Connect with us

Oh! Media

Pujian Orang Ramai Atas Amal Kebaikan Yang Dilakukan Seseorang

Umum

Pujian Orang Ramai Atas Amal Kebaikan Yang Dilakukan Seseorang

SOALAN:
Kadang-kadang, saya melakukan amal kebaikan dan ada orang memuji saya. Tetapi tiada perasaan riak pada diri saya. Bagaimana isu ini?

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Pertamanya, setiap amalan mesti dilakukan dengan ikhlas dan diniatkan kerana Allah SWT semata-mata. Firman Allah SWT:

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّـهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” [Surah al-An’am (162)]

Ibn Kathir menjelaskan bahawa Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW agar memberitahu kepada orang-orang Musyrik yang menyembah selain Allah dan melakukan penyembelihan dengan menyebut selain nama-Nya, bahawa dalam hal tersebut Baginda Nabi SAW bertentangan dengan mereka. Kerana sesungguhnya solat Baginda hanya untuk Allah SWT semata-mata dan sembelihan yang dilakuannya adalah atas nama-Nya sahaja, yang tidak sekutu bagi-Nya. (Lihat: Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/337)

Syeikh al-Maraghi pula dalam menjelaskan ayat di atas menyebut bahawa ayat ini mencakupi segala amalan soleh yang merupakan tujuan hidup seorang Mukmin yang bertauhid dan simpanan buat matinya termasuk di dalamnya keikhlasan kepada Allah SWT, Tuhan semesta alam. Dari itu, seharusnyalah orang yang beriman menetapkan hatinya agar hidupnya hanya untuk Allah SWT, sementara matinya pun hanya untuk Allah SWT. Sehingga dia sentiasa ingin mengerjakan kebaikan melakukan amalan soleh dan memperbaiki setiap amalan yang dia lakukan; dan mencari kesempurnaan terhadap perbuatannya itu untuk dirinya dengan harapan menemui kematian yang diredhai oleh Allah SWT.

Beliau seterusnya menyimpulkan bahawa sesungguhnya ibadah itu dilakukan hanya kepada Allah SWT sahaja, Tuhan (yang menguasai) seluruh hamba, bahkan Dia adalah Pencipta mereka. Maka, sesiapa yang menghadapkan hatinya kepada Allah SWT dan juga selain daripada-Nya, sekalipun kepada hamba-hamba-Nya yang dimuliakan atau kepada makhluk yang dianggap agung, maka dia dianggap orang Musyrik. Allah SWT tidak akan menerima ibadah kecuali ibadah yang murni yang dihadapkan hanya kepada Zat-Nya Yang Maha Mulia. (Lihat: Tafsir al-Maraghi, 4/2106)

Firman Allah SWT lagi:

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّـهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ
“Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya.” [Surah al-Bayyinah (5)]

Sayyid Qutb menjelaskan: “Asas-asas agama Allah SWT secara umumnya ialah beribadat kepada Allah Yang Maha Esa, mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya, menjauhi syirik, mendirikan solat dan menunaikan zakat. Itulah agama yang benar. Pendeknya, ciri agama yang benar ialah aqidah yang bersih di dalam hati. Dan ibadat yang tulus ikhlas kepada Allah SWT itu adalah jurubahasa yang menterjemahkan aqidah tersebut. (Lihat: Tafsir fi Zilal al-Quran, 17/483)

Berkenaan dengan persoalan saudara, kami nyatakan bahawa itu adalah kurniaan Allah SWT kepada saudara. Hal ini berdasarkan sebuah hadith daripada Abi Zar R.A, katanya: Telah ditanya kepada Rasulullah SAW:

أَرَأَيْتَ الرَّجُلَ يَعْمَلُ الْعَمَلَ مِنْ الْخَيْرِ ، وَيَحْمَدُهُ النَّاسُ عَلَيْهِ ؟ قَالَ : تِلْكَ عَاجِلُ بُشْرَى الْمُؤْمِنِ
“Apa pendapatmu wahai Rasulullah, seseorang yang beramal kebaikan lantas orang ramai memujinya? Sabda Baginda SAW: “Itulah berita gembira bagi orang Mukmin yang disegerakan.” [Riwayat Muslim (2642), Ibn Hibban (366)]

Imam al-Nawawi menjelaskan: “Ulama’ berkata: Makna berita gembira ini secara langsung dengan kebaikan sebagai petanda keredhaan Allah dan kasih sayang kepadanya. Justeru, Allah SWT menjadikan orang ramai sayang kepadanya seperti hadith terdahulu. Kemudian diletakkan perasaan penerimaan orang ramai di muka bumi. Ini semuanya apabila orang ramai memuji tanpa menghina atau menyindir.” (Lihat: al-Minhaj, 16/189)

Ibn al-Jauzi menyebut: “Bahawa Allah SWT, apabila menerima amalan seseorang, maka dijadikan pada hati orang ramai untuk menerima amalan seseorang itu dan memujinya. Maka jadilah ia sebagai berita gembira dengan penerimaan. Ini sebagaimana apabila Allah kasih pada seorang hamba, maka dijadikan semua makhluknya kasih kepada seeorang itu. Ini kerana mereka menjadi saksi kepada-Nya di muka bumi. (Lihat: Kasyf al-Musykil, hlm. 245)

Imam al-Suyuti pula menyatakan: “Berita gembira yang disegerakan ini adalah sebagai dalil hal yang sama akan berlaku di akhirat.” (Lihat: Syarh al-Suyuti ‘ala Muslim, 5/556)

Justeru, pujian seseorang kepada kita bukanlah menjadikan diri kita lupa sebagai satu kurniaan Allah dan sentiasa mensyukuri di samping menjarakkan daripada sebarang riak serta ujub.

Semoga Allah kurniakan kepada saudara kebaikan hidup di dunia dan akhirat. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ طَهِّرْ قَلْبِي مِنَ النِّفَاقِ، وَعَمَلِي مِنَ الرِّيَاءِ، وَلِسَانِي مِنَ الْكَذِبِ، وَعَيْنِي مِنَ الْخِيَانَةِ، فَإِنَّكَ تَعْلَمُ خَائِنَةَ الأَعْيُنِ وَمَا تُخْفِي الصُّدُورُ
“Wahai Allah! Bersihkanlah hatiku dari nifaq, (bersihkanlah) amalanku dari perasaan riya’, (bersihkanlah) lisanku dari dusta, (bersihkanlah) mataku dari pengkhianatan. Sesungguhnya Engkau mengetahui pandangan mata yang khianat dan apa yang disembunyikan di dalam dada.”

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas