Connect with us

Oh! Media

Adakah Cecair Kekuningan Dianggap Haid?

Umum

Adakah Cecair Kekuningan Dianggap Haid?

SOALAN:
Saya mengalami haid bermula darah kekuningan yang sangat sedikit (3-6 hari). Dan kadang-kadang ada hari tidak keluar. Seterusnya diikuti darah merah yang banyak kemudian berkurang sehingga habis (5-6) hari. Sebelum ini bermula darah merah selama 9-10 hari. Persoalannya, Adakah warna kekuningan yang hanya 2-3 titis tidak berterusan itu dikira awal permulaan haid? Hal tersebut berulang pada bulan seterusnya.

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Haid dari segi istilah syarak ialah darah tabi’i yang keluar daripada pangkal rahim perempuan ketika badannya sihat dalam tempoh tertentu. Kebiasaan warna darah ialah kehitaman, merah, kuning atau warna keruh seperti tanah atau air kotor dan berbau. [Rujuk: al-Wajiz fi al-Fiqh al-Islami 1:118 ]

Pendapat yang paling sahih dalam kalangan fuqaha’ Syafie ialah cecair warna kuning dan keruh yang keluar pada tempoh haid adalah termasuk dalam darah haid. [Rujuk: Minhaj al-Thalibin (88)]

Berikut riwayat berkaitan warna darah haid:

إِذَا كَانَ دَمُ الْحَيْضَةِ فَإِنَّهُ دَمٌ أَسْوَدُ يُعْرَفُ فَإِذَا كَانَ ذَلِكَ فَأَمْسِكِى عَنِ الصَّلاَةِ فَإِذَا كَانَ الآخَرُ فَتَوَضَّئِى وَصَلِّى فَإِنَّمَا هُوَ عِرْقٌ
“Jika darah haid, maka sesungguhnya ia adalah darah berwarna hitam yang dikenali. Jika ia bersifat demikian janganlah bersolat dan jika selainnya berwudhu’lah dan dirikan solat, kerana darah itu ialah darah penyakit.” [Riwayat Abu Daud (286)]

Riwayat Aisyah R.Anha dalam Sahih al-Bukhari (1/71) secara mu`allaq dan al-Muwatta’ (no.97):

كَانَتْ النِّسَاءُ يَبْعَثْنَ إلَى عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا بِالدُّرْجَةِ فِيهَا الْكُرْسُفُ فِيهِ الصُّفْرَةُ مِنْ دَمِ الْحَيْضِ فَتَقُولُ لَا تَعْجَلْنَ حَتَّى تَرَيْنَ الْقَصَّةَ الْبَيْضَاءَ تُرِيدُ بِذَلِكَ الطُّهْرَ مِنْ الْحَيْضَةِ
Dahulu, para wanita datang menemui Aisyah R.Anha dengan menunjukkan kain yang berisi kapas (yakni yang dimasukkan ke dalam faraj) yang padanya ada kesan kekuningan (kesan darah haid) lalu Aisyah berkata kepada mereka: “Janganlah kamu tergesa-gesa (untuk mandi dan bersolat) sehinggalah kamu melihat warna cecair putih pada kapas yang menunjukkan suci daripada darah haid.” [Rujuk: juga al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab (2/389) oleh Imam al-Nawawi]

Sementara, warna kekuningan atau keruh yang didapati bukan dalam tempoh haid atau selepas maksimum haid atau pada tempoh suci tidak dianggap haid. Ini berdasarkan hadith Ummu A’thiyah:

كنَّا لا نعدُّ الكَدرةَ والصُّفرةَ بعدَ الطهرِ شيئًا
“Kami tidak menganggap darah yang keruh dan kekuningan yang keluar selepas tempoh suci itu darah haid.” [Riwayat al-Bukhari (362)]

Majoriti fuqaha’ memberi makna hadith tersebut ialah warna kuning dan keruh dianggap haid hanya khusus pada tempoh haid. [Rujuk: Syarah Sahih Bukhari Li Ibn Battaal 1: (456)]

Seterusnya, darah yang keluar daripada rahim itu terputus-putus akan dianggap sebagai darah haid dengan syarat darah itu keluar mencukupi 24 jam selama masih pada tempoh sepanjang-panjang haid ialah 15 hari. [Rujuk: Sabila al-Muhtadin (1/139)]

Ini bermakna, cecair kekuningan atau keruh, mahupun warna darah merah yang tidak mencukupi syarat 24 jam, maka ia tidak dihukumkan darah haid. Atau dengan kata lain darah kurang 24 jam ialah darah istihadah atau darah fasad (rosak).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, warna cecair kekuningan yang keluar hanya titis-titisan dan terputus pada hari seterusnya adalah dianggap darah haid sekiranya keluar pada tempoh haid dan mencukupi atau lebih 24 jam selama masih pada tempoh 15 hari. Tambahan pula, titisan warna cecair kekuningan dianggap awal permulaan haid kerana selepasnya disusuli warna merah yang sememangnya warna darah. Sementara darah yang tidak keluar (naqo’) atau terputus selepas titisan kuning termasuk dalam fatrah haid (waktu haid).

Jadual berikut bagi situasi wanita tersebut (penanya) mengalami haid terputus-putus serta warna haidnya cecair kekuningan:

Tuntasnya, mengenalpasti warna-warna darah haid sangat penting kerana melibatkan perkara yang dilarang bagi wanita haid untuk melaksanakan ibadah seperti solat, puasa, iktikaf, tawaf, menyentuh dan membaca al-Quran. Akhir kata, semoga panduan tersebut dapat memberi manfaat kepada semua. Ameen.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas