Connect with us

Mulut Punca Ke Neraka?

Umum

Mulut Punca Ke Neraka?

Soalan:
Apakah benar terdapat hadith yang mengatakan bahawa kebanyakan penghuni neraka adalah orang yang tidak menjaga mulut atau lidahnya?

Jawapan :
Kami mulakan dengan menyatakan bahawa agama Islam merupakan sebuah agama yang amat menitikberatkan perihal akhlak. Ini kerana, Rasulullah SAW diutuskan kepada umat manusia adalah untuk menyempurnakan keindahan akhlak. Hal ini disebut berdasarkan sebuah hadith yang sahih daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ
“Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” [Riwayat Ahmad (8952), Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya kuat]

Bagi menjawab persoalan di atas, sememangnya terdapat hadith yang menceritakan berkaitan kebanyakan penghuni neraka adalah orang-orang yang tidak menjaga mulut atau lidahnya ketika hidup di dunia. Antara hadith yang menceritakan berkaitan hal tersebut adalah:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW pernah ditanya berkaitan sebab kebanyakan orang dimasukkan ke dalam Syurga. Baginda SAW menjawab:

تَقْوَى اللَّهِ وَحُسْنُ الخُلُقِ، وَسُئِلَ عَنْ أَكْثَرِ مَا يُدْخِلُ النَّاسَ النَّارَ، فَقَالَ: الفَمُ وَالفَرْجُ
“Taqwa kepada Allah dan baik akhlaknya.” Lalu Baginda SAW ditanya lagi berkaitan sebab kebanyakan manusia dimasukkan ke dalam neraka, Baginda SAW menjawab: “Mulut dan kemaluan.” [Riwayat al-Tirmdizi (2004), Imam al-Tirmidzi menilai hadith ini sebagai hasan gharib, Imam Ibn Hibban mensahihkan hadith ini di dalam sahihnya]



Syeikh Abdullah al-Talidi berkata di dalam kitabnya ketika mensyarahkan hadith ini: “Hadith ini membicarakan berkaitan sebab-sebab yang boleh menyebabkan seseorang itu dimasukkan ke dalam Syurga atau Neraka. Adapun berkaitan maksud mulut di dalam hadith adalah orang yang tidak menjaga serta berusaha untuk menjaga daripada dosa-dosa mulut seperti mengucapkan ucapan kufur, laknat, qazaf, mengejek, menipu, mengumpat, mengadu domba, persaksian palsu dan sebagainya. Selain itu, makna kemaluan pula adalah orang yang tidak menjaga kemaluannya daripada zina, liwat, tidak menjaga auratnya di hadapan selain daripada mahramnya seperti isterinya dan sebagainya.” [Lihat: Jawahir al-Bihar, 1/170]

Tambahan pula, Syeikh al-Mubarakfuri menyatakan makna mulut di dalam hadith ini ialah menjaga lidahnya kerana menjaga lidah boleh menyelamatkan keseluruhan urusan agamanya dan memakan yang halal kerana itu adalah penghulu kepada ciri ketaqwaan. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 6/120]

Penutup

Kesimpulannya, hadith di atas adalah sahih dan thabit daripada Nabi SAW. Akhirnya, marilah sama-sama kita cuba untuk menjadi seorang Muslim yang baik pada peribadi atau akhlak dengan menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan yang terbaik. Amin.

Wallahua’lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Trending

To Top