Oh! Inspirasi
Usaha MPOGCF Di Sabah Buka Mata Tentang Nilai Sebenar Pemuliharaan
Usaha MPOGCF di Sabah bukan sahaja memberi tumpuan kepada pemuliharaan hidupan liar.
Bila bercakap tentang pemuliharaan hidupan liar, ramai mungkin terus terbayang kerja menyelamatkan haiwan semata-mata. Namun selepas melihat sendiri beberapa usaha yang dijalankan di Sabah, Ohmedia sedar pemuliharaan sebenarnya jauh lebih besar daripada itu. Ia bukan sahaja tentang gajah, hutan atau beruang madu, tetapi juga tentang manusia yang belajar berkongsi ruang dengan alam.
Antara usaha yang menarik perhatian Ohmedia adalah inisiatif dijalankan Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) bersama pihak berkaitan di Sabah.

Di Sabah Softwoods Berhad, Tawau, MPOGCF turut membantu dalam projek pembelian kolar pengesan pergerakan gajah. Kolar ini digunakan bagi memantau laluan dan corak pergerakan gajah Borneo supaya konflik antara manusia dan hidupan liar dapat dikurangkan.
Apa yang membuatkan usaha ini terasa lebih bermakna, pihak Sabah Softwoods Berhad tidak melihat kehadiran gajah sebagai masalah yang perlu dihalau.
Sebaliknya, mereka memilih untuk menyesuaikan operasi ladang dengan laluan hidupan liar. Mereka bekerja sambil mengambil kira kepentingan habitat gajah, bukan hanya memikirkan keuntungan semata-mata.
Sabah Softwood Berhad wujudkan koridor hidupan liar

Usaha menyediakan koridor laluan hidupan liar ini juga sudah menunjukkan kesan yang cukup besar. Sebelum laluan ini diwujudkan, kerosakan tanaman dan konflik melibatkan gajah menyebabkan pihak ladang perlu menanggung kerugian sehingga RM550,000 setahun.
Namun selepas koridor laluan dilaksanakan, jumlah itu difahamkan menurun dengan sangat ketara kepada sekitar RM5,000 setahun. Angka ini jelas membuktikan bahawa apabila manusia memilih untuk memahami pergerakan hidupan liar, penyelesaiannya boleh memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Ohmedia juga berpeluang melihat sendiri kumpulan gajah yang bergerak bebas di kawasan tersebut. Dari pemerhatian kami, gajah-gajah ini kelihatan sihat, tenang dan selamat bergerak dalam kumpulan mereka.
Momen itu cukup membuka mata. Rupa-rupanya, pemuliharaan bukan semata-mata tentang melindungi haiwan, tetapi mencari jalan terbaik supaya manusia dan hidupan liar boleh hidup bersama.
Pemulihan hutan diiktiraf dunia

Selain koridor hidupan liar, MPOGCF turut terlibat dalam projek pemulihan hutan di Lower Kawag, Hutan Simpan Ulu Segama-Malua, Lahad Datu.
Projek ini dilaksanakan bagi memulihkan kawasan hutan yang pernah terjejas akibat kebakaran besar ketika fenomena El Niño serta aktiviti pembalakan tidak terancang sebelum ini.
Lebih membanggakan, usaha pemulihan hutan ini turut mendapat pengiktirafan antarabangsa melalui pensijilan Preferred by Nature. Pengiktirafan ini membuktikan kerja pemulihan yang dijalankan bukan sekadar memenuhi keperluan tempatan, tetapi turut menepati standard global.

MPOGCF memperuntukkan RM10 juta bagi melaksanakan projek pemulihan hutan di kawasan seluas 2,500 hektar untuk tempoh 10 tahun, bermula 2019 hingga 2029.
Menurut Eksekutif Pemuliharaan dan Kemampanan MPOGCF, Ts Daniel Pamin, pelaburan jangka panjang ini menggambarkan kesungguhan MPOGCF untuk memastikan usaha pemulihan hutan “tidak terhenti di pertengahan jalan”.

