Di Facebook tular luahan hati seorang doktor mendakwa dirinya tidak dibenarkan bertanya soalan semasa sesi townhall bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Doktor Muhamad Na’im Ab Razak berkata, sesi tersebut rupanya dikhaskan untuk jururawat, Pembantu Perubatan (PPP), dan Pegawai Perubatan Kesihatan (PPK) sahaja.
Doktor mendakwa tak dibenarkan tanya soalan
Jadi, beliau seolah-olah tidak diizinkan untuk mengemukakan soalan meskipun sudah berdiri di belakang mikrofon.
Namun, Dr Na’im menyatakan bahawa beliau tetap memilih untuk berdiri walaupun lima orang penyelia cuba menariknya untuk berundur.
Lima orang penyelia datang tarik untuk berundur tapi saya ambil keputusan untuk tetap berdiri. Akhirnya, mikrofon disembunyikan.
Ujar beliau, tindakannya hadir di majlis itu dengan niat baik dan profesionalisme bukannya mahu membuat kecoh dan merosakkan majlis orang.
Serah surat kepada Menteri Kesihatan
Walaupun tidak diberi ruang untuk bersuara, Na’im tetap menyerahkan poster dan surat kepada Yang Berhormat Menteri Kesihatan (YBMK) di akhir majlis.
Namun, surat dikatakan dilipat dan diserahkan kepada seseorang dipercayai pengawal peribadi. Jadi beliau tidak pasti sama ada kandungan surat dibaca ataupun tidak.
“Tak apa. Sekarang kita balik tidur. Barai post call dengan pesakit kritikal bersusun-susun sampai pagi,” tulisnya, memberi gambaran jelas tentang kesibukan seorang doktor namun beliau berusaha untuk hadir majlis demi menyuarakan isu penting.
Di hantaran lain, Dr Na’im sempat bertemu dengan Setiausaha Akhbar (SUA) kepada Menteri Kesihatan iaitu Encik Nik Azmi bin Nik Ahmad Fathil.
Beliau menegaskan pendiriannya yang berpegang kepada prinsip iaitu menyokong usaha baik yang dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Namun, beliau tidak akan sesekali berkompromi tentang isu kebajikan staf di bawah KKM.