Connect with us

Oh! Media

Hukum Makmum Berwudhu’ Mengikut Imam Bertayammum

Umum

Hukum Makmum Berwudhu’ Mengikut Imam Bertayammum

SOALAN:
Apakah hukum saya mengikut imam yang bertayammum sekiranya saya mengetahui hal tersebut? Adakah solat saya sah atau saya perlu mengulanginya semula?

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Sabda Rasulullah SAW:

إنما جعل الإمام ليؤتم به فلا تختلفوا عليه
“Sesungguhnya adanya imam adalah untuk diikuti, maka janganlah kalian menyelisihinya.” [Riwayat al-Bukhari (805) dan Muslim (411)]

Jumhur ulama’ mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali menyatakan keharusan bagi makmum yang berwudhu’ mengikut imam yang bertayammum. (Rujuk: Hasyiyah al-Dasuqi, 1/341; Kasysyaf al-Qina’,1/465; Al-Ikhtiyar li Ta’lil al-Mukhtar, 1/50).

Hal ini berdasarkan peristiwa yang diriwayatkan:

اِحْتَلَمْتُ فيِ لَيْلَةٍ بَارِدَةٍ شَدِيْدَةِ البَرْد فَأَشْفَقْتُ إِنِ اغْتَسَلْتُ أَن أَهْلَك فَتَيَمَّمْتُ ثُمَّ صَلَّيْتُ بِأَصْحَابيِ صَلاَةَ الصُّبْحِ فَلَمَّا قَدِمْنَا عَلىَ رَسُول اللهِ ذَكَرُوا ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ : يَا عَمْرُو صَلَّيتَ بِأَصْحَابِكَ وَأَنْتَ جُنُب؟ فَقُلْتُ : ذَكَرْتُ قَوْلَ الله تَعَالىَ -وَلاَ تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُم إِنَّ اللهُ كَانَ بِكُم رَحِيْمًا- فَتَيَمَّمْتُ ثُمَّ صَلَّيْتُ فَضَحِكَ رَسُولُ اللهِ وَلَمْ يَقُلْ شَيْئًا
Daripada Amru bin Al-’Ash R.A bahawa ketika beliau diutus pada perang Dzatus Salasil berkata: “Aku bermimpi basah pada malam yang sangat dingin. Aku yakin sekali sekiranya aku mandi maka aku akan ditimpa kecelakaan. Maka aku bertayammum dan solat Subuh mengimami teman-temanku. Ketika kami tiba kepada Rasulullah SAW, mereka bertanyakan hal itu kepada beliau.” Lalu beliau bertanya: “Wahai Amru, apakah kamu mengimami solat dalam keadaan junub?” Aku menjawab: “Aku mengingati firman Allah SWT: “Janganlah kamu membunuh dirimu sendiri. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih kepadamu”, maka lalu aku bertayammum dan dan mendirikan solat.” (Mendengar jawapannya itu) Rasulullah SAW tertawa dan tidak berkata apa-apa.” [Riwayat Al-Hakim (1/117) dan Abu Daud (335)]

Justeru, hadith di atas menunjukkan taqrir (pengakuan) Rasulullah SAW dalam sesuatu peristiwa iaitu apabila beliau melihat sesuatu hal lalu mendiamkan serta tidak menyalahkannya.

Walau bagaimanapun, dalam mazhab Syafi’i para ulama’ menyatakan keharusan orang yang berwudhu’ mengikut imam yang bertayammum pada keadaan tertentu iaitu harus mengikut imam yang bertayammum sekiranya tidak diwajibkan ke atasnya (imam) untuk mengqadha solat tersebut. Adapun sekiranya imam itu bertayammum dan diwajibkan ke atasnya mengqadha semula solat tersebut maka hal itu tidak diharuskan.

Berkata Imam al-Nawawi: “Dan diharuskan solat orang yang membasuh kaki (ketika wudhu’) di belakang orang yang menyapu khuf, serta solat orang yang berwudhu’ di belakang imam yang bertayammum sekiranya imam tersebut tidak diwajibkan untuk menqadha solatnya seperti keadaan orang yang bertayammum ketika musafir ataupun tayammum orang yang mukim disebabkan oleh kesakitan atau luka dan seumpamanya dan hal ini yang disepakati dalam mazhab kami. Adapun sekiranya seseorang solat di belakang imam yang bertayammum dan diwajibkan untuk menqadha semula solatnya seperti tayammum bagi orang bermukim yang tidak menemukan air dan seumpamanya, maka wajib ke atasnya (makmum tersebut) untuk mengulangi semula solatnya mengikut pandangan yang sahih kerana hukum solat imam tersebut tidak sah dan keadaannya seperti orang yang berhadas.” (Rujuk: Al-Majmu Syarh al-Muhadzzab, 4/263)