Sejak projek ini bermula, lebih 100,000 anak pokok spesies tempatan telah ditanam. Antaranya termasuk Talisai, Binuang, Laran serta spesies kayu keras seperti Seraya dan Kapur.
Setiap pokok yang ditanam mungkin nampak kecil pada hari ini. Tapi dalam jangka panjang, ia boleh menjadi tempat berlindung, sumber makanan dan laluan selamat kepada pelbagai spesies hidupan liar.
Komuniti turut terima manfaat

Apa yang lebih menarik, usaha pemulihan hutan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar, tetapi turut membuka peluang kepada komuniti setempat.
Di Kampung Tampenau, penduduk diberi peluang untuk menghasilkan pelbagai jenis anak pokok hutan yang diperlukan bagi projek penanaman semula. Anak pokok ini kemudiannya dibeli sendiri oleh MPOGCF sebelum digunakan dalam usaha pemulihan habitat.

Setakat ini, program nurseri komuniti tersebut difahamkan melibatkan 114 peserta berusia antara 21 hingga 84 tahun.
Lebih membanggakan, pembelian anak pokok daripada komuniti sudah mencatatkan nilai hampir RM1 juta. Jumlah ini sudah pasti memberi pendapatan sampingan yang cukup bermakna kepada penduduk setempat.

Seorang peserta, Sintina Sirap, 84, turut berkongsi bahawa penglibatannya bukan semata-mata kerana wang, sebaliknya kerana minat menanam yang sudah lama sebati dalam dirinya.
Pendekatan ini menunjukkan bahawa pemuliharaan boleh berjalan seiring dengan manfaat ekonomi kepada komuniti. Dalam masa sama, penduduk bukan sekadar menjadi pemerhati, tetapi turut menjadi sebahagian daripada usaha menjaga hutan.
Lindungi beruang madu Borneo

Jika koridor gajah menunjukkan bagaimana konflik boleh dikurangkan, lawatan ke Bornean Sun Bear Conservation Centre (BSBCC) di Sepilok, Sandakan pula memperlihatkan sisi lain pemuliharaan iaitu perlindungan dan pemulihan spesies yang terancam.
Pusat ini memainkan peranan penting dalam melindungi dan memulihkan beruang madu Borneo yang diselamatkan. Selain menyediakan perlindungan, BSBCC turut membantu meningkatkan kesedaran orang ramai tentang ancaman yang dihadapi spesies ini.

Beruang madu mungkin nampak comel pada mata ramai, tetapi realitinya spesies ini berdepan pelbagai cabaran termasuk kehilangan habitat dan gangguan aktiviti manusia.
Sebab itu, pusat pemuliharaan seperti ini sangat penting dalam memastikan spesies berharga ini terus dilindungi.
Usaha yang perlu terus disokong

Melihat sendiri usaha yang dijalankan, jelas bahawa pemuliharaan hidupan liar bukan kerja mudah. Ia memerlukan perancangan, kerjasama dan komitmen banyak pihak termasuk organisasi, pemain industri, komuniti setempat dan masyarakat umum.
Apa yang dilakukan MPOGCF membuktikan bahawa pemuliharaan bukan hanya tentang menyelamatkan haiwan. Ia juga tentang memulihkan habitat, mengurangkan konflik dan memberi manfaat kepada komuniti yang tinggal berhampiran kawasan tersebut.
Dalam masa sama, usaha ini turut memperlihatkan bagaimana industri sawit boleh memainkan peranan lebih bertanggungjawab dalam menjaga biodiversiti negara.
Pssttt! Kadang-kadang kita terlalu banyak bercakap tentang pembangunan, keuntungan dan kemajuan. Tapi lawatan ini mengingatkan Ohmedia bahawa alam juga perlukan ruang untuk terus hidup. Usaha MPOGCF di Sabah membuktikan bahawa pemuliharaan yang dirancang dengan baik bukan sahaja melindungi hidupan liar, malah memulihkan habitat dan membantu komuniti setempat. Inilah nilai sebenar pemuliharaan yang perlu kita sokong bersama.
Kredit: Oh! Media
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.

