Connect with us

Oh! Media

Hukum Mengambil Tempahan Katering Untuk Majlis Di Gereja

Umum

Hukum Mengambil Tempahan Katering Untuk Majlis Di Gereja

SOALAN:
Saya seorang yang berkerja sendiri dengan membuat katering makanan dan pernah mendapat tander daripada kawan yang bukan Islam saya untuk mengadakan satu majlis di dewan gereja. Bolehkah saya mengambil tander tersebut atau menolaknya?

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:

Jual Beli Dengan Bukan Muslim

Hukum jual beli pada asalnya adalah diharuskan, melainkan sekiranya terdapat perkara yang diharamkan. Ini seperti mana yang disebut di dalam kaedah fiqh:

الأصل في المعاملات الحل
“Hukum asal Muamalat itu adalah halal.”

Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyatakan, kaedah umum dalam jual beli bersama orang bukan Islam pada asalnya adalah dibolehkan seperti jual beli dengan orang Islam melainkan dalam hal jual beli yang bersangkutan dengan arak, babi dan bersamaan dengannya. (Lihat: al-mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 7/131)

Begitu juga perihal jual beli dengan golongan non-Muslim, ini seperti yang dilakukan Baginda SAW hadis yang diriwayatkan Sayyidatina Aisyah R.Anha:

اشْتَرَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ يَهُودِيٍّ طَعَامًا بِنَسِيئَةٍ، وَرَهَنَهُ دِرْعَهُ
“Rasulullah SAW membeli makanan dari orang Yahudi dengan pembayaran bertangguh dan menjaminnya dengan menggadaikan baju besi baginda.” [Riwayat al-Bukhari (2096)]

Kebenaran dan keharusan jual beli dengan non-Muslim di dalam semua keadaan melainkan jual beli kepada perkara kemaksiatan dan menegakkan syiar agama mereka.

Imam al-Nawawi di dalam syarah Muslim menyatakan, ulama’ bersepakat (ijma’) harus jual beli bersama ahli zimmah dan orang bukan Islam yang lain. Begitu juga tidak harus (haram) bagi seorang Muslim itu menjual senjata kepada musuh Islam yang memerangi Islam dan tidak boleh menolong mereka dalam menegakkan agama. (Lihat: Syarah al-Nawawi ala Muslim, 11/40)

Hukum Memasuki Gereja

Para Fuqaha’ berbeza pandangan berkenaan keharusan orang Islam memasuki tempat ibadat Non Muslim di antaranya:

• Mazhab Hanafi berpendapat makruh bagi seseorang Muslim itu memasuki biara dan gereja. Ini kerana tempat berkumpulnya syaitan.

• Mazhab Maliki, Hanbali dan sesetengah Mazhab Syafi’e berpendapat dibenarkan seseorang Muslim itu memasuki biara, gereja dan selainnya.

• Dan sebahagian Mazhab Syafi’e yang lain berpendapat tidak diharuskan bagi seseorang Muslim itu memasuki tempat beribadat non-Muslim melainkan dengan mendapat keizinan mereka.

(Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Quwaitiyyah, 38/155)

Selain itu, larangan memasuki rumah ibadat non-Muslim ketika hari perayaan mereka. Ini disebabkan Allah SWT murka tehadap perbuatan itu. Ini sepertimana athar yang diriwayatkan oleh Atha’ bin Dinar, berkata Sayyidina Umar R.A:

لاَ تَدْخُلُوا عَلَى الْمُشْرِكِينَ فِي كَنَائِسِهِمْ يَوْمَ عِيدِهِمْ، فَإِنَّ السَّخْطَةَ تَنْزِل عَلَيْهِمْ
“Janganlah kalian semua memasuki gereja-gereja orang musyrik pada hari raya mereka kerana kemurkaan (Allah) sedang turun kepada mereka.” [Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (18861)]

Dan di antara dalil yang mengharuskannya seperti athar dinukilkan oleh Ibn Qudamah, diriwayatkan oleh Ibn A’iz dalam Futuh al-Sham:

“Bahawa golongan Nasrani menyediakan jamuan makan ketika kedatangan Umar ke Sham lalu mereka menjemputnya. Umar bertanya: “Di mana (jamuan)?” Mereka menjawab: “Di dalam gereja.” Umar memutuskan tidak mahu pergi lalu berkata kepada Ali: “Pergilah kamu dengan orang lain, lalu makanlah.” Ali pergi bersama-sama orang lain, memasuki gereja dan makan bersama orang Islam yang lain. Ali terlihat patung-patung lalu berkata: “Apa salahnya jika Amir al-Mukminin masuk dan makan.” (Lihat: al-Mughni li Ibnu Qudamah, 7/283)

Bekerja Di Gereja

Berkenaan orang Islam berkerja di dalam gereja, jumhur para fuqaha’ berpendapat, tidak harus seseorang Muslim itu berkerja di gereja sebagai tukang kayu, perkerja pembinaan atau selainnya. Ini kerana membantu kepada kemaksiatan, membantu kepada tertegaknya agama mereka yang batil serta perkerjaan itu termasuk di dalam memuliakan agama dan syiar mereka.

Selain itu, mengikut pandangan mazhab Hanifah, sekiranya dia mengambil upah untuk berkerja di gereja atau mengimarahkannya, tidak mengapa ini kerana tidak berlaku maksiat pada perkerjaan itu sendiri.

(Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 38/158)

Dr. Wahbah Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan, mengikut pandangan Abu Hanifah, diharuskan seseorang Muslim itu mengambil upah atas dirinya, kenderaannya dan haiwannya kepada gereja. Dan pada pandangan mazhab-mazhab yang lain memakruhkannya kerana membantu kepada kemaksiatan. (Lihat: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 4/2688)

Kesimpulan

Berdasarkan dalil dan pandangan para fuqaha’ dapat disimpulkan disini:

• Secara umumnya jual beli dengan rakan non-Muslim pada asasnya adalah diharuskan melainkan dalam perkara kemaksiatan dan mendatangkan kemudharatan terhadap umat Islam. Dan urusan jual beli itu bukan bertujuan untuk ibadah yang dilakukan oleh mereka.

• Diharuskan memasuki rumah ibadat non-Muslim sekiranya mendapat kebenaran dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke 68.

• Jumhur fuqaha’ memakruhkan berkerja dengan mengambil upah daripada pihak gereja, ini kerana membantu kepada kemaksiatan serta perkerjaan itu termasuk di dalam memuliakan agama mereka.

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, mengambil tender untuk jamuan makan di gereja adalah dibolehkan sekiranya majlis itu tidak melibatkan secara langsung dengan kemuliaan, ritual dan perayaan agama mereka. Dan ia juga harus meneliti situasi dan keperluannya terhadap pengambilan tender tersebut.

Sebaiknya, walaupun terdapat perbezaan pendapat dikalangan fuqaha’, kami mencadangkan supaya keluar daripada khilaf adalah lebih diutamakan, seperti kaedah ada menyebut:

الخروج من الخلاف مستحب
“Keluar dari khilaf itu amat dituntut.”

Justeru, sebaiknya menolak pengambilan tender tersebut dengan cara yang baik, ini kerana supaya tidak bercampur dan bersubahat di dalam amalan ibadat agama mereka. Selain itu, sebaiknya memberi penerangan secara berhikmah berkenaan dengan hal ini. Ini kerana, perkara aqidah merupakan perkara yang darurat di dalam agama Islam. Dan diketahui urusan agama adalah perkara yang bersifat qati’e dan perlu diberi perhatian sebaiknya.

Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amin.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas