Oh! Negara
Akta Tahanan Rumah Sasar Kurangkan Kesesakan Penjara, Fokus Tahanan Reman
Akta Tahanan Rumah dicadang bagi mengurangkan kesesakan penjara dengan memberi fokus kepada tahanan reman.
Bila sebut tahanan rumah, mungkin ramai tertanya-tanya siapa sebenarnya yang bakal terlibat jika mekanisme ini diperkenalkan di Malaysia.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, cadangan itu sejak awal memberi fokus kepada tahanan reman yang masih menunggu perbicaraan, bukannya pesalah yang sudah disabitkan kesalahan.
Cadangan berkenaan juga bukan sesuatu yang baharu kerana sudah dibawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) sejak 2024.
Penjara Malaysia kini melebihi kapasiti

Keperluan mencari pendekatan lain timbul apabila 41 penjara di seluruh negara kini menempatkan kira-kira 93,000 penghuni sedangkan kapasiti keseluruhannya sekitar 75,000 orang.
Saifuddin berkata keadaan itu memerlukan satu kaedah yang lebih praktikal, selamat dan terkawal bagi mengurangkan tekanan terhadap sistem penjara negara.
Sejak 2024, saya telah membawa cadangan ini sebagai antara ikhtiar KDN untuk menangani isu kesesakan penjara, khususnya melibatkan tahanan reman yang masih menunggu proses perbicaraan.- Katanya.
Pesalah bukan terus dibenarkan duduk di rumah

Konsep yang dibincangkan adalah membolehkan tahanan reman yang memenuhi syarat tertentu ditempatkan di rumah sementara menunggu perbicaraan.
Namun, ia bukan bermaksud seseorang tahanan boleh terus dihantar pulang begitu sahaja. Pelaksanaannya akan tertakluk kepada kelulusan mahkamah selain pemantauan menggunakan peranti elektronik.
Kabinet juga telah memberikan persetujuan secara dasar kepada KDN untuk memulakan proses penggubalan undang-undang ini.
Matlamat asalnya kekal, mengurangkan kesesakan penjara dan memastikan sistem koreksional negara dapat diurus dengan lebih berkesan.- Katanya.
Kes jenayah berat pula dikenal pasti untuk dikecualikan daripada mekanisme berkenaan.
