Connect with us

Oh! Media

Suami Lafaz Cerai Kerana Mengajar Talak

Umum

Suami Lafaz Cerai Kerana Mengajar Talak

SOALAN:
Suatu hari saya dan suami sedang bercerita berkenaan talak yang sah dan tidak sah. Suami saya mengajarkan saya bagaimanakah ayat yang membuatkan talak itu boleh jatuh lalu terlafazkan dengan nama saya. Ayat suami “contoh ayat jatuh talak, saya ceraikan kamu ‘nama saya’ dengan talak 3. Begini barulah jatuh talak.” Soalan saya ustaz, adakah jatuh talak sekiranya suami bertujuan untuk mengajar isteri semata-mata dan bukanlah berniat untuk menceraikan?

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Kami mulakan kalam ini dengan sabda Nabi Muhammad SAW:

«إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى، فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا، أَوْ إِلَى امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا، فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ»
“Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat, dan setiap orang mendapat (pahala) berdasarkan apa yang dia niatkan. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah bagi Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang dia ingin memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang dia ingin menikahinya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang dia niatkan.” [Riwayat al-Bukhari (1), Muslim (1907)]

Hadith ini menjelaskan bahawa setiap perbuatan mestilah disertai dengan niat. Ini kerana jika amal ibadat dilakukan tidak bersama-sama atau tidak disertai dengan niat, maka ia tidak sah. Hadith ini juga menjadi asas penting dalam banyak perkara dan juga hukum seperti ibadat, muamalat, munakahat khususnya dalam hal perceraian. Niat merupakan rukun ketiga daripada rukun-rukun talak dan ia bersangkut paut dengan lafaz sighah (ucapan) dan juga syarat-syarat orang yang melafazkan talak. [Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’I; 4/163]

Maka, berbalik kepada persoalan di atas, berkenaan hukum seseorang mengucapkan lafaz cerai terhadap isterinya dengan niat untuk mengajar ataupun mendidik. Ulama’ Syafi’i meletakkan perbahasan ini dalam bab Sabq al-Lisan (terlepas cakap) di bawah rukun talak yang ketiga iaitu al-Qasd (Niat). Justeru, kami senaraikan beberapa pendapat para ulama’ berkenaan dengan isu ini.

Imam Zakariyya al-Ansori berkata:

(الرُّكْنُ الثَّالِثُ قَصْدُ الطَّلَاقِ فَيُشْتَرَطُ قَصْدُ اللَّفْظِ بِمَعْنَاهُ) أَيْ مَعَهُ لِيُزِيلَ مِلْكَ النِّكَاحِ… الْمُعْتَبَرَ قَصْدُ اللَّفْظِ وَالْمَعْنَى مَعًا وَاعْتُبِرَ قَصْدُ الْمَعْنَى لِيَخْرُجَ حِكَايَةُ طَلَاقِ الْغَيْرِ وَتَصْوِيرُ الْفَقِيهِ وَالنِّدَاءُ بِطَالِقٍ لِمُسَمَّاةٍ بِه
“Rukun ketiga iaitu niat talak, maka disyaratkan untuk berniat dan bermaksud dengannya, iaitu bersamanya akan luput atau hilang akad nikah itu… yang muktabar (diterima) ialah niat secara lafaz dan juga makna, ini juga bererti terkeluar darinya hikayat talak orang lain dan gambaran orang faqih (pengajaran) dan juga memanggilnya kerana namanya diberikan sedemikian.” [Lihat: Asna al-Matholib; 3/280]

Syeikh Dr Muhammad al-Zuhaili berkata:

وكذا إذا تلفظ الشخص بالطلاق حاكيًا كلام غيره، وكذلك الفقيه إذا تكرر لفظ الطلاق في درسه وتصويره، فهو لغو، لعدم القصد
“Begitu juga jika seseorang melafazkan talak sebagai cerita dari kata-kata orang lain, dan begitu juga jika seorang faqih mengulangi lafaz talak dalam pengajiannya atau menggambarkannya, maka ia adalah sia-sia (tidak sah) kerana tiada niat padanya.” [Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i; 4/164]

Syeikh al-Doktor Wahbah al-Zuhaili pula berkata bahawa talak tidak berlaku pada seorang faqih yang mengulanginya dan juga pada orang yang memberi hikayat (cerita) dari orang lain atau diri sendiri, kerana dia tidak berniat terhadapnya, namun berniat untuk pengajaran dan juga penceritaan. [Lihat: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu; 7/368]

Penutup

Kesimpulannya, kami mengatakan bahawa hukum seorang suami mengucapkan lafaz talak terhadap isteri sebagai contoh dengan tujuan mengajar atau menyampaikan hikayat adalah tidak jatuh talak melainkan jika dia berniat sememangnya untuk menjatuhkan talak, maka jatuhlah talaknya. Namun, jika masih wujud keraguan atau timbul pertikaian, maka seeloknya ia dirujuk di Mahkamah Syariah. Seterusnya, kami menasihati orang ramai agar jika ingin mengajar berkenaan dengan lafaz talak, sebaiknya tidak digunakan nama isteri sebagai contoh. Dan juga kami menasihati agar tidak bergurau senda atau menganggap remeh hal talak ini kerana sabda Nabi Muhammad SAW:

ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ
“Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh, iaitu, nikah, cerai, rujuk semula (selepas talak).” [Riwayat Abu Daud (2194)]

Akhirnya, kami mendoakan agar Allah SWT merahmati kehidupan kita semua, dengan limpahan kurnia dan rahmatnya seterusnya memberkati segala amal perbuatan kita.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas