Connect with us

Oh! Media

Demi Sesuap Nasi, Penghantar Makanan Tetap Gigih Meskipun Menggunakan Basikal

Oh! Inspirasi

Demi Sesuap Nasi, Penghantar Makanan Tetap Gigih Meskipun Menggunakan Basikal

Seorang pemuda nekad untuk menjadi penghantar makanan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Sekatan Pergerakan Penuh (SKP) meskipun dengan hanya menggunakan basikal.

ADVERTISEMENT

Muhammad Syamil Mansor, 19, berpegang dengan pendirian ‘asalkan rezeki ini halal’ telah menceburi bidang penghantar makanan ini sejak dua bulan lepas selepas mendaftar dengan sebuah syarikat khidmat penghantar makanan.

“Pada awalnya, saya cuba mendaftar sebagai penghantar makanan menggunakan motosikal. Namun disebabkan kuota sudah penuh, saya mengambil keputusan untuk menggunakan basikal pula.

“Ia adalah pengalaman yang bermakna kepada saya walaupun terpaksa melalui pelbagai cabaran dengan mengayuh basikal bawah terik matahari dan hujan, termasuk ketika Ramadan lalu.

“Begitupun, ia tidak menjadi masalah untuk saya memastikan pelanggan menerima penghantaran tempahan mereka pada masanya.

“Dengan berbasikal, saya hanya dapat membuat penghantaran dalam radius dua kilometer (km) dari sebuah pasar raya, di sini. Lazimnya dalam sehari, saya hanya menerima 10 tempahan, bermula dari jam 10 pagi hingga 5 petang,” katanya yang berasal dari Kampung Jalan Kemunting, Pasir Puteh.

Syamil berkata, basikal itu dibelinya dengan harga RM300 menggunakan hasil duit tabung dan dibantu oleh bapanya, Mansor Mahmud, 52.

Anak muda yang berkelulusan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) Teknologi Penyejukan dan Penyamanan Udara dari Kolej Vokasional Kuala Krai ini mahu membantu meringankan beban bapanya yang mengambil upah bekerja di kedai perkakasan manakala ibunya sebagai suri rumah.

“Meskipun pendapatan diperoleh tidak seberapa, ia dapat membantu meringankan beban keluarga, selain untuk tabungan kerana ini adalah pekerjaan pertama saya.

“Dalam keadaan sekarang, agak sukar mendapatkan pekerjaan lain. Justeru, tiada salahnya saya berbasikal mencari rezeki selagi ia adalah pekerjaan halal. Tambahan pula, saya masih kuat dan sihat tubuh badan,” katanya.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu turut mengucapkan terima kasih kepada pihak yang prihatin serta bersimpati melihat beliau bermandi keringat mengayuh basikal bagi menghantar tempahan pelanggan.

Kredit : BeritaHarian

Comments

Lagi dalam kategori Oh! Inspirasi

Ke Atas