Connect with us

Oh! Media

Penghantaran Makanan Kepada Orang Yang Tidak Berpuasa

Umum

Penghantaran Makanan Kepada Orang Yang Tidak Berpuasa

Soalan:
Apakah hukumnya seseorang yang berkerja sebagai seorang rider di mana-mana syarikat yang ada menyediakan food delivery (penghantaran makanan) yang menghantar makanan kepada orang yang tidak berpuasa?

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Bagi menjawab persoalan yang dikemukakan kami nyatakan firman Allah S.W.T yang berikut :

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
“Dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan.” [Surah Al-Maidah (2)]

Kata Imam al-Hafiz Ibn Katsir Rahimahullah dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini: “Dia (Allah S.W.T) melarang kamu dari saling membantu atas perkara yang batil serta tolong menolong atas perkara-perkara dosa dan sesuatu yang diharamkan.”

Kata Imam Ibn Jarir: “Dosa itu adalah meninggalkan sesuatu yang Allah perintahkan untuk ia dilakukan. Dan maksud Al-‘Udwan adalah melampaui batasan Allah di dalam agama kamu dan melampaui apa yang telah Allah fardhukan ke atas diri kamu dan selain kamu.” [Rujuk Tafsir Al-Quran Al-‘Azhim, Ibn Katsir (3/7)]

Oleh yang demikian, ayat ini adalah dalil yang sorih (jelas) dalam menyatakan pengharaman perbuatan membantu orang lain dalam melakukan perkara yang berdosa lagi haram.

Bahkan terdapat sebuah kaedah yang berteraskan kepada nas di atas yang menyebut:

إِعَانَةُ المَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ
“Membantu ke arah maksiat itu merupakan suatu maksiat.”

Justeru, menolong seseorang dalam melakukan sebarang perbuatan maksiat turut dianggap sebagai maksiat meskipun dia sendiri tidak melakukan perbuatan maksiat tersebut.


Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa perbuatan memberi makanan kepada orang yang sememangnya diketahui tidak berpuasa dengan sengaja adalah haram kerana ini membantunya melakukan maksiat iaitu meninggalkan puasa tanpa sebarang keuzuran syarak.

Adapun bagi seseorang yang berkerja sebagai penghantar makanan, sekiranya dia tidak mengetahui pesanan makanan tersebut diminta oleh orang yang berpuasa ataupun tidak, dia boleh sahaja menghantar makanan tersebut kepadanya. Ini kerana, terdapat beberapa kemungkinan seperti wanita yang dalam keadaan uzur syar’ie, orang yang sakit dan seumpamanya.

Manakala sekiranya seseorang itu mengetahui bahawa pesanan tersebut adalah dari orang yang tidak berpuasa dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran, maka tidak boleh menghantar makanan tersebut kepadanya.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas