Connect with us

Oh! Media

Hukum Lelaki Bersalam Dengan Maknyah

Umum

Hukum Lelaki Bersalam Dengan Maknyah

Soalan:
Apa hukum bersalaman atau memeluk seorang transgender.
Jawapan:
Yang pertama, Islam adalah agama rahmah yang sentiasa menyeru manusia agar mengeratkan persaudaraan. Islam sangat menggalakkan umatnya memberikan salam dan bersalaman diantara satu dengan yang lain. Ini jelas berdasarkan hadis daripada Al Barra’ R.A, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda:
‏ مَا مِنْ مُسْلِمَيْنِ يَلْتَقِيَانِ فَيَتَصَافَحَانِ إِلاَّ غُفِرَ لَهُمَا قَبْلَ أَنْ يَفْتَرِقَا ‏
“Tidaklah dua orang muslim saling bertemu kemudian berjabat tangan, kecuali akan diampuni (dosa-dosa) mereka berdua sebelum mereka berpisah. [Riwayat Abu Daud (4773)]
Maka dari hadis ini, hukumnya adalah sunat bagi seorang lelaki bersalaman dengan lelaki yang lain, begitu juga, Sunat bagi seorang perempuan bersalaman dengan perempuan lain. [Rujuk Hasyiah Al-Baijuri ala Ibn al-Qasim (1/178)]
Namun, ulama mengecualikan hukum sunat bersalaman seperti yang diatas kepada golongan yang disebutkan sebagai amrad al-jamil. Amrad disisi Fuqaha’ ialah mereka yang tidak tumbuh janggut atau bulu mengikut kebiasaan lelaki. [Rujuk Bujairimi ala Khotib (3/324)].
Amrad yang dimaksudkan ulama ialah lelaki yang rupanya seakan-akan wanita.
Imam Nawawi Rahimahullah di dalam al-Majmu’ (4/476) menekankan perlunya berjaga-jaga dari bersalaman dengan Amrad dan menyebut bahawa “memandang kepada amrad tanpa sebarang keperluan adalah haram menurut pendapat yang sahih dalam mazhab”.
Beliau menyatakan pengharaman tanpa apa alasan sekali pun, melainkan dengan anak sendiri.
Begitu juga dalam mazhab Imam Ahmad lebih tegas, bahawa dalam bersalaman untuk mengucapkan tahniah diharuskan jika sesama jantina, tetapi tidak dengan amrad. [Rujuk Hasyiah al-Raud al-Murbi’ (2/522)]
Imam Ibn Abidin daripada Hanafiyyah pula dalam Hasyiah-nya (1/283) mengambil pandangan yang membahagikan kepada dua hukum:
• Sekiranya amrad ini tidak mempunyai rupa paras yang menawan (pada kebiasaan) dan tidak membawa fitnah, maka dianggap seperti orang lelaki biasa, maka tidak diharamkan memandangnya.
• Sekiranya amrad ini mempunyai rupa paras yang menawan (menurut kebiasaan) dan boleh membawa fitnah terbahagi kepada dua: i) memandang tanpa ada niat talazzuz iaitu bersedap-sedap atau bersyahwat, kemudian aman dari fitnah, seperti mana seorang lelaki memandang anaknya yang merupakan amrad, maka pada kebiasaan tidak akan ada niat untuk ii) memandang dengan talazzuz dan bersyahwat, maka diharamkan untuk melihat.
Maka Imam Baijuri dalam Hasyiah-nya (1/178) menyebutkan suatu kaedah “Setiap sesuatu yang diharamkan untuk dilihat, maka diharamkan untuk menyentuhnya” kerana sentuhan lebih memberi kesan kepada syahwat. Dikecualikan dari kaedah memandang ajnabi sekiranya mempunyai keperluan dalam urusan jual beli, menerima dan memberi hadiah, namun tetap tidak dibenarkan menyentuh ajnabi dalam urusan-urusan tersebut.
Asas kepada pengharaman bersalam dengan golongan amrad ini sangat jelas hikmahnya. Islam tidak menghina golongan amrad, tetapi pengharaman ini demi mengelakkan terjadinya kemungkaran. Jelas pada hari ini, apabila kes homoseksual yang dilaporkan melanda. Bermula dari kes guru meliwat murid di sekolah hinggalah kes perlakuan homoseksual yang melibatkan sesama orang dewasa. Inilah hikmahnya!
Kesimpulan kepada soalan ini, kami mengqiyaskan larangan bersalaman dengan amrad dengan golongan transgender. Hal ini lebih aula, kerana ’illah kepada larangan itu adalah untuk mengelakkan dari terjatuh dalam kemungkaran. Golongan amrad adalah mereka yang semulajadi mempunyai rupa paras yang menarik. Tetapi golongan transgender ini sengaja mengubah rupa paras agar menyerupai jantina yang berbeza daripada jantina sewaktu kelahiran. Maka, larangan bersalaman ketika bersyahwat dengan golongan transgender lebih kuat dari segi ‘Illah. Hukum ini tidak terpakai kepada kes khuntha musykil.
Namun kami mengambilkira tanggungjawab para pendakwah yang ingin berdakwah kepada golongan ini dan mempimpin mereka ke jalan kebaikan. Berikut kami kemukakan Dhawabit kepada pendakwah-pendakwah atau petugas yang dipertanggungjawabkan dalam membimbing golongan transgender:
Jika sekiranya bertujuan untuk berdakwah kepada golongan tersebut,ia dilihat melalui dua keadaan.
• Jika golongan tersebut tergolong dalam kalangan mereka yang gemar mempamerkan kemaksiatan mereka, atau mencabar hukum Islam di atas aktiviti maksiat yang mereka dilakukan (mujaharah bi al-su’) sewajarnya pendekatan yang lebih tegas digunakan atau diserahkan kepada pihak berkuasa. Tidak dicadangkan untuk pergi bersalam-salaman dan berpelukan dengan mereka.
• Manakala jika mereka termasuk golongan transgender, tetapi tidak menentang hukum hakam Islam, dan hanya keliru dengan identiti mereka serta komited atau masih berharap untuk hidup dalam Syariat Islam maka golongan ini wajar disantuni, dengan bersalaman dengan tujuan dakwah cukup sekadar mengikut keperluan. Namun, seandainya boleh menimbulkan syahwat atau fitnah kepada diri pendapat, maka hendaklah dielakkan dari bersalaman, apa lagi berpelukan.
Hukum secara umum bagi mereka yang bergaul dengan golongan transgender dalam urusan kerja dan sebagainya:
• Tidak boleh seorang lelaki bersalaman apa lagi berpeluk dengan lelaki yang kelihatan seperti wanita sekiranya melahirkan syahwat ketika memandangnya. Bukan suatu penghinaan kepadanya, tetapi kerana demi mengelakkan fahisyah iaitu kemungkaran yang akan berlaku di masa hadapan. Namun, sekiranya tidak timbul syahwat pada detik awal ketika memandang, maka diharuskan memandang dan bersalaman.
• Begitu juga, tidak boleh seorang wanita bersalaman, apa lagi berpeluk dengan wanita yang seperti lelaki (tomboy), sekiranya berserta dengan syahwat dan akan menjadi fitnah. Sekiranya tidak mempunyai syahwat dan aman dari fitnah, maka dibolehkan.
Wallahualam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Trending

To Top