Connect with us

Oh! Media

Hukum Doa Selepas Solat Jenazah

Umum

Hukum Doa Selepas Solat Jenazah

ADVERTISEMENT
Soalan:
Kita disuruh untuk menyegerakan pengurusan jenazah. Namun kebiasaan masyarakat kita selepas sahaja menunaikan solat jenazah, maka imam akan berdoa. Adakah ini dianggap sebagai melewat-lewatkan pengurusan jenazah?
Jawapan:
Umumnya, kita memang dituntut untuk menyegerakan proses pengurusan jenazah. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ
“Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.” [Riwayat Muslim (944)]
Imam Al-Nawawi dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata: “Pada hadis ini terdapatnya arahan untuk menyegerakan (pengurusan jenazah) disebabkan hikmah yang telah disebut oleh Rasulullah S.A.W.”
Kata beliau lagi: “Telah berkata para ashab kami: Disunatkan untuk bersegera dengan membawanya (jenazah) selama mana tidak tamat tempoh yang ditakuti buruknya jenazah.” [Rujuk Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (7/13)]
Sebahagian ulama memberikan ulasan berkaitan maksud bersegera dalam proses pengurusan jenazah dengan menyatakan anggaran tempoh perlaksanaannya. Ini seperti yang disebutkan oleh Syeikh Abu Abdillah al-Maliki: “Berkata sebahagian ulama, yang dimaksudkan dengan bersegera (dalam pengurusan jenazah) itu adalah tempoh yang meliputi proses pemandian jenazah, mengkafankan ia, (mensolatkan ke atas jenazahnya), memikulnya, serta berjalan bersama jenazah (ke perkuburan) dalam langkah yang tidak terlalu perlahan.”
Manakala berkaitan dengan perbuatan berdoa sesudah menunaikan solat jenazah, ia adalah dibolehkan dan tidak dianggap sebagai melewat-lewatkan proses pengkebumian jenazah.
Ini berhujahkan keumuman firman Allah S.W.T yang menyebut:
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanyakan kepadamu akan Aku maka katakanlah sesungguhnya Aku ini dekat. Aku menjawab seruan orang yang berdoa apabila dia meminta kepada-Ku.” [Surah al-Baqarah (186)]
Perkataan إِذَا dalam ayat إِذَا دَعَانِ adalah isim syarat yang merupakan antara lafaz yang membawa kepada makna umum. Justeru, doa-doa yang diminta selama mana ia tidak dilakukan pada tempat atau masa yang dilarang adalah dibolehkan bahkan dijawab oleh Allah S.W.T.
Penutup
Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa dibolehkan untuk berdoa kepada jenazah sesudah solat jenazah didirikan. Bahkan sebaik sahaja seseorang muslim itu meninggal dunia sehingga ke saat dia dikebumikan, keseluruhannya adalah masa untuk golongan yang masih hidup mendoakan keampunan, rahmat, serta kasih sayang Allah kepada jenazah tersebut.
Meskipun doa ke atas jenazah itu sudah terdapat di dalam solat jenazah, namun kebanyakan masyarakat setempat tidaklah menghafal keseluruhan doa-doa yang dianjurkan kepada si mati melainkan sekadar doa ringkas sahaja. Justeru, boleh bagi imam solat jenazah mengambil inisiatif membaca doa-doa yang warid lagi lengkap kepada jenazah di samping memgambil kesempatan memperdengarkan kepada para jemaah terhadap doa-doa tersebut.
Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas