Connect with us

Oh! Media

Sertu Ambulan Kerana Pekerja Kilang Proses Daging Khinzir

Umum

Sertu Ambulan Kerana Pekerja Kilang Proses Daging Khinzir

SOALAN:
Saya ingin meminta nasihat agama mengenai satu situasi yang berlaku di Jabatan Kecemasan kami baru-baru ini. Kami menerima seorang pesakit yang mengalami kecederaan di kaki setelah tersekat di mesin pengisar daging khinzir. Kami membawa pesakit tersebut dengan ambulan dan merawatnya di zon kritikal.

ADVERTISEMENT

Apakah tanda-tanda untuk kami perlu samak ambulan, tempat resusitasi dan peralatan yang digunakan? Jika perlu bagaimana untuk kami berbuat demikian?

JAWAPAN:
Ulama’ al-Syafi’eyyah dan al-Hanabilah telah berpandangan bahawa wajib menggunakan tanah bersama air pada menyucikan najis anjing, khinzir dan apa yang lahir daripada keduanya. Mereka beristidlal pada menyatakan pendapat itu dengan apa yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ
“Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan yang pertama (basuhan) dengan tanah.” [Riwayat Muslim (279) dan Ahmad (9511)]

Dalam riwayat-riwayat lain, menyebut “salah satu” dan “akhir basuhan” itu dengan tanah.

Mereka juga mengqiyaskan khinzir dengan anjing, kerana lebih buruk keadaannya dan diharamkan di dalam al-Quran berbanding anjing. Manakala ulama’ al-Hanafiyyah dan al-Malikiyyah berpendapat tidak wajib menggunakan tanah pada menyucikan hal itu (najis anjing atau khinzir).

Tanda-tanda yang perlu diperhatikan dalam bab menyucikan kawasan yang terkena najis ialah sifat ain najis itu sendiri yakni; bau, warna dan rasa. Ini bererti seseorang itu mengetahui sama ada dengan penglihatan, bau dan rasa bahawa berlaku perpindahan najis mughallazah yakni khinzir dan anjing kepada tempat-tempat yang suci seumpamanya, barulah kewajipan menyertu itu wujud.

Justeru, jika perkara itu berlaku secara tidak jelas kerana kesibukan merawat pesakit dan sebagainya, maka ia kembali hukum asal sama ada suci, atau bernajis disebabkan sumber najis yang lain seperti darah pesakit.

Imam al-Suyuti menyebut kaedah dalam kitabnya:

الِاحْتِمَالُ فِي وَقَائِعِ الْأَحْوَالِ يُسْقِطُ الِاسْتِدْلَالَ
“Jika berlaku kebarangkalian untuk peristiwa yang pelbagai, maka batallah istidlal (pendalilan untuk satu hipotesis hukum).”

Begitu juga dengan kaedah:

الْأَصْلُ فِي كُلِّ حَادِثٍ تَقْدِيرُهُ بِأَقْرَبِ زَمَنٍ
“Hukum asal bagi satu kejadian perlu dikembalikan kepada waktu yang paling hampir.”

Contohnya seseorang itu berwudhu’ dengan satu telaga selama beberapa hari sebelum dia sedar dalamnya ada tikus mati. Tidak wajib bagi dirinya untuk menggantikan solat sehinggalah dia yakin solatnya berada dalam keadaan najis.

Ini juga selari dengan kaedah al-istishab (yakni status quo suatu hukum itu kekal sehingga datang dalil yang menunjukkan sebaliknya) dan kaedah:

الْيَقِينُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ
“Suatu hukum yang dibina dengan keyakinan tidak akan dihilangkan hanya kerana keraguan.” [Rujuk al-Asybah wa al-Nazair (hlm. 50, 59 dan 263)]

Kaedah lain menyebutkan bahawa:

اليَقِينُ لَا يَزٌولٌ إَلاَّ بِاليَقِينِ
“Apa yang ditetapkan dengan yakin tidak diangkat melainkan dengan suatu yang yakin juga.”

Kaedah ini diguna pakai dalam mazhab untuk pelbagai kes. Antara masyhur ialah tentang hukum menerima keju dan pakaian yang masyhur dikatakan mengandungi unsur khinzir. Berkata Imam Ibn al-Solah dalam Fatawa-nya (1/221):

“(Beliau ditanya) masalah jukh (sejenis produk fabrik sutera), dikatakan bahawa orang Perancis menggunakan lemak khinzir dalam pembuatannya. Kenyataan ini popular, tetapi bukan melalui kaedah penyaksian secara langsung. Apakah dihukum dengan kenajisannya, atau kenajisan apa-apa yang terkenanya semasa keadaan basahnya, pada jalan-jalan atau selainnya, di samping hal itu umm balwa?”

Beliau (Ibn Solah) Radhiallahuanhu menjawab: “Jika tidak tahqiq (dipastikan secara langsung) pada diri orang yang ada di tangannya (akan jukh) itu akan kenajisannya maka tidak dihukum dengan kenajisannya, dan berpendapat dengan itu adalah sahih. Wallahua’lam.”

Berkata Syeikh Zainuddin al-Malibari dalam Fath al-Muin (1/105): “Dan jukh itu masyhur tentang proses pembuatan menggunakan lemak khinzir, dan keju Syam itu masyhur tentang proses pembuatan menggunakan enzim renet khinzir. Sedangkan telah dibawakan kepada (Rasulullah) SAW satu daripada orang Syam lalu baginda makan daripadanya tanpa bertanya tentangnya. Ini yang disebut oleh Syeikh kami (Imam Ibn Hajar al-Haitami) dalam Syarah al-Minhaj.”

Berkata Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari dalam Asna al-Matolib (1/26): “Dan jukh itu telah masyhur bahawa pemprosesannya menggunakan lemak khinzir; dihukum dengan suci.”

Jika berlaku berlaku keraguan dan kita ingin menghilangkan keraguan tersebut, hukumnya cukup kita basuh sahaja kawasan yang disyaki itu dengan air berdasarkan hadis Rasulullah SAW tanpa sertu yang diriwayatkan oleh Abu Tha`labah al-Khusyani yang bertanya kepada Baginda SAW:

إِنَّا نُجَاوِرُ أَهْلَ الْكِتَابِ وَهُمْ يَطْبُخُونَ فِي قُدُورِهِمُ الْخِنْزِيرَ وَيَشْرَبُونَ فِي آنِيَتِهِمُ الْخَمْرَ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنْ وَجَدْتُمْ غَيْرَهَا فَكُلُوا فِيهَا وَاشْرَبُوا، وَإِنْ لَمْ تَجِدُوا غَيْرَهَا فَارْحَضُوهَا بِالْمَاءِ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا
“Sesungguhnya kami berjiran dengan Ahli Kitab. Mereka biasa memasak daging khinzir di dalam periuk-periuk mereka dan biasa meminum khamar di dalam bekas-bekas mereka.” Rasulullah SAW menjawab: “Jika kalian dapat menggunakan (perkakas-perkakas) yang lain maka makan dan minumlah dalamnya. Jika kalian tidak dapat selainnya maka cucilah ia dengan air kemudian makan dan minumlah.” [Riwayat al-Bukhari (5161) dan Abi Daud (3839)]

Perintah membasuh bejana adalah sunat kerana ia mungkin telah tercemar disebabkan orang kafir menggunakannya untuk minum arak, makan babi dan sebagainya. Demikian juga hukum menggunakan pakaian mereka dan seumpamanya sama dengan hukum menggunakan bejana mereka.

Suka untuk kami maklumkan di sini, bahawa setelah tahqiq bahawa memang ada kawasan-kawasan yang dicemari najis khinzir, tetapi untuk membasuhnya secara tasbi` (tujuh kali basuhan) dan tatrib (mencampurkan air dengan tanah) akan menyebabkan kesukaran atau bahaya kerosakan pada peralatan contohnya, maka boleh bertaqlid kepada qaul kedua Imam al-Syafie seperti yang disebut oleh Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim (3/185):

“Adapun khinzir maka hukumnya sama seperti anjing pada isu ini (tasbi` dan tatrib). Inilah mazhab kami (pendapat muktamad Syafieyyah). Adapun jumhur ulama’ berpendapat bahawa khinzir, (penyuciannya) tidak memerlukan kepada basuhan tujuh kali, dan ini juga salah satu pendapat al-Syafie. Dalilnya jua kuat (disisiku, yakni al-Nawawi).”

Fakta ini juga disebutkan oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam Talkhir al-Habir (1/192) dan beliau mengatakan dalil yang menyokong pendapat Imam al-Nawawi itu ialah hadis Abu Tha`labah al-Khusyani di atas.

Kesimpulan

Berdasarkan fakta dan kenyataan di atas, kami menyimpulkan seperti berikut:

  • Wajib menyertu kawasan-kawasan yang terkena najis mughallazah seumpama khinzir yang terdapat pada ambulan dan bilik resusitasi jika secara pasti terdapat kesan-kesan kewujudan atau perpindahan najis itu, seperti daging, darah atau seumpamanya.
  • Sekiranya tidak dapat dipastikan atau keliru sama ada itu darah dan daging manusia atau khinzir, maka tidak wajib menyertu sebaliknya hanya sunat membasuh dengan air sahaja, seperti kes barang perkakas orang bukan Islam.
  • Sekiranya menyertu akan menyebabkan kesukaran atau kerosakan kepada peralatan, maka diharuskan untuk bertaqlid kepada pendapat kedua mazhab iaitu membasuhnya sekali sahaja.

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada penanya. Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas