Connect with us

Oh! Media

Berdoa Bersama Selepas Solat Fardhu

Umum

Berdoa Bersama Selepas Solat Fardhu

ADVERTISEMENT
Soalan:
Apakah hukum berdoa selepas solat lima waktu? Dan apakah hukumnya berdoa secara berjemaah selepas selesai solat fardhu dimana imam membacakan doa dan para makmum mengaminkannya?
Jawapan:
KELEBIHAN BERDOA SELEPAS SOLAT FARDHU
Antara tempat yang lebih hampir kepada diperkenankan doa ialah selepas selesai solat lima waktu.
Diriwayatkan dari Abu Umamah r.a. katanya :

قيل يا رسول الله أي الدعاء أسمع؟ قال: جوف الليل الأخير ودبر الصلاة المكتوبة
Ditanya akan Rasulullah saw: “Wahai Rasulullah mana satukah doa yang paling didengari?” Jawab baginda: “Doa pada tengah malam yang akhir dan pada setiap belakang solat maktubah.” (Hadith Tirmidzi)
Makna doa yang paling didengari ialah doa yang paling hampir kepada diperkenankan dan makna dibelakang solat maktubah ialah tiap kali selesai solat lima waktu.
HADITH BERDOA SECARA BERJEMAAH
Maksudnya seorang dari kumpulan orang berdoa manakala yang lain mengaminkannya.
Diriwayatkan dari Habib bin Maslamah Al-Fihri r.a. katanya :

 لَا يَجْتَمِعُ مَلَأٌ فَيَدْعُو بَعْضُهُمْ وَيُؤَمِّنُ بَعْضُهُمْ إِلَّا أَجَابَهُمُ اللَّهِ تَعَالَى
Telah mendengar olehku akan Rasulullah saw bersabda: “Tidaklah berkumpul satu kumpulan manusia lalu berdoa sebahagian mereka manakala sebahagian yang lain mengaminkannya melainkan pasti Allah akan memperkenankannya.” (Hadith Al-Hakim)
Jelas pada hadith ini Rasulullah saw menggalakkan berdoa apabila berada dalam kumpulan dengan cara salah seorang membaca doa dan yang lain mengaminkan doa tersebut. 
Hadith ini tidak menetapkan masa dan dimana doa itu dibacakan maka dimana sahaja dan bila sahaja akan termasuk dalam kelebihan yang dijanjikan dalam hadith ini.
Maka termasuklah berdoa selepas selesai solat berjemaah lima waktu yaitu imam membaca doa manakala para jemaah mengaminkannya.
Diriwayatkan dari Imam At-Tobari dari Ja’far bin Muhammad As-Sadiq berkata ia :
 الدُّعَاءُ بَعْدَ الْمَكْتُوبَةِ أَفْضَلُ مِنَ الدُّعَاءِ بَعْدَ النَّافِلَةِ كَفَضْلِ الْمَكْتُوبَةِ عَلَى النَّافِلَةِ 
“Bermula doa selepas solat fardhu itu lebih afdhal dari doa selepas solat sunat bandingannya seperti kelebihan solat fardhu atas solat sunat.” (Fathul Baari Syarah Sahih Bukhari)
Berkata Al-Hafiz Imam Ibnu Hajar :
أي المكتوبة وفي هذه الترجمة رد على من زعم أن الدعاء بعد الصلاة لا يشرع
“Ertinya selepas solat fardhu dan pada terjemahan ini menolak pendapat orang yang menyangka tidak diperintahkan berdoa selepas solat lima waktu.” (Fathul Baari)
PANDANGAN ULAMAK
Berkata Imam Nawawi :
فرع قد ذكرنا استحباب الذكر والدعاء للإمام والمأموم والمنفرد وهو مستحب عقب كل الصلوات بلا خلاف
“Furu’ : Sesungguhnya telah kami sebutkan disunatkan berzikir dan berdoa bagi imam dan makmum dan yang solat sendirian. Dan ia adalah disunatkan selepas setiap solat fardhu tanpa khilaf.” (Kitab Al-Majmu’)
Berkata Syeikh Abu Al- ‘Abaas Al-Qurtubi Al-Maliki :
وقد اتفق مساق هذه الأحاديث والتي قبلها: على أن أدبار الصلوات أوقات فاضلة للدعاء والأذكار، يرتجى فيها القبول.
“Dan sungguhnya telah sepakat ulamak tentang hadith-hadith ini atas bahawa tiap selepas solat fardhu adalah waktu yang afdhal bagi berdoa dan berzikir yang diharapkan pada waktu ini akan perkenankan.” (Kitab Al-Mufhim alal Muslim)
Berkata Syeikh Hasan ‘Amar Al-Hanafi :
 ثم يدعون لأنفسهم وللمسلمين.
“Kemudian dari berzikir itu para imam berdoa untuk diri mereka dan untuk sekelian orang Islam.” (Kitab Maraqil Falah)
Maksudnya imam membaca doa untuk diri imam dan para jemaah dan para jemaah pula mengaminkan doa imam tersebut.
KESIMPULAN
Antara waktu yang paling diperkenankan doa ialah selepas menunaikan solat fardhu lima waktu.
Selepas solat fardhu lima waktu adalah disunatkan bagi semua orang berdoa samada berdoa secara sendirian atau secara berkumpulan.
Amalan kebanyakkan manusia dari dulu sampai sekarang iaitu imam membaca doa selepas solat dan para makmum mengaminkannya adalah elok dan disunatkan dan bukan perkara bidaah kerana termasuk dalam hadith Nabi saw menggalakkannya. 
Orang yang melarang amalan ini adalah ahli bidaah kerana menolak hadith Nabi saw dengan dalil akalnya sendiri.
Wallahua’lam.

+ Ustaz Azhar Idrus (Original)

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas