata, dia bukan menunggu kelulusan permohonan elektrik selama 13 tahun sebaliknya hidup tanpa kemudahan itu sepanjang tempoh berkenaan.
Video bertemu Sultan Pahang disalah tafsir
Dia berkata, permohonan sambungan bekalan elektrik sebenarnya hanya dibuat pada Oktober tahun lalu melalui seorang kontraktor.
Jelasnya, timbul kekeliruan selepas video dia menahan konvoi Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 17 Mei lalu dikongsi semula pengguna media sosial lain dengan kapsyen yang mengelirukan.
Ramadhan kini tinggal bersama isterinya dan anak lelaki berusia lima tahun di rumah baharu yang dibinanya sendiri pada Januari 2024.
Sebelum itu, dia menetap bersama ibu bapanya kira-kira 100 meter dari rumah sekarang. Rumah kayu ibu bapanya pula mula didiami sejak 2014.
Sebenarnya saya memuat naik video itu pada Selasa lalu kerana berasa lega dan gembira apabila isu ini akhirnya mendapat perhatian dan diselesaikan. Saya harap orang ramai tidak salah faham mengenai keadaan saya.
Dalam masa sama, keluarga Ramadhan juga masih menunggu maklum balas berhubung permohonan hak milik tanah yang dibuat kepada Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut sejak Julai 2015.
Katanya, tanah yang diduduki mereka adalah milik kerajaan.
Empat rumah bergantung pada solar dan bateri lori

Bukan rumah Ramadhan sahaja yang belum mempunyai bekalan elektrik, malah rumah ibu bapanya, adik perempuannya serta sepupu yang tinggal berhampiran turut berdepan keadaan sama.
Mereka bergantung kepada panel solar yang disambungkan kepada bateri lori untuk mendapatkan bekalan elektrik.
Ramadhan yang mengusahakan bengkel motosikal di rumahnya berkata, penggunaan tenaga elektrik mereka sangat terhad dan hanya cukup untuk keperluan asas.
Untuk bekalan air pula, mereka bergantung kepada air bukit untuk kegunaan harian termasuk mandi dan membasuh pakaian
Ramadhan merayu orang ramai supaya tidak salah tafsir video kerana dia tidak mahu menyusahkan sesiapa.
Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Sultan Pahang, TNB serta semua pihak yang membantu mempercepatkan proses mendapatkan bekalan elektrik.
Dia bersyukur apabila usahanya untuk mendapatkan bekalan elektrik akhirnya menerima perkembangan positif selepas pertemuan dengan Sultan Pahang.
Pssttt! Dalam isu ini, penjelasan Ramadhan penting supaya orang ramai faham keadaan sebenar. Apa pun, semoga urusan keluarganya dipermudahkan selepas ini dan kemudahan asas seperti elektrik serta air bersih dapat dinikmati dengan lebih selesa.
Kredit: Harian Metro (T N Alagesh)
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.