Branded
Dari Pasaran Tempatan Ke Global, MITI & MATRADE Bantu Syarikat Malaysia Melakar Nama Di Persada Dunia
Oleh
“Eh, kau buka perniagaan ni, boleh pergi jauh ke?”
Kami yakin dan percaya, ayat di atas ini merupakan salah satu keraguan yang sering dilontarkan oleh orang sekeliling di saat korang merancang untuk buka perniagaan betul tak?
Percaya ataupun tidak, sebenarnya sehingga kini, banyak perniagaan Peniaga Kecil dan Sederhana yang telah berjaya, bukan setakat di pasaran tempatan, malah melakar nama di pasaran global.
Tapi, bagaimana? Kami diberi kesempatan untuk menemu bual dua buah syarikat yang pada awalnya bermula daripada kecil, kini telah melebarkan sayap di serata dunia. Kalau nak tahu, jom kami kongsikan.
Peneraju Tempatan & Pemain Global, Easy Pack Meluaskan Sayap Ke Pasaran Global
Setiap perniagaan pasti ada sebab dan tujuan ditubuhkan. Apabila ditanya kepada Encik Goh Toh Sin, Pengurus Besar Easy Pack Machinery Sdn Bhd, beliau berkata pada tahun 1991, tak banyak syarikat yang menawarkan servis serta membekal jentera pembuatan dan pembungkusan.
Pada waktu itu, Encik Yeoh Chee Min, Pengasas serta Pengarah Urusan Easy Pack Machinery Sdn Bhd, yang baru pulang dari pengajian di Australia menyedari bahawa perniagaan kilang kopi milik keluarganya serta peniaga lain menghadapi masalah untuk mendapatkan servis serta pembekal jentera yang baik.

Justeru, melihat peluang ini, Encik Yeoh mengambil inisiatif untuk menubuhkan syarikatnya, Easy Pack Machinery Sdn Bhd, dengan tujuan menyediakan perkhidmatan yang lebih baik, bagi kepuasan pelanggannya.
Kalau korang nak tahu, Easy Pack Machinery merupakan sebuah syarikat tempatan yang bukan saja menghasilkan robotik serta jentera automasi pemprosesan dan pembungkusan, mereka juga menawarkan solusi penyelesaian teknikal kepada pelanggan untuk bagaimana meningkatkan produktiviti pada masa yang sama mengurangkan kos produksi dengan justifikasi pulangan ROI yang cepat.


Salah satu penyelesaian solusi jentera yang ditawarkan adalah Project Turnkey, di mana berlainan jentera berlainan fungsi diintegrasi serta berkomunikasi antara satu sama lain untuk menghasilkan satu produk akhir daripada proses memproses bahan mentah hinggalah ke proses pembungkusan dengan menggunakan kepakaran jurutera tempatan
Bukan itu saja, mereka juga memberi idea penyelesaian dari segi penggunaan saiz gudang bahan mentah, aliran pengeluaran, sehingga proses akhir di gudang, di mana keseluruhan aliran proses tersebut mematuhi MESTI, GMP, Halal, ISO dan HACCP.
Situasi Pasang Surut Syarikat Yang Baru Berkembang
Walaupun begitu, setiap perniagaan pasti akan melalui situasi pasang surut. Menurut Encik Goh, antara cabaran terbesar yang dihadapi di saat awal perniagaan berkembang adalah dari segi eksport jentera ke luar negara, tenaga kerja serta kekurangan jurutera yang berkualiti dan efisien.

Kongsinya lagi, untuk membendung cabaran dari segi tenaga kerja dan jurutera, Easy Pack Machinery sentiasa menerima pelajar-pelajar intern dari Universiti tempatan dan pada masa yang sama memberi peluang dan ruang kepada mereka yang berkaliber serta berkemahiran, menilai semua orang sama rata, tak kira bangsa dan agama.
Selain itu, mereka juga mengajar dan memupuk disiplin, komitmen dan etika yang bagus dikalangan pekerjanya supaya syarikat tersebut dapat berdiri teguh di persada dunia, kerana apabila melangkah ke peringkat global, mereka harus bersaing dengan syarikat-syarikat gergasi selain kemahiran teknikal.
Kepentingan MITI Dalam Membantu Mengembangkan Perniagaan
Bila mempunyai matlamat dan tujuan yang kukuh, mesti kita nak perniagaan berkembang dan dikenali serata dunia betul tak?
Untuk pengetahuan, pelanggan pertama Easy Pack adalah daripada Oman, hasil bantuan daripada MATRADE, yang membantu dari segi perbelanjaan pameran dan insentif cukai, serta memainkan peranan penting dalam menggalakkan mereka untuk menembusi pasaran global.
Dengan adanya insentif tersebut, Easy Pack lebih yakin untuk melangkah jauh dengan bantuan MATRADE, dan kini telah berjaya mengeksport ke lebih 50 buah negara dan membina nama di kesemua 10 negara ASEAN, termasuk mengeksport produk canggih seperti penyelesaian robotik dan automasi ke Jerman dan Netherlands.
Dalam pada itu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) selaku Pengerusi Tonggak Ekonomi ASEAN bagi tahun 2025 turut memberi tumpuan kepada usaha menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), terutamanya melalui beberapa penetapan Keberhasilan Ekonomi Berkeutamaan (PED) seperti berikut:

Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA)
Protokol Kedua bagi Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) telah ditandatangani semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Oktober 2025. Versi baharu ATIGA ini merangkumi beberapa elemen baru untuk memastikan ATIGA kekal relevan dan mampu membantu komuniti perniagaan ASEAN dalam menangani isu-isu semasa. Antara elemen baru tersebut adalah seperti seperti barangan dikilang semula (remanufactured goods), perdagangan dan alam sekitar, perdagangan ketika krisis kemanusiaan, serta keterhubungan rantaian bekalan.
Penambahbaikan yang dibuat tersebut mencerminkan komitmen berterusan ASEAN dalam mengurangkan halangan bukan perdagangan, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada PMKS untuk menembusi pasaran serantau dengan lebih yakin.
Penambahbaikan ini mencerminkan komitmen berterusan ASEAN dalam mengurangkan halangan perdagangan, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada PMKS untuk menembusi pasaran serantau dengan lebih yakin.
Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA)
Pemuktamadan substantif DEFA pula memberi peluang kepada PMKS untuk menyertai ekosistem perdagangan intra-ASEAN yang lebih inklusif melalui rangka kerja bersepadu pendigitalan ekonomi.
DEFA dijangka menggandakan nilai ekonomi digital ASEAN kepada USD$2 trilion menjelang tahun 2030. Ia turut memberi sokongan kepada lebih 70 juta PMKS, iaitu sekitar 98% daripada keseluruhan perniagaan di rantau ini.

Selain itu, MATRADE juga merupakan tulang belakang yang sentiasa menyokong dan menawarkan bantuan praktikal di acara antarabangsa seperti pameran di Jerman, 2023, di mana Puan Zuhaila Akmar Mohd Sedek, Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE Frankfurt turut serta mempromosikan produk syarikat Malaysia di expo tersebut.
Secara ringkas, MATRADE memainkan peranan yang sangat penting dalam menggalakkan syarikat tempatan untuk mengeskport produk ke peringkat global.
Nasihat Easy Pack Untuk Peniaga Kecil & Sederhana
Saat ditemubual, Encik Goh sempat menyampaikan pesanan kepada peniaga-peniaga kecil di luar sana untuk sentiasa cuba yang terbaik dan berpandangan jauh, walaupun perkara tak semudah yang disangka, tapi tiada yang mustahil.
Paling penting, perlu sentiasa disiplin dan konsisten, serta perlu ada perancangan. Kalau tak merancang, bermakna korang merancang untuk gagal.
Bangkit Melawan Stigma, IDEALCARE Buktikan Produk Malaysia Mampu Tembusi Pasaran Global
“Untuk membina nama di pasaran global, peniaga harus ada kerajinan dan kecekalan”, ungkap Encik Heerman Haminnuddin, Pengarah Urusan Ideal Health Care Sdn. Bhd. (IDEALCARE) saat ditemubual.
Menerusi perkongsian, bapa beliau, Dato’ Seri Dr Haji Haminnuddin, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif IDEALCARE, adalah idola untuk diri beliau sebab sejak kecil lagi, bapa beliau telah menggalas tanggungjawab besar, memastikan keluarga keluar daripada kepompong kemiskinan.
Kalau korang nak tahu, hidup yang penuh ranjau mengajar Dato’ Seri Dr Haji Haminnuddin erti berdikari dan mencari rezeki, di mana ilmu dan pengalaman yang diperoleh membawa beliau jauh hingga ke UK, dan kembali ke tanah air dengan sebuah teknologi yang menjadi titik tolak kejayaan.
Pada 1996, melihat peluang dalam pasaran peranti perubatan yang dikuasai produk import, beliau mengambil risiko dengan menghasilkan produk yang setanding, malah lebih baik.

