Connect with us

Oh! Media

Maksud Huruf Hija’iyyah Pada Permulaan Surah

Umum

Maksud Huruf Hija’iyyah Pada Permulaan Surah

Soalan:
Apakah sebenarnya maksud huruf-huruf hija’iyyah yang terletak di hadapan beberapa surah, contohnya “alif laam mim”, “alif laam ra” dan lain-lain?

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Terdapat sebanyak 29 surah di dalam al-Quran yang dimulakan dengan himpunan huruf hija’iyyah. Tidak diriwayatkan sebarang hadith daripada Rasulullah SAW yang menafsirkan maksud huruf-huruf hija’iyyah yang menjadi permulaan sebahagian surah dalam al-Quran.

Namun ramai para ulama’ yang menyatakan bahawa melalui kaedah penelitian secara istiqra (induktif) terhadap al-Quran, huruf-huruf ini merupakan satu isyarat yang mengingatkan bahawa al-Quran ini adalah digubah dari jenis huruf-huruf yang sama seperti huruf-huruf yang digunakan oleh orang-orang Arab yang ditujukan al-Quran ini kepada mereka; namun al-Quran itu ialah gubahan yang bermukjizat yang tidak dapat dilakukan oleh mereka meskipun menggunakan huruf-huruf yang sama.

Menurut Almarhum Syed Qutb, al-Quran ialah sebuah kitab yang mencabar mereka berkali-kali untuk mereka mencipta satu kitab yang setanding dengannya, atau sepuluh surah yang sama dengannya, atau satu surah yang setanding dengannya, tapi mereka tidak sesekali mampu menyahut cabaran itu. (Rujuk Tafsir fi Zilal al-Qur’an 1/33)

Kerana itu kebanyakan ayat selepas huruf-huruf hija’iyyah ini ialah berkenaan dengan al-Quran. Firman Allah SWT:

المص ﴿١﴾ كِتَابٌ أُنزِلَ إِلَيْكَ
“Alif Laam Miim Saad. (Al-Quran ini) sebuah Kitab yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad dari Tuhanmu)…” [Surah al-A’raf (1-2)]


الر ۚ تِلْكَ آيَاتُ الْكِتَابِ الْحَكِيمِ
“Alif Laam Raa’. Ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran) yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap teguh.” [Surah Yunus (1-2)]


طه ﴿١﴾ مَا أَنزَلْنَا عَلَيْكَ الْقُرْآنَ لِتَشْقَىٰ
“Taa’ Haa. Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan.” [Surah Taha (1)]


يس ﴿١﴾ وَالْقُرْآنِ الْحَكِيمِ
“Yaa Siin. Demi Al-Quran yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh.” [Surah Yasin (1-2)]

Ini juga pandangan yang dikemukakan oleh Imam Ibn Abi al-‘Izz dan Syeikh Muhammad Amin al-Syinqiti, di mana Allah SWT ingin menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW sebenarnya datang dengan membawa al-Quran dengan bahasa Arab, menggunakan huruf-huruf yang sama yang digunakan oleh kaum Arab, dan dalam keadaan itu pun mereka tidak mampu untuk menandingi al-Quran, sekaligus membuktikan kebenaran dan kemukjizatan al-Quran. Inilah juga pandangan Imam Fakhruddin al-Razi, Ibn Taimiyyah san Abu al-Haj al-Mizzi. (Rujuk Syarh al-‘Aqidah al-Tohawiyyah, hlm. 179 dan Adhwa’ al-Bayan fi Idhah al-Qur’an bi al-Qur’an 2/167)

Menurut Almarhum Syeikh Sa’id Ramadhan al-Buti, huruf hija’iyyah ini sebenarnya ialah khabar muqaddam kepada ayat yang seterusnya (predikat didahulukan ke atas subjek). Maka ayat pertama dan kedua surah al-Baqarah yang berbunyi:

الم ﴿١﴾ ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ
“Alif, Laam, Miim. (1) Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.”

Ia sebenarnya bermaksud “Kitab al-Quran yang tiada sebarang syak padanya, yang menjadi petunjuk bagi orang-orang bertaqwa ini, yang kamu bahaskan maknanya secara mendalam, sebenarnya terdiri daripada huruf-huruf hija’iyyah yang kalian gunakan dalam kehidupan seharian kalian.”[1]

Maksud setiap huruf hija’iyyah

Terdapat beberapa riwayat daripada salafussoleh yang mentafsirkan setiap huruf hija’iyyah pada permulaan surah. Imam al-Qurtubi menyebut didalam tafsirnya, bahawa diriwayatkan daripada Anas bin Rabi’, bahawa alif itu merupakan pemula nama-Nya (alif sebagai huruf pertama dalam kalimah Allah), huruf lam pula huruf pertama bagi nama-Nya al-Latif, dan mim pula huruf pertama bagi nama-Nya al-Majid.

Kata Muhammad bin Ka’ab pula: Alif itu bermaksud nikmat Allah SWT, lam pula kelembutan-Nya, dan mim pula kekuasaan-Nya. Diriwayatkan daripada Sa’id ibn Jubair, daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, bahawa maksud alif lam mim ialah “Aku ialah Allah Yang Maha Mengetahui”, alif lam raa’ bermaksud “Aku ialah Allah Yang Maha Melihat.” (Rujuk Tafsir al-Qurtubi 1/80)

Namun demikian, sekian ramai ulama’, antaranya al-Sya’bi, Sufyan al-Tsauri, Sa’id bin Masruq, Abu al-Laith al-Samarqandi, Abu Hatim menyatakan bahawa huruf-huruf ini merupakan rahsia Allah SWT di dalam al-Quran yang tidak diketahui sesiapa melainkan-Nya. Terdapat juga athar daripada Abu Bakar al-Siddiq dan Ali bin Abi Talib R.Anhuma, bahawa huruf-huruf ini perlu didiamkan tentangnya dan tidak ditafsirkan. Ini juga merupakan satu bentuk ujian daripada Allah SWT untuk menilai tahap keimanan dan kepatuhan kita terhadap segala ayat al-Quran yang diturunkan. (Rujuk Tafsir al-Qurtubi 1/154)

Sebahagian ulama’, contohnya Ibn Hazm, mengharamkan mana-mana Muslim daripada mencari makna bagi huruf-huruf hija’iyyah tersebut, kerana ia merupakan ayat mutasyabihat yang tidak diketahui maknanya melainkan Allah SWT. (Rujuk Al-Ihkam fi Usul al-Ahkam 4/124)

Kesimpulan

Tuntasnya, kami nyatakan bahawa huruf-huruf hija’iyyah pada permulaan sebahagian surah al-Quran adalah untuk mengingatkan bahawa al-Quran merupakan mukjizat yang agung daripada Allah SWT, maka kerana itulah pada kebanyakan tempat, ayat yang datang setelah huruf hija’iyyah ini ialah ayat yang membicarakan berkenaan al-Quran.

Adapun makna bagi setiap huruf yang digunakan, hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui tentangnya, dan kami berpandangan ia termasuk di bawah kategori ayat-ayat mutasyabihat yang tidak boleh diperdebatkan berkenaannya. Firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي أَنزَلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ مِنْهُ آيَاتٌ مُّحْكَمَاتٌ هُنَّ أُمُّ الْكِتَابِ وَأُخَرُ مُتَشَابِهَاتٌ ۖ فَأَمَّا الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ زَيْغٌ فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ابْتِغَاءَ الْفِتْنَةِ وَابْتِغَاءَ تَأْوِيلِهِ ۗ وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلَّا اللَّـهُ ۗ وَالرَّاسِخُونَ فِي الْعِلْمِ يَقُولُونَ آمَنَّا بِهِ كُلٌّ مِّنْ عِندِ رَبِّنَا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ
“Dia lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat ‘Muhkamaat’ (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat ‘Mutasyaabihaat’ (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) -adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama berkata: “Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami.” Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.” [Surah Ali ‘Imran (7)]

Menurut Imam Ibn Kathir, huruf-huruf yang disebut pada permulaan surah berjumlah 14 huruf: alif, laam, mim, sin, raa’, kaf, ha’, ya, ‘ain, tho’, sod, ha, qaf dan nun (ا ل م س ر ك هـ ي ع ط ص ح ق ن); dan apabila dihimpunkan, kita boleh jadikannya sebagai satu ibarat:

نص حكيم قاطع له سر
“Nas yang penuh hikmah yang mempunyai rahsia (yang tersendiri).” (Rujuk Tafsir Ibn Kathir 1/38)

Wallahu a’lam.

[1] Rujuk penjelasan beliau pada pautan: https://www.youtube.com/watch?v=2VDP1b2pOUk

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Makan


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas