Isu pencerobohan tanah dan penanaman durian secara haram di Pahang terus menjadi perhatian apabila pihak berkuasa negeri mengeluarkan amaran tegas kepada pekebun yang masih enggan tampil menyertai skim pemutihan.
Ketua Unit Penguatkuasaan Pihak Berkuasa Negeri (PBN), Saifullah Muhammad Ali menjelaskan bahawa operasi pemutihan akan dimulakan sebaik selesai tindakan penebangan 500 ekar durian haram.
IKLAN
Sekiranya selepas dua hingga tiga bulan masih tiada hasil positif, PBN akan memusnahkan tambahan 500 ekar dalam kawasan tanah kerajaan dan hutan simpan kekal.- Katanya.
Setakat ini, 11,296 ekar daripada 26,000 ekar tanaman durian haram telah diluluskan, namun 12,000 ekar selebihnya masih belum sah dan dalam pemantauan rapi.
Hanya pekerja asing jaga kebun, pondok akan dimusnahkan…
Menurut Saifullah lagi, ramai pekebun tidak berada di lokasi dan hanya meninggalkan kawasan dijaga oleh pekerja asing yang tinggal di pondok pertanian.
PBN bercadang untuk memusnahkan semua pondok dan menyita peralatan dalam kawasan yang masih tiada keputusan.- Ujarnya lagi.
Sebagai langkah lanjut, pihaknya juga mengarahkan kawasan yang telah disahkan perlu melantik pengawal keselamatan bagi mengelak pencerobohan berulang.
PBN pertimbang guna satelit ‘Real-Time’…
Untuk mempertingkat pemantauan, Saifullah berkata PBN kini menimbang penggunaan sistem imej satelit masa nyata dari planet.com berikutan sistem sedia ada mempunyai kelewatan paparan.
Sistem ini bagus dan banyak membantu, tetapi imej satelit yang dibekalkan terdapat lag. Ini menyukarkan sedikit tindakan penguatkuasaan.- Jelasnya.
Langkah ini diambil bagi memastikan tindakan lebih menyeluruh dan sistematik ke atas kebun durian haram yang semakin menjadi-jadi sejak beberapa tahun lalu.
Sebelum ini, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menzahirkan rasa terkejut dengan laporan mengenai 10,600 hektar tanah yang telah diceroboh di Raub dan digunakan untuk penanaman durian tanpa kelulusan.
Pssttt! Apa pun hasil yang dicari, janganlah sampai melanggar undang-undang dan rosakkan tanah milik kerajaan atau hutan simpan. Keuntungan jangka pendek tidak sepatutnya menggadaikan alam dan maruah negeri. Bila pihak berkuasa beri peluang, gunakanlah sebaiknya.