Connect with us
bank konvensional

Oh! Islam

Ini Hukum Bekerja Di Bank Konvensional Yang Ada Riba, Perlu Berusaha Cari Kerja Lain

Hari ini Ohmedia tertarik dengan perkongsian laman web Mufti Wilayah Persekutuan yang membincangkan tentang hukum bekerja di bank konvensional.

Perkara ini dibincangkan selepas melihat kebanyakan bank mengenakan caj yang berlebihan kepada pelanggan mereka sehingga timbul persoalan timbul isu transaksi riba atau tidak. Berikut penjelasan penuh:

IKLAN

Jawapan ringkas

Perbezaan yang ketara antara bank konvensional dan bank islamik di sini boleh dilihat pada keuntungan dalam perbankan Islam diperoleh daripada transaksi yang dibenarkan oleh syarak seperti kontrak jual beli.

Manakala faedah dalam perbankan konvensional pula, diperoleh secara langsung daripada kontrak pinjaman dan ini tidak dibenarkan oleh syarak kerana membawa kepada riba.

Huraian jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Allah SWT berfirman:

وَكُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ حَلَالًا طَيِّبًا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي أَنتُم بِهِ مُؤْمِنُونَ ‎﴿٨٨﴾

Maksudnya: “Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepada-Nya sahaja kamu beriman.”

Surah al-Ma’idah (88)

Ayat ini jelas menunjukkan kewajipan mencari dan memakan rezeki yang halal lagi baik. Lafaz makan dalam ayat ini adalah umum merangkumi segala perbuatan yang lain seperti minum, pakai, menaiki dan sebagainya[1]. Hal ini termasuklah bekerja bagi menyara kehidupan seharian, mestilah ditekankan agar punca rezeki dan mata pencarian datangnya daripada sumber yang halal. Hal ini kerana, setiap apa yang menjadi rezeki atau yang berkaitan dengan kehidupan seharian kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT di akhirat kelak.

Ia jelas berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Mas‘ud R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تَزُولُ قَدَمَا ابْنِ آدَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عِنْدِ رَبِّهِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ خَمْسٍ عَنْ عُمْرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ شَبَابِهِ فِيمَا أَبْلاَهُ وَمَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ وَمَاذَا عَمِلَ فِيمَا عَلِمَ

Maksudnya: “Kaki anak Adam akan tetap tegak berdiri di sisi Tuhannya pada hari Kiamat hingga dia ditanya tentang lima perkara (iaitu): tentang umurnya untuk apa dia habiskan, tentang masa mudanya untuk apa dia gunakan, tentang hartanya dari mana dia dapatkan, dan dalam hal apa (hartanya tersebut) dia belanjakan dan apa sahaja yang telah dia lakukan dari ilmu yang dimilikinya.”

Riwayat al-Tirmizi (2416)

Berkenaan isu bekerja di bank konvensional, umum mengetahui bahawa bank konvensional merupakan salah satu institusi kewangan yang wujud di Malaysia sebelum adanya bank islamik. Kedua-duanya daripada industri yang sama namun pada hakikatnya, ia berbeza daripada sudut pengurusan, penghasilan dan sebagainya. Perbezaan yang ketara di sini boleh dilihat pada keuntungan dalam perbankan Islam diperoleh daripada transaksi yang dibenarkan oleh syarak seperti kontrak jual beli. Manakala faedah dalam perbankan konvensional pula, diperoleh secara langsung daripada kontrak pinjaman dan ini tidak dibenarkan oleh syarak kerana membawa kepada riba.

Dalam bab ini, isu yang berlaku ialah bila mana seseorang itu bekerja di bank konvensional yang mana kebanyakan transaksi yang dijalankan adalah melalui sistem riba, sedangkan Allah SWT berfirman:

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

Surah al-Baqarah (275)

Juga dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir R.A bahawasanya:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ آكِلَ الرِّبَا وَمُؤْكِلَهُ وَكَاتِبَهُ وَشَاهِدَيْهِ وَقَالَ هُمْ سَوَاءٌ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah melaknat orang yang memakan harta riba, orang yang menjadi wakilnya (orang yang memberi makan hasil riba), orang yang menuliskan dan dua orang yang saksinya, (dan selanjutnya), Nabi bersabda, mereka itu semua sama saja.”

Riwayat Muslim (1598)

Ini merupakan dalil yang menunjukkan pengharaman berurus niaga dengan mereka yang menjalankan proses atau transaksi riba termasuklah juga mereka yang bekerja dengan bank konvensional yang mengamalkan transaksi riba. Hal ini sama seperti membantu mereka dalam perkara kebatilan[2].

Allah SWT berfirman:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ ‎﴿٢﴾

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”

Surah al-Ma’idah (2)

Meskipun begitu, adakah kesemua jenis bahagian dalam bank tersebut yang tergolong dalam kalangan mereka yang disebutkan dalam hadis di atas? Sehubungan dengan itu, mereka yang bekerja di bank konvensional ini boleh dikategorikan kepada dua golongan, iaitu[3]:

Golongan pertama: Mereka yang bekerja secara langsung dengan transaksi riba, maka pekerjaan itu hukumnya adalah haram. Antara pekerjaan yang terlibat secara langsung dengan transaksi riba termasuklah mereka yang bertugas sebagai teller (melayan pelanggan dalam melakukan transaksi di bank), pegawai pemasaran (mempromosi produk-produk konvensional kepada pelanggan), penganalisis kredit (orang yang menganalisis kelayakan penerima pinjaman), account officer (pegawai yang melakukan pemantauan terhadap kelancaran pembayaran kredit oleh pelanggan), bahagian admin kredit, akauntan, pegawai audit, barisan kepimpinan bank dan seumpamanya.

Golongan kedua[4]: Mereka yang bekerja tidak terkait langsung dengan transaksi riba seperti pegawai keselamatan, cleaner dan selainnya, maka pekerjaan sebegini adalah harus. Hal ini kerana pekerjaan mereka tidaklah berkait dengan sebarang transaksi riba sama ada memasarkan produk, menyediakan produk, mengisi perjanjian dan sebagainya lantas mengeluarkan mereka daripada tergolong dalam mereka yang disebutkan dalam hadis.

Berdasarkan penjelasan di atas, apa yang dapat kami nasihatkan ialah mereka yang sudah melibatkan diri dalam dunia pekerjaan di bank konvensional, mereka perlu berusaha sebaik mungkin untuk mencari pekerjaan halal yang lain. Wallahu A‘lam.

Kredit: Muftiwp.gov.my

+ Baca respon pembaca di Facebook dan Telegram Oh! Media.

Sayalah penulis sepenuh masa di Oh! Media yang selalu temani awak di saat susah nak tidur tu. Nak tahu apa yang terkini dan viral boleh cari nama abang ok!

Lagi dalam kategori Oh! Islam

Trending Bulan Ini

Ohmedia Banner
Ke Atas