Connect with us

Hukum Makmum Berzikir Ketika Imam Membaca Surah

Umum

Hukum Makmum Berzikir Ketika Imam Membaca Surah

SOALAN:
Kalau saya tak faham surah yang imam baca ketika solat, saya boleh berzikir tak?

JAWAPAN:
Solat dari sudut bahasa bermaksud doa. Manakala dari segi istilah ia membawa maksud perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan yang khusus, yang dimulakan dengan takbir dan diakhiri dengan salam.

Secara umumnya, perkataan-perkataan di dalam solat itu terdiri dari tiga jenis yang berikut:

  • Bacaan Al-Quran
  • Zikrullah
  • Doa

Bacaan Al-Quran hanya dilakukan ketika dalam keadaan qiyam iaitu berdiri tegak. Ia makruh hukumnya apabila dibaca di dalam sujud dan juga rukuk. Manakala doa pula terasnya adalah ketika sujud. Meskipun doa turut ada dalam beberapa perbuatan solat yang lain, namun ia amat dituntut untuk dilakukan di dalam sujud kerana itulah keadaan paling hampir seseorang hamba dengan Tuhannya. Manakala zikrullah itu ada pada rukuk, i’tidal, serta beberapa tempat yang lain.

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami menyatakan bahawa dalam isu solat berjemaah, adalah menjadi tuntutan kepada makmum untuk menumpukan pendengaran terhadap bacaan-bacaan imam semasa qiyam. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
“Dan apabila dibacakan al-Quran maka hendaklah kamu mendengarnya dengan teliti dan diamlah mudah-mudahan kamu mendapat rahmat.” [Surah Al-A’raaf (204)]

Imam Al-Thabari dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini berkata: “Fokuskanlah pendengaran kamu kepadanya (bacaan al-Quran) supaya kamu dapat memahami ayat-ayatnya serta mengambil ibrah dengan peringatan-peringatannya. Dan diamlah kamu supaya kamu dapat berfikir serta mentadabburinya. Mudah-mudahan Tuhan kamu akan merahmati kamu disebabkan kamu mengambil perhatian akan peringatannya.” [Rujuk: Al-Jami’ al-Bayan, Abu Ja’far Al-Thabari (13/345)]

Demikian juga berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا وَإِذَا قَرَأَ فَأَنْصِتُوا
“Sesungguhnya dijadikan imam itu untuk diikuti. Maka apabila imam mengangkat takbir, bertakbirlah kamu dan apabila imam membaca (al-Quran), diamlah kamu.” [Riwayat Al-Nasa’ie (921)]

Beberapa tokoh besar dari kalangan ulama’ seperti Ibn Abbas R.A, Abu Hurairah R.A, Mujahid bin Jabr, Sa’id bin Jubair, Sa’id Ibn al-Musayyib, dan selain mereka menyatakan bahawa ayat ke-204 dari surah Al-A’raaf di atas merujuk kepada keadaan di dalam solat. Iaitu, seseorang yang mendirikan solat berjemaah hendaklah mendengar dengan teliti serta diam ketika imam membaca Al-Quran di dalam solat.

Imam Al-Mawardi rahimahullah pula menyebutkan bahawa solat itu meliputi perbuatan-perbuatan dan juga zikir-zikir. Manakala zikir ini terbahagi kepada tiga bahagian yang kami nyatakan seperti berikut:

  1. Zikir-zikir yang mana seseorang itu mengikut imam pada membacanya. Ini seperti takbir, tawajjuh, tasbih, dan tasyahhud.
  2. Bahagian yang makmum tidak mengikut imam dalam membacanya. Iaitu bacaan surah selepas al-Fatihah di dalam solat jahar. Maka makmum diam dan tidak membaca surah.
  3. Bahagian zikir yang berlaku khilaf padanya, iaitu bacaan surah al-Fatihah. Sekiranya solat itu adalah solat perlahan, maka wajib ke atas makmum untuk membaca surah tersebut di belakang imamnya. Sekiranya solat itu adalah solat jahar, adakah wajib untuk makmum membaca al-Fatihah? Maka ada dua pendapat Imam al-Syafi’e dalam isu ini. Mengikut qaul qadim, tidak dituntut untuk makmum membaca al-Fatihah manakala mengikut qaul jadid, menjadi tuntutan ke atas makmum untuk membaca al-Fatihah dan inilah pendapat yang sahih di dalam mazhab Al-Syafi’e.

[Rujuk: Al-Hawi al-Kabir, Al-Mawardi (2/141)]

Maka sesiapa sahaja dari kalangan makmum, apabila imam membaca surah maka dia tidak dituntut untuk membaca sebarang bacaan-bacaan lain daripada Al-Quran ataupun zikir. Bahkan dia dituntut untuk menumpukan pendengaran kepada bacaan imam di dalam solat. Jabir bin Abdillah R.A menceritakan bahawa suatu hari Rasulullah SAW sedang menjadi imam di dalam solat. Kemudian ada seorang lelaki turut membaca al-Quran di belakang baginda, lalu seorang lelaki lain menegah perbuatan tersebut. Selesai sahaja keduanya solat, mereka saling bertelagah lalu keadaan ini sampai kepada Nabi SAW, maka baginda bersabda:

مَنْ كَانَ لَهُ إِمَامٌ فَإِنَّ قِرَاءَةَ الإِمَامِ لَهُ قِرَاءَةٌ
“Sesiapa yang mempunyai imam maka sesungguhnya bacaan imam adalah bacaan buat dirinya juga.” [Riwayat Ibn Majah (850)]

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa seorang makmum itu sekiranya telah selesai membaca surah al-Fatihah, maka wajib untuk dia mendengar dengan teliti bacaan-bacaan imam semasa solat jahriyyah (yang dibaca secara kuat). Ini sama ada dia memahami bacaan imam atau tidak. Oleh itu, sekiranya dia menyibukkan dirinya dengan berzikir pada masa tersebut, maka hal ini menafikan tuntutan untuk mendengar dengan teliti dan diam saat al-Quran dibacakan, justeru ianya tidak dibolehkan. Semoga dengan usaha seseorang itu diam untuk mendengar dengan teliti serta niat untuk mendapatkan faedah darinya menghasilkan rahmat yang besar daripada Allah SWT.

Akhir kalam, kami berdoa semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

To Top