Kes Pecah Masuk: Dua Suspek Ditahan, Barang Curi Dipulangkan
Dua suspek pecah masuk kondominium Desa Pandan diberkas. Polis berjaya pulangkan semula barang curi. Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Satu kes pecah masuk kediaman di sebuah unit kondominium mewah di Desa Pandan, Kuala Lumpur akhirnya menemui jalan penyelesaian apabila dua orang suspek diberkas hasil risikan rapi oleh pasukan polis dari IPD Wangsa Maju.
Kejadian berlaku sekitar jam 5:20 pagi, 2 Ogos 2025, namun hanya disedari oleh pemilik rumah selepas beliau pulang dari tugasan luar kira-kira 2 minggu selepas itu, pada 15 Ogos 2025. Mangsa segera membuat laporan polis di Balai Polis Ampang Jaya, dan kes tersebut terus dirujuk kepada IPD Wangsa Maju untuk siasatan lanjut.
“Saya balik tengok rumah dah tunggang-langgang. Laci semua diselongkar, barang-barang hilang antaranya konsol Xbox Series X, Xbox Elite Wireless Controller Series 2 dengan konfigurasi peribadi penuh, lampu hiasan berteknologi AI, sistem robot pembersih lantai pintar, puluhan pakaian berjenama eksklusif dan beberapa lagi barangan bernilai tinggi yang tidak dapat didedahkan atas faktor keselamatan.
Saya memang terus maklumkan kepada badan pengurusan kondo dan membuat laporan rasmi kepada pihak polis hari tu juga,” ujar mangsa yang enggan dikenali.
Risikan Kes Pecah Masuk Berhasil, Suspek Diberkas
Kes ini dikendalikan oleh Sarjan Mohd Sofihan bin Adal selaku Pegawai Penyiasat (IO). Beliau bersama pasukan forensik telah menjalankan pemeriksaan cap jari dan meneliti rakaman CCTV pada hari yang sama namun tidak menemui sebarang bukti awal kerana suspek dipercayai tahu cara mengelak daripada dirakam.
IKLAN
“Kami jalankan siasatan dari pelbagai sudut walaupun tiada cap jari dan rakaman CCTV jelas yang membantu. Kes sebegini memerlukan ketekunan dan risikan berterusan,” jelas Sarjan Sofihan.
Hasil risikan itu akhirnya membuahkan hasil apabila dua lelaki tempatan, seorang berbangsa Melayu dan seorang lagi berbangsa Cina, berjaya ditahan pada 6 September 2025.
Rakaman pelaku yang tertangkap CCTV Tapi tidak jelas kerana suasana gelap
Kedua-dua suspek dipercayai dapat masuk ke kondo yang mempunyai beberapa lapis ciri keselamatan tersebut sebagai pelawat untuk ke rumah majikan mereka di tingkat yang sama dengan rumah mangsa sebelum menjalankan aktiviti pecah masuk rumah.
“Kita jalankan serbuan dan berjaya menahan kedua-dua suspek. Beberapa barangan yang dilaporkan hilang telah dijumpai di kediaman mereka, manakala barangan yang telah dijual suspek di beberapa premis perniagaan juga berjaya dikesan dan dikembalikan kepada pemilik,” tambah Sarjan Sofihan.
Antara barang yang dapat dijejaki semula walaupun telah dijual
Mangsa telah dipanggil untuk membuat pengecaman barangan, dan mengesahkan bahawa semua barangan tersebut adalah miliknya.
“Saya sangat bersyukur. Tak sangka barang-barang tu masih boleh dapat semula. Saya sangat berterima kasih kepada pihak polis atas usaha mereka untuk menangkap penjenayah dalam masa yang sama dapat menjejak barangan yang telah dijual pelaku. Ini bukti pihak PDRM sangat komited dalam membantu rakyat seperti saya” ujar mangsa lagi.
Tindakan Undang-Undang Menanti Suspek
Kes kini sedang menunggu arahan pendakwaan di mahkamah di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah rumah. Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara sehingga 5 tahun dan denda, dan jika melibatkan kesalahan mencuri, hukuman boleh mencecah 14 tahun serta sebatan bagi pesalah berulang.
Penghargaan Kepada Pasukan Polis
Oh! Media sentiasa komited untuk terus bekerjasama penuh dengan PDRM dalam membenteras segala aktiviti jenayah di Malaysia ditambah pula dengan lantikan Oh! Media sebagai Duta Anti-Scam Siasatan Jenayah Komersil Polis Diraja Malaysia pada tahun 2022 lalu.
Setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pasukan dari IPD Wangsa Maju yang terlibat secara langsung dalam menyelesaikan kes ini, terutamanya:
Sarjan Mohd Sofihan bin Adal – Pegawai Penyiasat (AIO kes)
INSP Mohamad Noor Faiez bin Mahadi – Pegawai PPD4
Anggota D4 IPD Wangsa Maju – Pegawai tangkapan
DSP Ismail bin Ahmad – Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (KBSJD), IPD Wangsa Maju
Ketua Polis Daerah (KPD) Wangsa Maju
Timbalan Ketua Polis Daerah (T/KPD) Wangsa Maju
“Tiada siapa yang boleh lari dari undang-undang. Kita akan pastikan mereka dibawa ke muka pengadilan,” tegas Sarjan Sofihan menutup temubual.
Semoga kes ini menjadi pengajaran kepada penjenayah di luar sana bahawa setiap jenayah akan diburu, dan setiap mangsa akan dibela.
Ingat, jenayah membawa padah.
Kongsikan artikel ini:
Khai Hassan
Penjinak sepenuh masa di Oh! Media. Telah mencipta jenama ini sejak dari dalam perut mak lagi. Tak percaya tanya mak saya | Instagram
Amyrul Bakhtiar Kongsi Kisah Hidup Sebelum Viral Dan Lagu Raja Gelek Perodua | Oh! Podcast Ep26
OH! MEDIA 24/04/2026 7:45 PM