Connect with us

Oh! Media

Solat Menghadap Ke Arah Tandas, Sah Ke? Ini Penjelasan Dari Dr Zulkifli

solat

Oh! Islam

Solat Menghadap Ke Arah Tandas, Sah Ke? Ini Penjelasan Dari Dr Zulkifli

Nak solat tapi kiblat menghadap tandas? Apa hukumnya, adakah solat itu sah?

ADVERTISEMENT

Korang mesti pernah berada dalam situasi macam ni kan, lebih-lebih lagi apabila ruangan dalam bilik terhad dan kecil.

Jadi bila nak solat terpaksalah menghadap ke arah tandas sebabnya kiblat berbetulan ke arah yang sama. Tetapi pintu tandas itu tertutup.

Kali ini kami akan kongsikan pencerahan dari bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagi persoalan tersebut.

Secara umumnya, Islam membenarkan umatnya untuk menunaikan solat di mana-mana sahaja bagi menyempurnakan perintah tersebut kecuali pada beberapa tempat seperti tandas atau bilik mandi.

Hal ini dijelaskan berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَهَى أَنْ يُصَلَّى فِي سَبْعَةِ مَوَاطِنَ فِي الْمَزْبَلَةِ وَالْمَجْزَرَةِ وَالْمَقْبُرَةِ وَقَارِعَةِ الطَّرِيقِ وَفِي الْحَمَّامِ وَفِي مَعَاطِنِ الإِبِلِ وَفَوْقَ ظَهْرِ بَيْتِ اللَّهِ ‏

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang untuk mendirikan solat di tujuh tempat iaitu tempat (pembuangan) sampah, tempat penyembelihan haiwan, perkuburan, di tengah jalan, tempat pemandian (tandas), tempat unta, dan di atas Kaabah.

Riwayat al-Tirmizi (346)

Begitu juga disebutkan di dalam hadith lain yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri R.A:

الأَرْضُ كُلُّهَا مَسْجِدٌ إِلاَّ الْمَقْبُرَةَ وَالْحَمَّامَ

Maksudnya: “Bumi seluruhnya adalah masjid (tempat untuk sujud/solat) melainkan perkuburan dan bilik mandi (atau tandas).

Riwayat al-Tirmizi (317)

Menurut hadith berkenaan, ia menyatakan bahawa larangan untuk mendirikan solat di perkuburan dan bilik mandi (atau bilik air), dan para ulama berselisih pendapat mengenai hukumnya. Imam Ahmad berpendapat bahawa solat yang didirikan di dalamnya adalah tidak sah.

Manakala jumhur ulama pula berpendapat, solat yang didirikan adalah sah dengan syarat bersih daripada najis dan ia dihukumkan sebagai makruh. Namun, al-Mubarakfuri kemudiannya menyatakan bahawa zahir hadith menunjukkan ia adalah dilarang.

Seterusnya Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan kenyataan al-Syirazi di atas menyebutkan, pendapat yang paling sahih (asah) bahawa sebab larangan (solat di bilik mandi/bilik air) kerana ia adalah tempat tinggal syaitan, maka dihukumkan sebagai makruh tanzih dan solatnya adalah dikira sah.

(Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/159).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, pada asasnya tidak mengapa seseorang untuk solat menghadap ke arah tandas atau bilik air selagi mana dia masih berada di luar tandas dan kawasan tersebut suci daripada najis.

Hal ini kerana di antara syarat sah solat adalah suci tempat bersolat daripada najis. Tempat bersolat bermaksud ruang yang digunakan oleh orang yang bersolat termasuk tempat berpijak hingga ke tempat sujud yang bersentuhan dengan badannya ketika bersolat. Sehubungan itu, tidak mengapa tempat yang bernajis sekiranya tidak bersentuhan dengan badan.

(Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/122-123).

Selain itu, apa yang dilarang adalah seseorang itu solat di dalam tandas atau bilik mandi kerana ia terdedah kepada najis atau merupakan tempat tinggal syaitan.

Sekalipun begitu, jika seseorang tetap mendirikan solat di dalamnya di kawasan yang diyakini suci daripada najis, solatnya tetap dikira sah tetapi hukumnya adalah makruh sebagaimana yang kami telah sebutkan di atas.

Justeru, mendirikan solat di luar kawasan tandas yang diyakini bersih adalah lebih-lebih lagi utama untuk dibolehkan, sekalipun berbetulan arah kiblat menghadap ke arah tandas.

Konklusinya, ianya tidak mengapa seseorang mendirikan solat menghadap ke arah tandas disebabkan oleh arah kiblat yang berbetulan berada pada arah yang sama selagi mana kawasan itu suci daripada najis dan solat yang didirikan itu juga dikira sah.

BACA: Ragu-Ragu Nak Solat Sebab Pakaian Terkena Muntah Bayi, Ini Penjelasan Dari Segi Sudut Islam

Sebelum ini kami pernah kongsikan hukum mengenai jika pakaian seseorang terkena muntah atau jeluak bayi dan di bawa ke solat.

Kredit: Maktabah Albakri

+ Bacaa respon pembaca di Facebook dan Telegram Oh! Media.


https://www.tiktok.com/@ohmedia/video/7285616709363305735?is_from_webapp=1&sender_device=pc&web_id=7135797539647243778

  • solat
  • solat

Lagi dalam kategori Oh! Islam

Ke Atas