Disebut di dalam kitab Fath al-Rahman: “Tidak diharuskan (bagi makmum) untuk mengikuti imam yang bertayammum yang diwajibkan ke atasnya untuk mengqadha solatnya, seperti solat Faqid al-Thahurain (orang yang terhalang dari menggunakan air atau debu tanah), atau orang yang bertayammum disebabkan cuaca yang sejuk atau orang yang bertayammum dalam keadaan bermukim kerana tidak menemukan air.” (Rujuk: Fath Al-Rahman Syarh Zubad Ibn Ruslan, 1/355)

Adapun mengenai keumuman hadith Amru Al-Ash sebelum ini, Imam al-Syubramalsi ketika menghuraikan tentang hadis tersebut menyatakan: “Adapun Nabi tidak memerintahkannya (Amru Al-Ash) dan para sahabat baginda untuk mengulangi solat mereka, kerana hal ini termasuk dalam bab -Ta’khir al-Bayan Ila Waqt al-Hajah- yakni melambatkan penerangan sehingga waktu yang ia diperlukan -dan ia adalah diharuskan, dan berkemungkinan juga bahawa Amru al-Ash sudah mengetahui tentang kewajipan menqadha solat tersebut, adapun mengenai sahabat-sahabat baginda, hal itu adalah berkemungkinan mereka tidak mengetahui tentang keadaan Amru Al-Ash (sedang bertayammum) ketika mengimamkan mereka dalam solat tersebut.” (Rujuk: Nihayah al-Muhtaj 2/168; Mughni al-Muhtaj 1/268)

Justeru, secara ringkasnya kami simpulkan masalah ini seperti berikut:

1. Hukum mengikut imam yang bertayammum yang diwajibkan ke atasnya untuk qadha solatnya adalah tidak diharuskan dan solat tersebut tidak sah serta wajib ke atas makmum untuk mengqadha solatnya. Di antara contoh bagi keadaan ini ialah:

  • Tayammum bagi orang yang bermukim kerana tidak menemukan air sekiranya tempat tersebut secara kebiasaannya tidak terputus bekalan air. Namun sekiranya seseorang itu tinggal dan bermukim di padang pasir atau kawasan gurun, maka hal tersebut diharuskan dan dia tidak perlu menqadha solatnya. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/268)
  • Orang yang bertayammum kerana cuaca yang terlalu sejuk serta tidak menjumpai alat pemanas air. Hal ini kerana cuaca yang sejuk hanya berlaku dalam tempoh tertentu dan bukannya sepanjang waktu. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/268)

2. Hukum mengikut imam yang bertayammum yang tidak diwajibkan ke atasnya qadha solatnya adalah diharuskan, dan solat tersebut sah dan tidak perlu qadha. Di antara contoh keadaan ini ialah:

  • Orang yang bertayammum kerana tidak menemukan air ketika musafir, kecuali dia menempuh perjalanan untuk maksiat. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/268)
  • Orang yang bertayammum kerana sakit atau luka samada ketika mukim atau musafir dan sekiranya dia berwudhu’ ia boleh menyebabkan kesakitan yang lebih teruk atau melambatkan proses penyembuhan. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/268)

Kesimpulan

Setelah meneliti perbahasan di atas, kami cenderung mengatakan bahawa hukum makmum yang berwudhu’ mengikut imam yang bertayammum adalah sah di sisi mazhab Syafi’e. Ini juga adalah pandangan jumhur ulama’.

Walau bagaimanapun, menurut Mazhab Syafi’e hukum makmum mengikut imam yang bertayammum boleh dipecahkan kepada 2 bahagian:

  • Sekiranya imam yang bertayammum itu diwajibkan ke atasnya untuk mengqadha solatnya maka ia tidak diharuskan dan solat tersebut tidak sah serta wajib diqadha solatnya.
  • Sekiranya imam yang bertayammum itu tidak diwajibkan ke atasnya untuk mengqadha solatnya maka ia diharuskan, dan solat tersebut sah serta tidak perlu diqadha.

Wallahu a’lam.

Semoga Allah memberikan kita semua kefahaman yang benar dalam beragama. Ameen.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas