Gurauan keterlaluan bukan lagi boleh dijadikan alasan. Itu amaran keras daripada Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki susulan tularnya video menyayat hati melibatkan pelatih Orang Kurang Upaya (OKU) yang dipercayai dibuli di GiatMara Durian Tunggal, Melaka baru-baru ini.
Video yang mencetuskan kemarahan ramai itu menunjukkan seorang pelatih OKU dipermainkan dengan tindakan seperti membaling botol ketika dia tidur serta menyembunyikan motosikal miliknya dalam sangkar.
IKLAN
Asyraf Wajdi tegas! Tiada kompromi, tiada tempat buat pembuli…
Susulan insiden itu, Asyraf tampil dengan kenyataan tegas bahawa tiada sebarang kompromi akan diberikan terhadap pelaku yang terbabit dalam perbuatan membuli, terutamanya apabila ia melibatkan individu istimewa.
Saya tegaskan sekali lagi bahawa tiada kompromi terhadap sesiapa yang melakukan perbuatan membuli dalam apa jua bentuk sama ada fizikal atau mental. Tiada tempat buat pembuli di mana-mana Institusi Pendidikan Mara.- Katanya.
Beliau turut menolak mentah-mentah alasan ‘gurauan’ yang digunakan oleh pelaku untuk menutup kesalahan mereka.
Walau apa jua alasan termasuk gurauan tidak boleh diterima dan tindakan tegas pasti akan diambil terhadap para pelaku.- Tambah beliau.
Siasatan telah dimulakan, pelaku akan dikenakan tindakan…
Menurut Asyraf, pihaknya telah menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara untuk tindakan segera diambil. Hasil siasatan awal mendapati insiden berkenaan berlaku ketika latihan di GiatMara Alor Gajah sebelum pelatih kini menjalani Latihan Industri (LI) dalam Teknologi Kimpalan dan Fabrikasi Logam.
Pengurusan GiatMara Melaka akan memanggil semua individu yang terbabit dalam rakaman termasuk pelatih mangsa untuk siasatan lanjut. Tindakan paling tegas pasti akan diambil jika terbukti wujud unsur buli.- Katanya lagi.
Video tular cetus kemarahan netizen…
Sebelum ini, seorang pemuda mendedahkan kejadian itu melalui satu klip video berdurasi dua minit. Dalam rakaman tersebut, mangsa OKU lembam pembelajaran meluahkan rasa tertekan setelah sering dibuli.
Dia tengah tidur kena baling botol, tengah belajar budak-budak ni angkat motosikal dia simpan dalam sangkar.- Jelas pemuda itu yang turut menyeru agar orang ramai menyebarkan video itu bagi menuntut tindakan daripada pihak berwajib.
Pssttt! Buli bukan lagi isu remeh yang boleh dipandang enteng. Meskipun diselindung di sebalik istilah ‘gurauan’, penderaan mental dan fizikal tetap meninggalkan kesan mendalam, apatah lagi terhadap insan istimewa seperti OKU. Kita semua bertanggungjawab untuk menyuarakan kebenaran dan mewujudkan ruang yang selamat dan berperikemanusiaan untuk semua.