Connect with us

Maksud Masa Berlalu Begitu Pantas Di Akhir Zaman

Umum

Maksud Masa Berlalu Begitu Pantas Di Akhir Zaman

SOALAN:
Apakah maksud masa atau waktu berlalu dengan cepat di akhir zaman?

JAWAPAN:
Dunia pada hari ini penuh dengan perkara-perkara luar biasa yang berlaku sehingga mereka merasakan bahawa hampir berlakunya Kiamat. Ini menunjukkan kepada kita bahawa umat yang hidup di akhir zaman akan berdepan dengan pelbagai ujian, fitnah dan cubaan yang cukup mencabar. Ini kerana, hanya dengan keimanan yang teguh serta dengan ilmu yang sahih sahaja akan menyelamatkan kita semua daripada ujian, fitnah dan cubaan ini.

Berdasarkan soalan di atas, masa atau waktu berlalu dengan pantas atau cepat adalah termasuk di dalam tanda-tanda hampir berlakunya Kiamat. Ini berdasarkan kepada beberapa hadith yang sahih, antaranya:

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقْبَضَ العِلْمُ، وَتَكْثُرَ الزَّلاَزِلُ، وَيَتَقَارَبَ الزَّمَانُ، وَتَظْهَرَ الفِتَنُ، وَيَكْثُرَ الهَرْجُ
“Tidak akan berlakunya Kiamat sehingga diangkat ilmu, banyaknya berlaku gempa, masa berlalu dengan pantas, terzahirnya fitnah-fitnah dan banyaknya pembunuhan.” [Riwayat al-Bukhari (1036)]

Hadith di atas ini atau maksud masa berlalu dengan pantas boleh difahami dengan satu hadith daripada Anas bin Malik sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidzi di dalam sunan atau Jami’nya iaitu:

Daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَتَقَارَبَ الزَّمَانُ، فَتَكُونُ السَّنَةُ كَالشَّهْرِ، وَالشَّهْرُ كَالْجُمُعَةِ، وَتَكُونُ الْجُمُعَةُ كَالْيَوْمِ، وَيَكُونُ الْيَوْمُ كَالسَّاعَةِ، وَتَكُونُ السَّاعَةُ كَالضَّرَمَةِ بِالنَّارِ
“Tidak akan berlaku Kiamat sehingga waktu terasa begitu pantas, maka setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seperti seminggu, seminggu dirasakan seperti sehari, sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu sambaran api.” [Riwayat al-Tirmidzi (2332), hadith ini dinilai sahih oleh Imam Ibn Hibban di dalam sahihnya]

Imam Ibn Hajar al-Asqalani menukilkan beberapa pandangan dalam memahami makna masa berlalu dengan pantas seperti pendeknya umur, pendeknya malam dan siang seperti yang disokong di dalam hadith lain yang menyatakan masa berlalu dengan pantas sehingga setahun dirasa seperti sebulan dan juga manusia berterusan berada di dalam kejahilan, [Lihat: Fath al-Bari, 1/171]

Di samping itu juga, Imam al-Nawawi mengikut pandangan ‘Iyadh dan selain daripadanya yang berpandangan maksud masa berlalu dengan pantas adalah disebabkan hilangnya keberkatan masa dan dalam sehari dia melakukan sesuatu yang bermanfaat kadarnya sama seperti satu jam sahaja dia melakukan perkara tersebut. [Lihat: Fath al-Bari, 13/17]

Untuk itu, di antara tanda-tanda Kiamat adalah masa terasa begitu pantas disebabkan hilangnya keberkatan (di dalam kehidupan), sedikitnya amalan untuk akhirat, membuang waktu pada perkara yang tidak penting dan berfaedah sehingga tiada lagi nilainya serta ia (masa) berlalu seperti berlalunya awan yang mana tidak dirasai oleh seseorang akan umurnya seakan-akan dia tidak hidup melainkan hanya sementara di waktu siang. [Lihat: Fath al-Mun’im, 10/208]

Justeru, kami berpandangan bahawa maksud masa berlalu dengan begitu pantas adalah disebabkan keberkatan masa telah hilang dalam kehidupan kita. Apabila ini berlaku, ini menandakan kurangnya amalan soleh yang dilakukan dalam kehidupan kita. Hal ini juga sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi di atas bahawa banyak masa-masa dalam sehari dihabiskan pada perkara yang tidak bermanfaat.

Penutup

Kesimpulannya, hadith yang menceritakan keadaan masa di akhir zaman akan berlalu dengan pantas adalah sahih kerana ia diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan juga Imam Muslim di dalam kitab sahih mereka. Tambahan pula, di akhir zaman juga keberkatan masa akan mula hilang sedikit demi sedikit sehingga mereka merasakan bahawa masa itu berlalu dengan begitu pantas dan cepat. Perkara inilah ditegaskan oleh Allah SWT di dalam surah al-‘Asr:


وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ﴿٣
“Demi Masa! (1) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian (2) Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar (3).”

Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa meningkatkan amalan soleh dan memanfaatkan masa dengan sebaiknya agar dengan sebab itu Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang berjaya di dunia dan akhirat.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

To Top