Perbicaraan kes pengabaian melibatkan kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin yang menggemparkan negara pada Disember lalu terus membuka lembaran mengejutkan.
Terbaru, Mahkamah Sesyen diberitahu mengenai kandungan perbualan WhatsApp yang dipercayai milik ibu dan bapa mangsa, yang memaparkan mesej berbaur tekanan emosi dan kemarahan terhadap arwah.
IKLAN
Saksi pendakwaan ke-25, Asisten Superintendan (ASP) Mohd Zaidi Abu Hassan yang merupakan juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer, mendedahkan analisis terhadap dua telefon bimbit yang dirampas menunjukkan mesej-mesej WhatsApp daripada dua folder bernama “Baby Sayang” dan “Manja”.
Antara mesej yang dibacakan di mahkamah adalah:
“Stressnya sampai rasa nak bunuh org je.”
“Hang belasah jela sampai puas.”
“Pastu nanti sakit ke mati baru tahu.”
“Zayn hilang, dia lari, lantaklah nak hidup ke nak mati, letih gila aku mencari, geram betullah.”
Lebih mengerikan, satu mesej lain bertarikh 11 Oktober 2023 juga dibaca:
“Stress gilalah dengan Zayn ni” dan “Macam nak bunuh diri je sekarang.”
Semua mesej ini dirakam hasil ekstrak data menggunakan peralatan XRY yang dilakukan sendiri oleh ASP Mohd Zaidi di makmal forensik.
Turut dimaklumkan kepada mahkamah bahawa terdapat aplikasi seperti Facebook, Google Photos dan WhatsApp Business telah dinyahpasang daripada salah satu telefon milik suspek.
Perbicaraan hari ke-14 ini adalah kesinambungan daripada kes pengabaian terhadap Zayn yang didakwa dilakukan oleh kedua ibu bapanya, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf.
Mereka dituduh mengabaikan kanak-kanak berusia enam tahun itu antara 5 hingga 6 Disember 2023, di sekitar kawasan kediaman mereka di Damansara Damai.
Mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan, pasangan itu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda hingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Perbicaraan bersambung esok dan dijangka akan terus mengupas lebih banyak pendedahan yang bakal merungkai punca sebenar kejadian tragis ini.