Oh! Negara
“Isu Kesihatan Kadangkala Di Luar Kawalan” – Syed Saddiq Akur Tunggu Dua Minggu Lagi
Syed Saddiq akur keputusan rayuan ditangguh ke 13 Julai susulan isu kesihatan panel hakim.
Penantian Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mengetahui keputusan rayuannya nampaknya belum berakhir apabila Mahkamah Persekutuan menetapkan tarikh baharu pada 13 Julai depan.
BACA: Keputusan Rayuan Akhir Syed Saddiq Ditangguh, Salah Seorang Panel Hakim Tidak Sihat
Walaupun keputusan itu hadir secara mengejut, Syed Saddiq memilih untuk akur dan terus meletakkan kepercayaan kepada proses kehakiman negara.
Enam tahun berjuang bersihkan nama

Memetik laporan Harian Metro, Syed Saddiq berkata, beliau menghormati keputusan panel hakim dan percaya institusi kehakiman merupakan tempat terakhir untuk seseorang mendapatkan keadilan menerusi fakta serta bukti.
Bukan melalui jalan pintas ataupun layanan istimewa, tetapi melalui perbicaraan yang berdasarkan fakta dan data di bawah institusi kehakiman itu sendiri. Saya faham perkara ini (penangguhan keputusan) memang tidak dijangkakan, sebab itu agak sukar untuk saya berikan apa-apa komen atau ulasan lanjut. Ia bukan sesuatu yang kami rancang atau ada dalam perancangan.
Menurut Syed Saddiq lagi, kes yang dikaitkan dengannya bukan baru malah sudah memasuki tahun keenam. Dia berusaha untuk mendapatkan keadilan demi membersihkan nama, integriti dan maruah dirinya.
Kalau perlu menunggu lagi dua minggu, saya akur dan patuh.
Menurut Syed Saddiq, pasukan peguamnya sebelum ini hanya bersedia untuk berdepan apa sahaja kemungkinan keputusan rayuan, namun tidak menjangka prosiding pada hari tersebut akan ditangguhkan.

Dalam masa sama, beliau berkata perkara berkaitan kesihatan kadangkala berlaku di luar kawalan dan perlu dihormati, terutama apabila ia melibatkan institusi kehakiman.
Terdahulu, prosiding keputusan rayuan akhir Syed Saddiq tidak dapat diteruskan selepas salah seorang panel hakim, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, tidak dapat hadir kerana sedang menjalani cuti sakit selama dua hari.
Perkara itu dimaklumkan oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, sebelum keputusan rayuan berkenaan ditetapkan semula ke 13 Julai depan.
Pssttt! Bukan mudah untuk menunggu keputusan dalam kes yang sudah berlarutan bertahun-tahun, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan soal nama, maruah dan integriti seseorang. Apa pun, proses mahkamah tetap perlu dihormati dan semua pihak wajar memberi ruang kepada institusi kehakiman menjalankan tugasnya dengan telus.
Kredit: Harian Metro
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.

