Oh! Arena
Aliana Mahu Buktikan Diri Di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026
Nurul Aliana Syafika mahu jadikan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 medan membuktikan dirinya selepas pulih daripada kecederaan serius.
Pernah melalui detik sukar hingga terpaksa berehat sepanjang musim 2025, Nurul Aliana Syafika Azizan kini kembali dengan satu misi besar membuktikan dirinya masih layak berada dalam skuad utama negara.
Pelumba berbasikal trek wanita dari Pulau Pinang itu melihat Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 sebagai peluang penting untuk kembali menunjukkan kemampuan, namun enggan terlalu yakin meskipun proses pemulihannya berjalan dengan baik.
Alhamdulillah, saya puas hati dengan persiapan sebelum ini, tetapi saya belum boleh betul-betul cakap yang saya sudah puas hati kerana masih perlu memberikan yang terbaik di sini.- Katanya.
Aliana berhati-hati elak kecederaan serius

Aliana turut mengakui kini lebih berhati-hati dengan keadaan tubuhnya selepas pengalaman kecederaan serius sebelum ini.
Untuk kecergasan dan bebas kecederaan, saya tidak boleh beri jaminan kerana benda itu kita tidak tahu. Harapnya tiada apa-apa yang serius.
Sekarang saya lebih berhati-hati kerana tidak mahu mengalami kecederaan serius lagi.- Katanya.
Fokus rebut tempat skuad utama

Saingan dalam skuad negara juga bukan mudah apabila empat pelumba perlu bersaing merebut tiga tempat bagi acara pecut berpasukan.
Namun, Aliana memilih untuk tidak terlalu memikirkan persaingan dalaman. Apa yang lebih penting baginya adalah memastikan dirinya berada pada tahap terbaik apabila peluang diberikan.
Pengalaman kemalangan pada Oktober 2024 ketika sesi memanaskan badan di Kejohanan Siri Trek Yayasan Sime Darby di Velodrom Nasional, Nilai turut mengubah pendekatannya terhadap latihan dan perlumbaan.
Ketika itu, Aliana mengalami gegaran otak sehingga tidak sedarkan diri selama 40 minit selain patah tulang rusuk, sekali gus memaksanya berehat sepanjang musim 2025.