Justeru, dari situlah, IDEALCARE lahir dan kini menjadi antara syarikat pengeluar peranti perubatan Bumiputera terbesar di Malaysia, menghasilkan peranti perubatan berkualiti tinggi dan membekal kepada Hospital, Klinik dan Pejabat Kesihatan.
Stigma “Produk Buatan Malaysia Tidak Berkualiti” Jadi Antara Cabaran Terbesar
Antara cabaran dialami oleh syarikat ini adalah apabila negara menghadapi krisis kewangan, mengakibatkan mereka terpaksa membeli bekalan dengan harga yang tinggi, menyebabkan mereka menjual produk di bawah kos, sekali gus menjejaskan keuntungan.
Selain itu, syarikat ini sukar untuk menembusi pasaran tempatan kerana hospital-hospital lebih mempercayai jenama antarabangsa disebabkan mentaliti pengguna yang beranggapan produk tempatan kurang berkualiti.
Namun, dengan matlamat untuk menjadikan produk mampu milik dan mudah diakses, mereka terus berusaha dengan menjalankan aktiviti pemasaran secara langsung di hospital-hospital.
Sehinggalah satu ketika di mana Kerajaan telah mengiktiraf IDEALCARE untuk membekal pelitup muka sewaktu dunia dilanda pandemik Covid-19, menjadikan mereka salah satu daripada beberapa pembekal terbesar di Malaysia.
Peranan MITI & MATRADE Dalam Mempromosikan Produk Buatan Malaysia
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memainkan peranan penting dalam membantu syarikat tempatan seperti IDEALCARE berkembang maju. Bantuan ini diberikan melalui pelbagai agensi di bawah naungan MITI, salah satunya Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Untuk pengetahuan, MATRADE memainkan peranan besar, terutamanya dalam membantu mereka menembusi pasaran eksport.

Antaranya, MATRADE menyediakan geran seperti Geran Pembangunan Pasaran (MDG), mengatur misi perdagangan, dan pameran, serta membimbing mereka cara yang betul untuk mengeksport produk.

Hasilnya, IDEALCARE berjaya meluaskan pasaran ke 19 negara, serta kerjasama dengan MATRADE membolehkan mereka menyertai pameran kesihatan antarabangsa terbesar, Arab Health, di bawah Pavilion Malaysia.
Perasaan Takut Tak Seharusnya Ada Dalam Diri Peniaga
Sebelum kami akhiri temubual, Encik Heerman Haminnuddin sempat berpesan kepada peniaga-peniaga yang ingin memulakan perniagaan.
Kata beliau, berniaga memerlukan keberanian dan semangat, serta elakkan rasa takut dan anggaplah ia sebagai cabaran.
Selain itu, peniaga perlu cari inspirasi daripada usahawan berjaya dan kenali tujuan perniagaan dijalankan. Paling penting, jadilah seorang yang rajin dan cekal serta cintai apa yang dilakukan agar dapat terus bersemangat.
Tiada Yang Mustahil, Perniagaan Boleh Tembusi Pasaran Global Dengan Inisiatif MITI
Dengan bantuan dan panduan MITI, korang tak perlu risau untuk mengorak langkah, mengembangkan perniagaan di pasaran global.
Buktinya, dua syarikat yang kami telah temubual baru-baru ini telah berjaya mengembangkan produk mereka bukan sekadar pada peringkat ASEAN, malah serata dunia.
Selain itu, tahu tak MITI dan agensinya turut memudahkan proses permohonan insentif secara atas talian, yang memudahkan syarikat kecil dan sederhana (PKS) untuk mendapatkan bantuan tau.
Secara keseluruhannya, MITI telah melakukan tugas yang cemerlang dalam mempromosikan PKS, memberikan insentif yang dapat diakses, dan mempermudah cara untuk syarikat memohon bantuan.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi MITI, atau ikuti media sosial di Facebook dan Instagram.
Dulu Tak Suka Dunia Hiburan, Kini David Teo Penerbit Di Sebalik Lebih 100 Filem | Oh! Podcast Ep22
OH! MEDIA 21/01/2026 6:54 PM