
Oh! Negara
Anwar Ibrahim Bakal Buat Pengumuman Besar Untuk Rakyat
Anwar Ibrahim bakal umum penghargaan luar biasa buat rakyat. Apa agaknya kejutan yang menanti?
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencuri perhatian ramai apabila memuat naik satu hantaran ringkas di Facebook yang menyatakan beliau akan membuat satu pengumuman besar tidak lama lagi.
Menurut hantaran tersebut, pengumuman ini adalah sebagai “penghargaan luar biasa” buat rakyat Malaysia, namun tiada butiran lanjut diberikan setakat ini.
Hanya tanda #MalaysiaMadani dan #BersamaMalaysiaku dimasukkan sebagai petunjuk kepada mesej yang bakal disampaikan.
Apa yang pasti, kenyataan ini membuatkan ramai rakyat tertanya-tanya, adakah ini berkait dengan bantuan tunai, subsidi tambahan, atau mungkin pengumuman istimewa menjelang Hari Kebangsaan yang bakal tiba?
Ahli Parlimen beri bayangan tentang pengumuman…
Ahli Parlimen Subang, Wong Chen pula memberi sedikit bayangan bahawa pengumuman itu mungkin berkait dengan pertemuan tertutup antara Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang berlangsung pada Isnin.
Saya sudah bercakap dalam pertemuan dengan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen PH. Saya sudah sampaikan apa yang perlu dikatakan, jadi tunggu berita selanjutnya.
Akan ada pengumuman dalam masa beberapa hari lagi.- Katanya menerusi satu hantaran.
Difahamkan juga, pertemuan Anwar bersama pimpinan PH itu adalah sambungan kepada sesi libat urus bersama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang berlangsung lebih awal, iaitu pada hari Jumaat lalu.
Topik yang dibincangkan termasuklah persiapan menghadapi sidang Parlimen yang akan datang serta isu-isu semasa yang memerlukan kerjasama antara parti pemerintah.
Namun, sama ada pengumuman tersebut hasil daripada sesi libat urus ini atau inisiatif lain masih menjadi tanda tanya.
Pssttt! Kalau tengok gaya Datuk Seri Anwar ni, memang suka beri kejutan last minute tapi semuanya demi rakyat. Apa pun pengumuman besar ni nanti, kita harap ianya benar-benar membawa manfaat buat semua golongan rakyat, bukan sekadar gimik politik.
Kredit: Sinar Harian
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Dapatkan kemaskini harian Oh! Media setiap hari terus di emel melalui langganan percuma di bawah.
