Connect with us

Oh! Media

Trailer & Sinopsis Filem Surf This Love: Gelora Juara

Umum

Trailer & Sinopsis Filem Surf This Love: Gelora Juara

ADVERTISEMENT

Filem yang ditunggu-tunggu untuk tahun 2018 antaranya ialah Surf This Love (STL) yang menampilkan barisan pelakon hebat seperti Shukri Yahaya, Christina Suzanne, Josiah Hogan, Ardell Aryana, dan Pekin Ibrahim.

Memulakan pengambaran pada tahun 2016 di Pulau Tioman dan Bali, filem ini menjadi harapan dan nafas baru kepada filem Melayu kerana mempertaruhkan filem berasaskan sukan Luncur Air dan berkonsepkan cerita tentang konflik setia-kawan dan kekeluargaan.

Industri filem di Malaysia memang perlukan sebuah filem yang berani membuat pembeharuan dan tidaklah terus-menerus membikin filem dengan konsep seram atau cinta semata-mata. Rakyat Malaysia mahukan pembaharuan!!

STL adalah cerita yang menyuntik elemen movitasi, jati diri, percayakan diri sendiri dan tidak pernah mengalah serta cinta. STL adalah filem sukan luncur ombak pertama yang diterbitkan di negara ini.

Trailer & Sinopsis Filem Surf This Love.




Billy (20an) bekerja dengan kakaknya, Siti (30an) sebagai pemandu pelancong di Pulau Tioman. Sejak kecil, Billy sangat suka dengan sukan surfing (luncur ombak) kerana dia mendapat sumber inspirasi dari arwah abangnya iaitu Bobby yang merupakan seorang juara luncur ombak yang terkenal. Selain Bobby, Mike Malaya (30an) dan Jimmy (30an) yang juga sahabat arwah abangnya juga handal dalam sukan luncur ombak, turut menjadi idola Billy.

Walaupun sangat obsess dengan sukan surfing sejak dia berusia 12 tahun hinggalah sekarang Billy tidak pernah betul-betul cekap dan handal bermain dengan surf board dan ombak. Pencapaiannya dalam sukan ini terbantut kerana arwah abangnya Bobby mati dalam satu pertandingan sukan luncur ombak di Bali. Manakala Jimmy yang masih berkawan dengannya hingga kini dan tinggal tidak jauh dari rumahnya juga enggan mengajarnya kerana Jimmy mengalami kecacatan di kaki.

Kesan dari kecederaan di kakinya dan juga sejak kematian Bobby, Jimmy bagaikan sudah ‘patah hati’ dengan sukan luncur ombak. Mike Malaya pula sejak kematian Bobby, dia telah merantau ke seluruh dunia bagi menyertai sukan luncur ombak. Maka terpaksa lah Billy terkial-kial berlatih surfing sorang diri tanpa tunjuk ajar sesiapa pun. Walaubagaimanapun, apa jua cabaran dan kesusahan, minat Billy dengan sukan ini tidak pernah luntur.

Cerita ini bermula dengan kehadiran seorang blogger yang cantik dari Kuala Lumpur iaitu Mia (20an) yang bertandang ke Pulau Tioman untuk membuat liputan tentang keindahan Pulau Tioman bagi bahan berita dalam blognya. Walaupun Mia pertama kali sampai Tioman dan hanya datang seorang diri, Mia tidak berdepan dengan sebarang masalah kerana di Tioman, Mia mempunyai seorang sahabat yang pernah belajar bersama-sama dengannya di universiti dahulu iaitu Lia (20an). Lia bekerja dengan abangnya Jimmy, yang mengusahakan sebuah café dan bengkel membaiki surf board.

Lia mencadangkan Mia mendapatkan khidmat pemandu pelancong bagi membawanya bersiar-siar ke seluruh Pulau Tioman kerana dia sibuk membantu abangnya menguruskan kedai. Pemandu pelancong yang dimaksudkan Lia adalah kawanya sejak kecil iaitu Billy.

Billy lah yang membawa Mia bersiar-siar seluruh pulau. Dari perkenalan singkat itu, Mia tertarik dengan perwatakan Billy yang kelakar dan bersahaja. Jauh dalam hati Mia, Mia kagum dengan kesungguhan Billy dalam sukan surfing walaupun Billy sering gagal. Bagi Billy pula, dia sudah mula jatuh hati pada Mia kerana Mia tidak seperti orang lain yang sering merendah-rendahkan cita-citanya.

Kini, selain dari menjadi juara luncur ombak, Billy mempunyai satu lagi impian, iaitu mahu memenangi hati Mia. Namun, hancur luluh hati Billy apabila mengetahui yang Mia sudah berpunya malah Billy lebih kecewa lagi apabila mengetahui teman lelaki Mia adalah Mike Malaya, idolanya selama ini. Terpaksalah Billy melupakan Mia dan menumpukan perhatiannya pada cita-cita asalnya. Kehadiran Mike Malaya ke pulau itu memberikan semangat baru kepada Billy. Billy menemui Mike Malaya dan dengan yakin dan bersemangat, meminta Mike Malaya mengajarnya cara-cara surfing yang betul.

Lebih menggembirakan Billy apabila Mike bersetuju untuk mengajarnya. Walaubagaimanapun, Mike Malaya tidak mengotakan janjinya. Mike hanya mahu mempermain-mainkan Billy semata-mata kerana Mike beranggapan bahawa Billy tidak mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang luncur ombak. Billy rasa terhina dengan perbuatan Mike Malaya dan sejak dari peristiwa itu, Billy tidak mengharap pada sesiapa lagi. Dia sudah hilang rasa hormat pada Mike Malaya.

Pada masa yang sama, Mike Malaya mahu melamar Mia di pulau itu. Mia agak terkejut dengan lamaran itu, akhirnya bersetuju dengan permintaan Mike untuk menjemput ahli keluarga kedua pihak bagi meraikan malam pengumuman tentang tarikh pernikahan mereka berdua. Mia merasa sedikit keliru dan walaupun dia bersetuju, dalam hatinya masih ragu-ragu dengan permintaan Mike. Lagi meresahkan keadaan apabila Lia jua turut mempunyai rasa yang sama (ragu-ragu pada mike).

Jimmy tidak gembira dengan kedatangan Mike Malaya ke pulau itu. Billy dan Lia hairan, kenapa dua sahabat itu kini dingin hubungan mereka. Lia dapat rasakan ada sesuatu rahsia besar yang pernah terjadi antara persahabatan ketiga-tiga juara luncur ombak itu. Rahsia hitam Mike akhirnya terbongkar apabila Jimmy merungkai satu sejarah antara Mike dan Bobby. Rupa-rupanya Jimmy tahu bahawa Mike adalah orang yang menyebabkan Bobby mati. Namun Mike tidak berganjak dari keegoannya, dia mempertahankan tindakannya itu sebagai satu perkara yang tidak salah. Ini menyebabkan Jimmy marah dan rasa terhina. Oleh kerana tidak tahan dengan hinaan Mike Malaya, Jimmy yang selama ini enggan mengajar Billy, berubah fikiran. Dia berjanji dan bertekad, akan memastikan Billy terus belajar dan handal meluncur di ombak seperti arwah Bobby dahulu.

Pada malam majlis pengumuman, Mike Malaya telah dimalukan oleh Mia. Hasratnya untuk melamar Mia bertukar menjadi peristiwa yang sangat memalukan. Mia bukan sahaja memutuskan perhubungan mereka berdua, malah memperkenalkan kekasih gelap Mike yang kini sedang hamil anak Mike sendiri. Kali ini Mike tidak dapat lagi lari dari kesilapannya. Mia yang selama ini memerhati segala perkara yang telah Mike lakukan telah menyedarkan Mike.

Pada akhirnya Billy dan Mia bagaikan kembali kepada saat pertama pertama mereka bermula. Billy kini ada segalanya, cinta dan semangat yang kuat. Ini membuatkan Billy lebih bersemangat untuk menjadi juara sukan luncur ombak, dan sekaligus memenangi hati Mia untuk dijadikan permaisuri hidupnya.


Billy – Shukri Yahaya

– Nama sebenar, Muhammad Razali Bin Mohktar
– Seorang yang sangat cintakan sukan luncur air.
– Tinggal dan bekerja di Pulau Tioman, sebagai pemandu pelancong.
– Mempunyai cita-cita untuk menjadi surfer terhebat seperti abangnya Bobby
– Mempunyai sifat tidak cepat mengalah
– Pantang dicabar
– Dalam percintaan, dia seorang yang sangat kekok dan “blur”

Mia – Christina Suzanne

– Nama sebenar, Mia Rosa Binti Azlan
– Merupakan seorang blogger yang menjadi reviewer lokasi pelancongan.
– Seorang yang sangat misteri dan banyak menyimpan rahsia
– Sifatnya yang tenang dan penyabar membuatkan lelaki senang tertarik
– Berpendirian tegas
– Perwatakan yang sukar di ramal

Lia – Ardell Aryana

– Nama sebenar,Nur Dahlia Binti Rosdi
– Salah seorang peluncur wanita di Pulau Tioman
– Mempunyai cita-cita menjadi peluncur yang hebat
– Berkawan baik dengan Billy sejak kecil
– Bersifat “curious cat” yang tinggi
– Seorang yang sangat berani dan lantang bersuara
– Kawan baik kepada Mia ketika kolej
– Seorang yang sangat baik hati
– Very protective

Jimmy John – Pekin Ibrahim

– Nama sebenar, Roznaimi Bin Rosdi
– Merupakan seorang peluncur lagenda di Pulau Tioman
– Salah seorang ahli peluncur Trio Malaya
– Bersifat sedikit tegas
– Mempunyai jiwa humor yang sinikal
– Sangat pandai dalam berkata-kata
– Diberi gelaran “Soul Surfer” kerana dia suka menjadikan Alam sebagai teman

Mike Malaya – Josiah Hogan

– Nama sebenar, Muhaili Bin John
– Merupakan seorang juara sukan luncur
– Bersifat “independent” dan “over the top”
– Salah seorang dari ahli peluncur Trio Malaya
– Pernah berkawan rapat dengan Jimmy dan Bobby
– Menyimpan satu rahsia yang besar tentang Bobby
– Suka mengambil kesempatan dalam percintaan

Bobby – Mustaqim Bahadon

– Nama sebenar, Muhammad Samsuri Bin Mohktar
– Abang kepada Billy
– Seorang surfer lagenda bertaraf dunia
– Salah seorang dari ahli peluncur Trio Malaya
– Seorang yang tenang dan cool
– Sangat suka buat kelakar

Siti – Syuhaida Abraz

– Nama sebenar, Siti Nahila Binti Mohktar
– Kembar dan kakak kepada Billy
– Menguruskan syarikat pelancongan di Pulau Tioman
– Seorang ahli perniagaan wanita yang sangat berkaliber
– Bersifat tegas, kasar dan sangat “protective” kepada keluarga
– Tidak mahu Billy mengikuti jejak langkah abangnya Bobby


STL akan mula menjengah pawagam di seluruh negara pada 22 Februari 2018.

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas