Connect with us

Oh! Media

3 Band Jiwang Di Malaysia Yang Pernah Buat Ramai Wanita Histeria Suatu Ketika Dulu

Umum

3 Band Jiwang Di Malaysia Yang Pernah Buat Ramai Wanita Histeria Suatu Ketika Dulu

Suatu ketika dahulu, jika barat mempunyai band-band yang terdiri daripada lelaki-lelaki yang kacak dan bergaya seperti Backstreet Boys, N’Sync ataupun Westlife, kita di Malaysia juga tidak mahu kalah dengan band-band jiwang dari barat ini. Dengan menggunakan imej lelaki cute dan jambu, telah tampil beberapa band jiwang dari Malaysia pada awal tahun 2000 yang cuba memikat hati para gadis selain daripada menggunakan alunan muzik mereka yang mendayu-dayu yang bisa mencairkan hati para gadis.

ADVERTISEMENT

Selain itu, keunikan band-band ini ialah pada suara vokalis mereka. Bagi yang membesar pada tahun kegemilangan band-band ini, pasti mereka menyedari tentang suara ‘sengau’ yang dibawakan oleh vokalis setiap band ini. Walaupun ‘sengau’, itulah yang sebenarnya menarik para peminat untuk mendengar lagu-lagu band-band ini.

Band-band yang bakal disebutkan ini sudahpun melalui zaman kegemilangan mereka dan kini ada yang sudah tidak lagi meneruskan karier mereka dalam bidang muzik. Cuma, ada salah seorang artis daripada band-band yang bakal diceritakan ini masih aktif dan popular dikalangan peminat.

Tanpa membuang masa, jom kita lihat 3 band jiwang yang pernah popular di Malaysia suatu ketika dahulu.

Boboy

Band Boboy ini telah mula ditubuhkan dan aktif pada tahun 2001. Band ini terdiri daripada Naqiu selaku penyanyi utama dan selain itu ialah Bob, Didi, Achik dan juga Shah. Band ini bernaung di bawah label muzik New Southern Records (NSR).

Band ini mempertaruhkan genre pop untuk memikat hati para peminat. Vokalis utama band ini iaitu Naqiu, sebelum ini adalah juara dalam pertandingan Bintang Asli Negeri Johor pada tahun 2000. Selepas itu, Naqiu telah dilamar oleh NSR untuk bergerak bersama Boboy.


Antara lagu kumpulan Boboy yang paling popular ketika itu ialah ‘Episod Cinta’. Sehingga kini, lagu ini masih lagi menjadi siulan para peminat kumpulan Boboy. Band ini cuma mampu bertahan 4 tahun sebelum semua ahli kumpulannya membawa haluan masing-masing.

Naqiu sahaja yang masih aktif selepas itu dan sempat merakam dua album single sebelum beliau menyepikan diri dalam dunia hiburan tanpa sebarang khabar berita.

Q-Face

Band Q-Face ini dibarisi oleh anak-anak muda yang berasal dari tempat yang sama iaitu dari Batu Pahat. Ketika band ini ditubuhkan, kesemua ahlinya masih bersekolah dalam tingkatan 3 dan juga tingkatan 5.

Band ini terdiri daripada Fairuz (vokal), Angah (gitar utama), Noh (gitar kedua), Azan (bass) dan Qimie (drum). Band ini memainkan muzik dalam genre pop rock dan bernaung di bawah label muzik Musicmedia Sdn Bhd.


Lagu band ini yang paling hit dan masih diingati sehingga kini bertajuk ‘Izinkanlah’. Cuma, terdapat sedikit kejutan daripada band ini apabila vokalisnya, Fairuz, meninggalkan band ini selepas setahun aktif bersama dan digantikan dengan penyanyi baru iaitu Rozaini.

Di dalam kumpulan ini, hanya Fairuz sahaja masih aktif menyanyi dan masih menerima jemputan untuk membuat persembahan. Para peminatnya masih meminta beliau menyanyikan lagu ‘Izinkanlah’ setiap kali membuat persembahan.

New Boyz


Band ini adalah band yang paling popular di antara 2 band yang disebutkan di atas. Mula ditubuhkan dan aktif pada tahun 1999. Ahli asal kumpulan New Boyz ini ialah Tomok (vokalis), Jay (gitar utama), Lan (gitar kedua), Syuk (bass) dan juga Along (drum).

Kejayaan ulung New Boyz ialah apabila kumpulan ini mendapat anugerah platinum untuk album pertama mereka iaitu ‘New Boyz’ kerana album ini berjaya dijual sehingga 100,000 unit. Lagu dalam album ini yang paling hit dan menjadi siulan peminat pada ketika itu ialah ‘Sejarah Mungkin Berulang’.

New Boyz pernah tercalon sebagai kumpulan paling popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian pada tahun 2001 selain daripada dicalonkan dalam Anugerah Industri Muzik dan juga Anugerah Planet Muzik.

Barisan asal kumpulan ini tidak kekal lama dan saling bertukar ganti. Pemain bass asal iaitu Syuk telah digantikan dengan Zack, pemain drum, Along digantikan dengan Ristoe dan pemain gitar Jay digantikan dengan Rizz dan selepas itu Afiez. Kini, hanya Tomok sahaja kelihatan masih aktif dalam bidang muzik dengan gaya muzik yang sangat berbeza berbanding apa yang pernah New Boyz bawakan dulu.

Inilah dia 3 band yang mempertaruhkan muka ahli-ahlinya yang cute dan jambu untuk menarik perhatian para peminat terutama sekali para gadis selain daripada lagu-lagu mereka. Walaupun ada yang sudah tidak aktif, lagu-lagu mereka masih lagi didengari sehingga kini, terutama lagu-lagu hit mereka.

Tomok dari kumpulan New Boyz boleh dikatakan yang masih aktif hingga kini dan paling berjaya di antara yang lain. Tomok juga sudah mengubah cara nyanyiannya daripada sengau kepada yang lebih maskulin. Tomok sememangnya bijak mengikut peredaran zaman muzik masa kini.

+ Kredit: Mensive

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas