Satu pencapaian yang membanggakan apabila atlet pelumba basikal negara, Dato’ Mohd Azizulhasni bin Awang berjaya menyumbangkan pingat buat Malaysia.
BACA: Olimpik Tokyo: Warga Israel ‘Perli’ Kedudukan Pingat Malaysia?
Hal itu selepas beliau menamatkan saingan di kedudukan kedua pada aksi final acara Keirin di Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebentar tadi.
Ia merupakan pingat kedua selepas kali pertama berjaya dibawa pulang oleh beregu badminton negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang menyumbangkan gangsa sebelum ini.
Azizulhasni sumbang pingat pada hari terakhir
Pada saingan yang berlangsung tadi, Azizulhasni berjaya menyumbangkan pingat pada hari terakhir buat kontinjen negara selepas pingat emas dimenangi oleh pelumba Great Britain, Jason Kenny.
Pecutan awal yang dilakukan oleh Jason telah ‘memerangkap’ semua pelumba sekaligus mempertahankan emas yang diraihnya di Olimpik Rio, Brazil.
Sementara itu, juara dunia 2020 dari Belanda, Harrie Lavreysen terpaksa akur dan berpuas hati meraih pingat gangsa apabila menamatkan saingan di tempat ketiga.
Biarpun Azizulhasni tidak berjaya mendapatkan emas, namun pingat perak yang diraihnya di Velodrom itu sedikit sebanyak memperbaiki pencapaiannya di temasya Olimpik yang lalu apabila meraih pingat gangsa pada waktu itu.
Berita gembira isteri hamil anak ketiga
Dalam kegembiraan rakyat Malaysia, terdapat satu perkara yang berjaya mencuri perhatian semasa temubual wartawan Astro Arena bersama pelumba negara itu.
Hal itu berlaku selepas wartawan memaklumkan bahawa Azizulhasni bakal menimang cahaya mata ketiga selepas isteri beliau disahkan mengandung.
Mendengarkan berita baik itu, Azizulhasni terus meluahkan rasa syukur dan bersujud selain turut mengalirkan air mata gembira mendengarkan perkhabaran itu.
Reaksi gembira itu dikongsikan oleh Astro Arena melalui laman Twitter rasmi miliknya sebentar tadi.
Beliau turut memohon maaf kerana tidak berjaya mendapatkan pingat emas selain turut berterima kasih atas sokongan yang diterimanya daripada rakyat Malaysia.
Netizen turut sebak
Meninjau pada ruangan komen, rata-rata netizen menzahirkan rasa bangga dengan kemenangan beliau selain turut sayu melihat reaksinya ketika mendengar perkhabaran baik itu.
Perjuangan Shah Firdaus wajar dipuji
Tidak lupa juga, perjuangan yang ditunjukkan oleh pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang terhenti di pusingan suku akhir.
Beliau gagal melayakkan diri ke pusingan akhir selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan terakhir meskipun dilihat berpotensi untuk mara pada awal saingan.
Pada saingan tersebut, hanya empat pelumba layak untuk melangkah ke separuh akhir dan tiada pusingan repechages pada aksi itu.
Walau bagaimanapun, sifat juang yang ditunjukkan oleh Shah Firdaus dalam aksi tersebut wajar dipuji biarpun mengalami kecederaan ketika aksi sebelum ini.
Kredit: Twitter Astro Arena I Kosmo!
+ Baca respon pembaca di Facebook dan Telegram Oh! Media