Connect with us

Hukum Mengaudit Kedai Yang Menjalankan Transaksi Arak Dan Rokok

Umum

Hukum Mengaudit Kedai Yang Menjalankan Transaksi Arak Dan Rokok

SOALAN:
Saya bekerja di syarikat perakaunan dan audit kedai runcit dan perniagaan kecil-kecilan. Apakah hukum saya bekerja sebagai juruaudit bagi kedai yang bukan Muslim dan kedai itu melakukan transaksi untuk arak atau rokok? Adakah saya termasuk di dalam golongan yang bersubahat melakukan aktiviti tersebut? Mohon penjelasan.

JAWAPAN:
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah: 90)

Berkenaan hukum rokok, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa merokok adalah haram. Ini juga adalah pandangan majoriti ulama’ dan Dr. Yusof al-Qaradhawi. (Rujuk: Min Hady al-Islam Fatawa Mu’asirah, 1/693-710)

Justeru bagi seorang Mukmin hendaklah dia bertaqwa kepada Allah dengan menghindarkan diri daripada melakukan apa-apa pekerjaan yang melibatkan arak mahupun rokok kerana pekerjaan itu menunjukkan keredhaan dan persetujuan kita dengan syarikat yang mengamalkan transaksi haram, oleh itu redha kepada perbuatan yang haram adalah termasuk daripada dosa (Rujuk: Fatawa Islamiah, 2/401)

Hal ini kerana pekerjaan tersebut termasuk dalam perbuatan tolong-menolong atas dasar maksiat dan kekufuran, dan hal ini dilarang di dalam Islam sebagaimana firman Allah:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلا تَعَاوَنُوا عَلَى الأِثْمِ وَالْعُدْوَان
“Dan hendaklah kamu tolong-menolong dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan kemungkaran.” (Surah al-Maidah: 2)

Berbalik kepada persoalan di atas, pekerjaannya adalah melakukan audit ke atas kedai runcit yang melakukan sejumlah transaksi yang halal namun antaranya melibatkan transaksi yang haram seperti arak dan rokok. Imam al-Suyuti ketika membincangkan kaedah umum fiqh:

اليَقِيْنُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ
“Keyakinan tidak dapat dihilangkan dengan keraguan.”

Beliau memasukkan sebagai faedah, huraian Syeikh Abu Hamid al-Isfirayni tentang kategori perkara syak yang tidak diketahui atau ditentukan sumber asalnya: “Seperti melakukan transaksi dengan orang yang majoriti hartanya bersumber perkara yang haram dan tidak dapat dipastikan harta yang diperolehi itu dari harta orang tersebut sumber haram, maka hukum transaksi jual beli itu tidak haram kerana ada kemungkinan halal dan sumber haram itu juga tidak dapat dipastikan, tetapi makruh mengambilnya kerana ditakuti terjatuh dalam perkara yang haram.” (Rujuk al-Asybah wa al-Nazair, 1/74-75).

Justeru, jika pendapatan seseorang itu bercampur antara yang halal dan haram maka menerima hasil daripada pekerjaan tersebut adalah makruh kerana tidak yakin pemberian itu datang daripada sumber yang haram.

Selain itu, berkenaan pekerjaan sebagai juruaudit, adakah ia termasuk di dalam golongan yang terlibat secara langsung dalam membantu pekerjaan yang haram? Mufti Taqi Uthmani ketika menjelaskan berkenaan isu pekerjaan sebagai juruaudit dalam transaksi riba mengatakan: “Pekerjaan meneliti, mengaudit dan merekodkan hasil laporan dari transaksi riba (yang sedia ada) telah terkeluar daripada golongan (yang dilaknat) ini.” (Rujuk: Seekers Guidance, http://bit.ly/2QS6AZI)

Justeru, pada pengamatan kami, kami cenderung mengatakan pekerjaan sebagai juruaudit tidak termasuk di dalam pekerjaan yang berinteraksi secara langsung dalam mengendalikan perkara-perkara yang haram seperti arak dan rokok. Hal ini kerana pekerjaan tersebut hanyalah berkaitan dengan tugas-tugas mengaudit maklumat dan data (auditing) serta membuat laporan (reporting) sebagaimana yang telah ditetapkan pihak pengurusan.

Kesimpulan

Justeru kami berpandangan dalam isu bekerja mengaudit transaksi di kedai runcit atau pasar raya yang melibatkan transaksi yang haram seperti arak, rokok dan seumpamanya:

  • Jika pekerjaannya melibatkan transaksi yang bercampur antara halal dan haram, maka mengambil pendapatan daripada hasil pekerjaan tersebut adalah makruh.
  • Jika pekerja itu terlibat langsung dengan perkara yang haram seperti membuat kontrak berkenaan pembelian dan penjualan arak, atau menjadi perantara untuk melakukannya seperti berunding dengan pelanggan atau mendorong kontrak untuk ditandatangani atau menandatangani bagi pihak syarikat arak maka hukumnya adalah haram.
  • Sebaiknya berusaha dengan sedaya mungkin untuk bekerja di bahagian atau premis yang tidak melaksanakan transaksi yang melibatkan perkara yang diharamkan.

Kami juga mencadangkan atau mencari pekerjaan yang tiada sebarang syubhah kerana ia bersifat lebih aman dan tenang jiwa. Benarlah sabda Nabi SAW:

فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَد اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ
“Barangsiapa yang memelihara dirinya daripada sebarang syubah maka sebenarnya dia telah menyelamatkan agama dan maruahnya.” [Riwayat Bukhari (52) dan Muslim (20)]

Justeru, dengan mencari-cari sumber yang halal dan menjarakkan diri daripada sebarang keraguan, maka sudah tentukan ia menatijahkan lagi kebaikan dan keberkatan dalam hidup. Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

To Top