Connect with us

Oh! Media

Panggilan “Anakku” Kepada Anak Orang Lain

Umum

Panggilan “Anakku” Kepada Anak Orang Lain

ADVERTISEMENT
Soalan:
Bolehkah menggunakan panggilan “anakku” kepada bukan anak kita?
Jawapan :
Agama Islam mengajar umatnya agar sentiasa berkasih sayang antara satu sama lain dan agama ini juga menyokong setiap perkara yang boleh mewujudkan sifat berkasih sayang sesama manusia. Ini kerana, banyak ayat al-Quran atau hadith Nabi SAW menyeru ke arah itu dan di antara dalil yang menunjukkan bahawa Islam amat mementingkan berkasih sayang ini adalah:
Daripada Anas bin Malik Ra, bahawa Nabi SAW bersabda:
لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ، حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
“Tidak beriman (sempurna iman) seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri.” [Riwayat al-Bukhari (13)]
Di samping itu juga, kita sebagai seorang muslim dituntut untuk sentiasa memuliakan, menghormati dan menyayangi semua peringkat usia. Tidak kiralah orang tersebut lebih muda daripada kita atau sebaliknya. Hal ini ada dinyatakan di dalam sebuah hadith walaupun hadith tersebut dinilai gharib oleh Imam al-Tirmizi tetapi maknanya adalah sahih, iaitu:
Daripada Abdullah bin Abbas RA berkata, bahawa Nabi SAW bersabda:
لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيُوَقِّرْ كَبِيرَنَا
“Bukan daripada kalangan kami (sunnah kami), orang yang tidak menyayangi orang yang muda (lebih kecil usia) dan orang yang tidak menghormati orang yang dewasa (lebih berusia).” [Riwayat al-Tirmizi (1921)]
Berdasarkan soalan di atas, terdapat sebuah hadith yang sahih daripada Imam Muslim bahawa Nabi SAW pernah memanggilkan Anas bin Malik RA dengan panggilan anakku sedangkan Anas bin Malik RA bukanlah anak kepada Rasulullah SAW dan beliau merupakan khadam kepada Rasulullah SAW apabila ibunya menyerahkan beliau kepada Rasulullah SAW ketika usianya 10 tahun. Hadith tersebut adalah:
Daripada Anas bin Malik RA berkata:
قَالَ لِي رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَا بُنَيَّ
“Telah berkata kepadaku Rasulullah SAW: Wahai anakku.” [Riwayat Muslim (2151)]
Imam al-Nawawi (676 H) meletakkan hadith ini di dalam bab dibolehkan memanggil bagi bukan anaknya dengan panggilan wahai anakku dan digalakkan melakukannya dengan tujuan berkasih sayang. Tambahan pula, hadith ini secara jelas menunjukkan bahawa dibenarkan ucapan seorang insan itu kepada bukan anaknya yang mana anak itu lebih kecil usianya daripadanya dengan panggilan “wahai anakku.” 
Perbuatan ini menunjukkan sifat kasih sayang dan ia juga menunjukkan kedudukan anak itu sama seperti kedudukan anaknya yang sebenar pada berkasih sayang. Ini juga dilakukan pada orang yang usianya sama dengan orang yang memanggil dengan panggilan “wahai akhi (saudara lelakiku)” dengan makna seperti yang telah kami jelaskan. Jika ucapan atau panggilan diungkapkan dengan tujuan ingin berkasih sayang maka perbuatan tersebut menjadi mustahab (sunat) sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi SAW. [Lihat: al-Minhaj Syarah Muslim, 129/14]
Melihat kepada penjelasan Imam al-Nawawi di atas, dibenarkan atau digalakkan untuk memanggil selain daripada anak sendiri dengan panggilan anakku berdalilkan kepada perbuatan Rasulullah SAW. Akan tetapi, ucapan atau panggilan itu perlulah dilakukan dengan tujuan untuk menunjukkan kasih sayang dan bukannya untuk mengaku bahawa itu adalah anaknya. Ini kerana, perbuatan mengakui anak orang lain adalah anaknya adalah haram.
Tambahan pula, ucapan atau panggilan seperti ini (wahai anakku) akan menimbulkan dan menzahirkan rasa kasih sayang yang lebih kepada orang yang dimaksudkan itu dan ini juga termasuk di dalam uslub mendidik atau berinteraksi dengan budak kecil.
Penutup
Kesimpulannya, digalakkan untuk memanggil selain daripada anak kita dengan panggilan “anakku” kerana perbuatan ini dilakukan juga oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW kepada bukan anak Baginda SAW. Bahkan, kita meyakini bahawa setiap dilakukan oleh Rasulullah SAW adalah wahyu daripada Allah SWT dan pasti disebaliknya tersimpan seribu satu hikmah. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan orang-orang yang sentiasa berkasih sayang dan mencintai antara satu sama lain. Amin.
Wallahua’lam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas