Trending
Isu Jenazah Dibiarkan Lebih Sejam Di Liang Lahad, JAIS Beri Penjelasan
JAIS beri penjelasan isu jenazah dibiarkan lebih sejam di liang lahad sebelum dikebumikan.
Baru-baru ini, tular di media sosial dakwaan jenazah dibiarkan lebih sejam di liang lahad sebelum dikebumikan. Susulan itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tampil memberi penjelasan sebenar.
Menerusi kenyataan media bertarikh 27 Jun 2026, JAIS hasil siasatan dan semakan mendapati jenazah tersebut merupakan ahli kariah Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam dan telah meninggal dunia pada 25 Jun 2026 pada pukul 6.22 pagi.
Pada peringkat awal, waris dikatakan berurusan dengan Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS) yang tidak mempunyai kaitan dengan pihak masjid bagi tujuan pengebumian jenazah.
JAIS nafi masjid punca kelewatan
Waris juga berhasrat untuk mengebumikan jenazah di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana yang terletak di bawah seliaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
Menurut JAIS, bapa kepada si mati hanya bertemu dengan Pembantu Pengurus Masjid Nurul Hidayah pada pukul 10.30 pagi bagi mendapatkan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam.

Borang tersebut diperlukan bagi membolehkan jenazah dikebumikan di lokasi berkenaan.
Jenazah dibawa tanpa dokumen sah
JAIS memaklumkan, pihak masjid telah mengeluarkan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam pada pukul 11.15 pagi selepas menerima Daftar Kematian yang asal.
Namun, pihak masjid kemudian dimaklumkan bahawa datuk si mati berkeras mahu jenazah diuruskan oleh BKS.
Bagi mengelakkan kemungkinan berlaku kekecohan di tempat pengurusan jenazah, pihak masjid meminta bantuan polis untuk bersama-sama hadir ke lokasi pengurusan jenazah.
Bagaimanapun, ketika pihak masjid tiba di Surau An-Nur, Taman Cempaka, mereka dimaklumkan bahawa jenazah telah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam oleh pihak BKS.
Ketika itu, Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam dan Daftar Kematian si mati masih berada dalam pegangan pihak masjid.
JAIS menjelaskan, urusan pengebumian tidak dapat diselesaikan kerana waris telah membawa jenazah ke tanah perkuburan tanpa kedua-dua dokumen sah tersebut.
Pihak masjid kemudian dihubungi oleh Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana yang memaklumkan bahawa jenazah sudah berada di liang lahad.

Selepas itu, pihak masjid membawa dokumen yang sah ke tanah perkuburan bagi membolehkan proses pengebumian disempurnakan.
Borang didakwa palsu, laporan polis dibuat

Dalam kenyataan sama, JAIS turut memaklumkan pihak masjid mendapati Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam yang dikemukakan oleh waris kepada pengurusan kubur didapati palsu.
Borang itu didakwa digunakan bagi membolehkan keberadaan jenazah di liang lahad. Susulan penemuan itu, satu laporan polis telah dibuat pada 26 Jun 2026 berhubung dakwaan pemalsuan dokumen tersebut.
JAIS turut menafikan dakwaan bahawa kelewatan pengebumian berpunca daripada pihak masjid. Sebaliknya, kelewatan itu menurut JAIS berlaku akibat kekeliruan pihak waris yang menyerahkan sepenuhnya urusan pengebumian kepada BKS yang tiada hubungan dengan pihak masjid.
JAIS juga menafikan dakwaan bahawa pihak masjid menuntut bayaran RM1,400 daripada waris bagi membolehkan jenazah diuruskan.
Pssttt! Urusan jenazah bukan perkara kecil kerana ia melibatkan amanah, emosi keluarga dan tuntutan agama. Jadi, penting untuk semua pihak merujuk saluran yang betul supaya tidak berlaku kekeliruan sehingga menyukarkan proses pengebumian. Semoga penjelasan JAIS ini dapat menjawab persoalan orang ramai dan menjadi pengajaran agar urusan pengebumian jenazah selepas ini dikendalikan dengan lebih tersusun, cepat dan penuh hormat.
Kredit: Facebook JAIS
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.

