Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan akan menghantar pegawai ke Washington bagi memulakan rundingan berhubung tarif balas 24% yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia.
Menurut laporan Sinar Harian, Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha diplomasi terbuka demi mempertahankan kepentingan ekonomi negara.
Kita akan menghantar pegawai kita ke Washington untuk memulakan proses dialog… masih ada ruang untuk menyesuaikan dengan pelaksanaan dasar.
Delegasi Malaysia dijadual berlepas akhir April
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengesahkan bahawa delegasi Malaysia akan ke Washington pada akhir April bagi rundingan tersebut.
Kerajaan komited untuk terus menyesuaikan diri dengan landskap perdagangan global yang sentiasa berubah, namun tetap mempertahankan strategi perdagangan pelbagai hala.
Malaysia mahu terus jadi rakan dagang kukuh AS
Anwar turut menekankan bahawa walaupun Malaysia mahu terus menjadi rakan dagang kukuh kepada AS, kerajaan juga tidak akan berdiam diri jika kepentingan negara terancam.
Beliau menyatakan rundingan ini bukan sahaja penting untuk menyelesaikan isu tarif, malah untuk mengukuhkan hubungan ekonomi Malaysia dengan pasaran utama lain seperti Eropah, Asia, Timur Tengah dan Afrika.
Eksport Malaysia bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi negara tetapi juga menyediakan pekerjaan berkualiti di AS.
Namun, beliau turut memberi amaran bahawa langkah seperti tarif balas boleh memberi kesan negatif kepada kedua-dua pihak.
#ApaKataOhmedia
Dalam dunia yang penuh cabaran ekonomi global, diplomasi dan rundingan menjadi kunci utama. Harapnya usaha ini bawa hasil positif buat rakyat Malaysia.