Oh! Arena
KBS Mungkin Akan Tambah Bantuan Kepada Hakim Danish
Hakim Danish berpotensi terima bantuan tambahan KBS selepas berjaya raih podium Moto3 GP Itali di Mugello.
Kejayaan pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli meraih podium dalam perlumbaan Moto3 Grand Prix Itali di Litar Mugello nampaknya terus mencuri perhatian ramai pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Dr Mohammed Taufiq Johari berkata KBS tidak menolak kemungkinan untuk menyalurkan bantuan tambahan kepada pelumba berusia 17 tahun itu, namun segala keputusan masih perlu melihat kepada keutamaan dana serta komitmen sukan lain.
KBS fokus kepada pembangunan akar umbi

Menurut beliau, fokus utama kementerian ketika ini masih tertumpu kepada pembangunan atlet di peringkat akar umbi menerusi pelbagai program termasuk Impian ke MotoGP yang dijalankan bersama Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Yang paling penting ialah bagaimana kita membina atlet-atlet baharu sebelum mereka berkembang menjadi atlet elit.- Katanya.
Dalam masa sama, KBS menjelaskan kerajaan dan SIC memang sudah lama memainkan peranan dalam pembangunan sukan permotoran negara termasuk menyediakan bantuan kewangan kepada bakat muda tempatan.

Menurut beliau, kerajaan menyalurkan RM800,000 menerusi Geran Padanan Sukan manakala SIC pula menyumbang RM1 juta menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.8 juta untuk pembangunan sukan tersebut tahun ini.
Bagaimanapun, dana Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KAWASAN) telah diagihkan lebih awal bagi persediaan menghadapi beberapa temasya besar seperti Sukan Komanwel Glasgow, Sukan Asia Aichi-Nagoya dan Sukan SEA 2027.
Hakim Danish terus dapat sokongan

Walaupun begitu, KBS menegaskan mereka sentiasa terbuka untuk berbincang mengenai bantuan yang boleh diberikan kepada Hakim Danish dan atlet berpotensi lain yang mampu mengharumkan nama negara.
Malah, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Hakim Danish atas pencapaiannya di pentas antarabangsa dan berharap lebih ramai atlet seperti itu dapat dilahirkan menerusi program pembangunan sedia ada.

Untuk rekod, sebelum ini KBS mengesahkan tiada peruntukan khusus diberikan kepada Hakim Danish selepas pelumba itu kini bersaing dalam saingan Moto3 disebabkan kos tinggi dalam sukan permotoran.
Pssttt! Ohmedia rasa bakat macam Hakim Danish memang wajar terus diberi perhatian dan sokongan sebab bukan senang nak tengok anak muda Malaysia berdiri atas podium dunia. Harap lepas ni lebih ramai lagi pelumba muda berani kejar impian dan terus bawa nama negara ke peringkat lebih tinggi.
Kredit: Harian Metro
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.