Oh! Artis
Aini Jasmin Permata Industri Seni Tapi Hidup Kesempitan Dan Dilupakan Ketika Akhir Hayatnya
Oleh
Berapa kali dah korang tengok filem Pendekar Bujang Lapok (1959) arahan P.Ramlee? Tengoklah berapa banyak kali pun mesti akan tetap terhibur dengan setiap watak yang dibawakan pelakon-pelakon hebat tanah air. Antara pelakon yang cukup memberi kesan dalam filem ini adalah Aini Jasmin walaupun hanya sekadar pelakon pembantu.
Biodata ringkas Aini Jasmin
Aini Jasmin sebenarnya dilahirkan di Batavia yang merupakan nama asal bagi Jakarta pada tahun 1923 dan namanya didaftarkan pada tahun 1927. Aini sememangnya sangat meminati bidang seni sejak remaja dan aktif di pentas bangsawan sebagai penari dan pelakon.
Dia kemudian mengikuti rombongan bangsawan yang menjelajah ke bandar-bandar besar seperti kepulauan Sumatera dan Singapura.
Bermula kerjaya sebagai anak seni
Pada tahun 1947, dengan pengalaman berlakon yang diperoleh Aini, dia mula mencuba nasib dan diterima menjadi seorang pelakon di studio Jalan Ampas yang baru sahaja dibuka semula selepas beberapa tahun Perang Dunia Kedua. Bayaran Aini ketika ini hanyalah $5 untuk sehari tau.
Aini selalu muncul dalam filem Melayu awal 1950-an dan memegang watak sebagai dayang istana serta orang gaji. Gaya lakonannya yang bersahaja serta raut wajahnya yang melucukan ternyata berjaya menghiburkan penonton pada waktu itu hinggalah sekarang.
Sudah berlakon lebih 70 buah filem!
Kerjaya Aini sebagai seorang pelakon freelance telah membuatkan dirinya sering dipanggil 3 studio filem lain seperti studio Cathay Keris. Bagaimanapun, sama seperti pelakon lain apabila sudah tua panggilan berlakon semakin kurang dan pada waktu ini mereka mula terhimpit.
Aini Jasmin mula hidup susah dan hilang tempat bergantung
Kemegahan filem Melayu Singapura mula suram pada tahun 1973. Pada waktu ini juga Aini sudah mula tidak dipanggil untuk berlakon dalam mana-mana filem lagi. Bagaimanapun hidup perlu diteruskan dan Aini menghabiskan waktunya bersama anak perempuan, Suriati Bakar di sebuah bilik yang terletak di Aljunied Crescent.
Aini semakin tidak sihat apabila disahkan menghidap penyakit kencing manis. Sumber pendapatannya ketika itu hanya bergantung wang bantuan jabatan kebajikan masyarakat yang berjumpa S$180 sebulan. Wang bantuan itulah yang digunakannya untuk membayar sewa bilik dan perbelanjaan sekolah anak.
Mesti ada yang bertanya, “Cukup ke S$80 tu nak guna belanja untuk sebulan?”. Memang tidak cukup dan disebabkan itu Aini dan anaknya terpaksa mengambil upah membasuh pakaian di rumah-rumah orang. Dia juga memerlukan wang yang lebih untuk menampung kos rawatan penyakitnya. Ada satu ketika, dia terpaksa merayu kepada doktor untuk mengurangkan bayaran kos rawatannya kerana kesempitan hidup.
Menghembuskan nafas terakhirnya pada tahun 1988
Pada 29 Jun 1988, tepat jam 7:40 pagi, Aini Jasmin dilaporkan meninggal dunia di Blok 109, Aljunied Crescent. Anaknya memaklumkan ibunya dibawa pulang ke rumah sehari selepas dirawat di Hospital Besar Singapura. Aini dirawat di sana selama sebulan akibat cedera terkena air panas. Sehari selepas pulang ke rumah Aini menghembuskan nafasnya yang terakhir dan dikebumikan di Pusara Aman, Singapura.
Itulah serba sedikit kisah seorang seniwati yang pastinya berjaya menghiburkan kita sehingga hari ini. Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang beriman. Al-Fatihah.
Kredit: Theklasik
+ Baca respon pembaca yang di Facebook dan Telegram Oh! Media.
Sayalah penulis sepenuh masa di Oh! Media yang selalu temani awak di saat susah nak tidur tu. Nak tahu apa yang terkini dan viral boleh cari nama abang ok!