Connect with us

Oh! Media

Gadis Indonesia Didenda, Miliki dan Salah Guna Mykad Palsu Daftar MySejahtera

Trending

Gadis Indonesia Didenda, Miliki dan Salah Guna Mykad Palsu Daftar MySejahtera

Seorang wanita warga Indonesia berusia 22 tahun didenda sebanyak RM14,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Georgetown, hari ini, di atas dua pertuduhan memiliki dan menggunakan kad pengenalan (MyKad) Palsu.

ADVERTISEMENT

Tertuduh bernama Ziehara Toding yang tidak diwakili peguam membuat pengakuan itu ketika Majistret R. Manomani membaca pertuduhan di hadapannya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan aplikasi MySejahtera atas identiti orang lain dan tertuduh dijatuhkan hukuman denda RM6,000 dan tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja memiliki MyKad atas nama orang lain sebagai dokumen pengenalan dirinya dan tertuduh dijatuhkan hukuman denda RM8,000 dan empat bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.

Tertuduh melakukan kesalahan kedua itu di di alamat 1-17-04, Desa Pinang 2, Lebuh Sungai Pinang di sini antara pukul 12.30 tengah hari dan 2.30 petang pada Sabtu lalu.

Bagi kedua-dua kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun dan denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan oleh pegawai pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara, Azry Ahmad.

Menurut JPN negeri, Nur Zulfa Ibrahim, kes melibatkan kesalahan MyKad Palsu tersebut merupakan kes ke-11 yang dituduh pihaknya di mahkamah sepanjang tahun ini dan jumlah itu meningkat berbanding tahun lalu yang mana merekodkan sembilan pertuduhan atas kes yang sama.

Tambah beliau, sepanjang tahun lalu sehingga jun tahun ini, pihaknya telah menahan seramai 25 individu menerusi 21 operasi yang dijalankan dan 16 daripada yang ditahan merupakan warga asing dan selebihnya merupkan rakyat tempatan.

Daripada jumlah itu, 16 yang ditahan merupakan warga asing manakala sembilan lagi ialah rakyat tempatan yang antaranya melibatkan kesalahan seperti pendaftaran palsu untuk sijil kematian.

Dalam pada itu, pihaknya akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras sindiket pengeluaran MyKad palsu di negeri ini selain turut memohon bantuan daripada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat tentang perkara ini supaya melaporkan kepada saluran yang disediakan.

Kredit: Utusan Harian

+ Baca respon pembaca di Facebook Oh! Media

Lagi dalam kategori Trending

Ke Atas