Connect with us

Oh! Media

Korban: Ibadah Memburu Redha Allah

Umum

Korban: Ibadah Memburu Redha Allah

Korban adalah satu ibadah yang dilaksanakan pada hari raya Aidil Adha dan hari-hari Tasyriq. Bahkan Aidil Adha itu sendiri membawa erti sembelihan korban, iaitu dengan menyembelih binatang ternakan seperti kambing, lembu atau unta dengan syarat-syarat tertentu yang dilaksanakan setelah solat Aidil Adha.

ADVERTISEMENT

Menyembelih korban merupakan satu amalan yang sangat dicintai oleh Allah SWT untuk dilaksanakan pada hari raya Aidil Adha dan hari-hari Tasyriq. Sayyidatina Aisyah Radhiallahu Anha meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak ada suatu amalan pun yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Korban, lebih dicintai Allah selain dari menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan korban itu kelak di hari Kiamat akan datang berserta tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya, dan sesungguhnya sebelum darah korban itu menyentuh tanah, pahala korbannya telah diterima di sisi Allah, maka beruntunglah kalian semua dengan pahala korban itu.” (Riwayat al-Tirmidzi)

Oleh kerana itu, sesiapa yang berkemampuan hendaklah ia melaksanakan ibadah korban, sekurang-kurangnya bagi setiap keluarga satu sembelihan korban. Hukum pelaksanaannya adalah sunnah muakkadah, iaitu suatu sunnah yang sangat dituntut oleh Islam. Bahkan dalam satu riwayat bahawa Nabi SAW melarang orang yang berkemampuan yang enggan melakukan ibadah korban supaya tidak menghampiri musalla baginda. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang mempunyai kemampuan untuk berkorban, tapi dia tidak mahu berkorban, maka janganlah dia mendekati musolla (tempat solat) kami.” (Riwayat Ahmad)

Bagi sesiapa yang telah berniat untuk melakukan ibadah korban pada tahun ini, maka syariat Islam menganjurkan mereka supaya menyembelihnya sendiri atau menyaksikan penyembelihannya. Mereka juga disunatkan supaya tidak memotong rambut dan kuku sehingga selesai sembelihan korban dilaksanakan.

Diriwayatkan daripada Ummu Salamah Radhiallahu Anha bahawa Nabi SAW bersabda:

“Jika kamu telah menyaksikan anak bulan Zulhijjah dan kamu ingin berkorban, maka hendaklah orang yang ingin berkorban itu tidak memotong rambut dan kukunya.” (Riwayat Muslim)

Setelah sembelihan korban selesai, maka dua pertiga atau sebahagian besar hasil dagingnya yang masih segar itu hendaklah diagih-agihkan kepada fakir miskin dan jiran tetangga sebagai sedekah atau hadiah supaya sama-sama dapat merasai dan mensyukuri sebahagian dari nikmat kurniaan Allah SWT yang tidak terhingga ini.

Sesungguhnya terdapat banyak faedah dan pelajaran yang dapat diambil dan dihayati oleh umat Islam di sebalik pensyariatan ibadah korban ini. Antaranya, ibadah korban mengajar kita tentang pentingnya ikhlas dalam amalan. Dengan keikhlasan dan ketakwaan yang sebenar, maka keredhaan Allah SWT dapat digapai. Penyembelihan korban dan pengagihan dagingnya semata-mata tidaklah memadai, namun keikhlasan yang tulus ketika berkorban dan dalam segala amalan itulah yang dikehendaki oleh Allah SWT. Allah Ta‟ala berfirman dalam surah al-Hajj ayat 37:

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu.”

Ibadah Korban juga mengajar kita bahawa sesuatu amalan yang diterima oleh Allah SWT ialah amalan yang menepati ajaran Nabi Muhammad SAW.

Dalam penyembelihan korban ada tatacara atau syarat tertentu yang mesti dipenuhi. Iaitu binatang yang hendak dikorban mestilah binatang yang sihat, tidak cacat dan cukup umur. Bagi tujuan itu, melalui dokumen ‘Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban’, penganjur ibadah korban mestilah terlebih dahulu mendapat akuan pemindahan ternakan, sijil kesihatan veterinar dan permit penyembelihan luar daripada pihak berkuasa. Waktu penyembelihannya juga hendaklah dilakukan setelah salat Aidil Adha selesai. Al-Barra bin Azib Radhiallahu Anhu meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

“Siapa yang solat seperti solat kami dan menyembelih korban seperti korban kami, maka ia telah mendapatkan pahala korban. Sesiapa yang menyembelih korban sebelum salat Aidil Adha, maka itu hanyalah seperti sembelihan yang ada sebelum solat dan ia tidak dikira sebagai korban.” (Riwayat al-Bukhari)

Begitu juga pengagihan daging korban, ia hendaklah diagihkan dalam bentuk daging segar dan secara percuma. Bahkan kulitnya tidak boleh dijual atau diberi sebagai upah kepada pekerja sembelihan. Jika ketentuan di atas tidak dipatuhi maka sembelihan tersebut tidak menjadi ibadah korban seperti mana yang disyariatkan.

Pengajaran yang lain yang dapat dihayati dari ibadah korban ialah penyemaian sifat berkorban dan menginfakkan harta kesayangan semata- mata memburu redha Allah SWT. Dalam ibadah korban kita diperintahkan supaya mengorbankan binatang ternakan yang terbaik dan disayangi. Janganlah kita memilih-milih binatang korban yang murah harganya sahaja, ataupun sedikit dagingnya untuk dikorbankan. Manakala dagingnya pula tidak boleh dijual, tetapi hendaklah diagihkan secara percuma kepada yang berhak sebagai infaq pada jalan Allah SWT.

Sesungguhnya mengorbankan binatang ternakan yang terbaik dan disayangi kemudian menginfaqkan pula kepada fakir miskin dan jiran tetangga adalah sesuatu yang amat menguji keimanan kita, kerana naluri manusia yang sangat cintakan pada harta. Sebab itu, hanya orang yang teguh imannya dan tinggi takwanya sahaja yang mampu melaksanakannya dengan penuh ikhlas.

Ingatlah, harta yang diinfaqkan pada jalan kebaikan dan ketaatan, semakin banyak ia dikeluarkan akan semakin bertambah keberkatannya. Sebab itu kita dapati tiada seorangpun yang berkorban hartanya untuk ibadah korban, hidupnya menjadi papa dan miskin. Ingatlah janji Allah SWT melalui firman-Nya dalam surah Saba ayat 39:

“Dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan dia lah jua sebaik-baik pemberi rezeki.”

Abu Hurairah Radhiallahu Anhu meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

“Sedekah tidaklah mengurangi sedikitpun daripada harta.” (Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini berkata, bahawa kekurangan harta disebabkan infaq pada jalan Allah akan ditutup dengan keberkatannya atau ditutup dengan pahala di sisi Allah.

Sesungguhnya ibadah korban yang kita laksanakan saban tahun, dan yang kita laksanakan nanti, mengajak kita mengimbau kembali sejarah korban yang pernah dilakukan oleh dua putera Nabi Adam ‘Alaihi Salam iaitu Qabil dan Habil. Begitu juga tentang sejarah pengorbanan yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim ‘Alaihi Salam dan keluarganya. Kedua-dua peristiwa itu memberi pengajaran kepada kita betapa pentingnya mematuhi syariat Allah dengan melaksanakannya dengan penuh ikhlas serta pengorbanan sesuatu yang berharga dalam rangka memburu redha Allah SWT. Inilah pengajaran yang paling besar yang perlu diteladani dan dihayati oleh umat Islam di zaman kini.

“Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, Iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil): “Sesungguhnya Aku akan membunuhmu!” (Habil) menjawab: “Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa.” (Al-Maidah: 27)

Oleh: Jabatan Agama Islam Selangor
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media

Oh! Makan


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas