Sejak akhir-akhir ini, orang ramai mula menzahirkan rasa bimbang selepas berlaku fenomena peningkatan harga bahan-bahan mentah seperti sayur-sayuran yang dilihat tidak masuk akal.
BACA: 5 Peniaga Sayur Melaka Terima Notis Kerana Harga Naik Tak Masuk Akal
Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, harga sayuran bukanlah bersifat statik dan ia sentiasa berubah disebabkan beberapa faktor.
Bagaimanapun, pihaknya sedang giat menyiasat sama ada ia berpunca daripada pengeluar, pemborong, penjual atau orang tengah selain menyatakan kenaikan harga sayur itu hanyalah bersifat sementara.
CAP cadang tanam sayur sendiri, kurangkan beban masyarakat
Berhubung dengan perkara itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah memberikan cadangan agar orang ramai menanam sendiri sayur-sayuran di rumah.
Hal itu selepas menyedari kenaikan harga tersebut mungkin akan kekal sehingga tahun hadapan dan dengan cara itu sedikit sebanyak mampu mengurangkan beban masyarakat.
Menurut Pegawai Pendidikannya, N. V. Subbarow, menanam sayur-sayuran sendiri di rumah mampu menjimatkan kos serta mudah kerana ia tidak memerlukan ruang yang besar untuk ditanam.
Tumbuhan berbuah seperti bendi, terung, cili dan sayur-sayuran berdaun seperti sawi, kangkong, kalian, bayam dan tanaman saka pudina, pegaga, kesum dan selom boleh ditanam dengan mudah walaupun di balkoni.
Tambahnya lagi, masyarakat boleh menggunakan barang seperti karton susu, botol minuman dan sebagainya bagi tumbuhan yang mempunyai akar kecil, manakala tin biskut dan botol minyak pula untuk tumbuhan yang mempunyai akar lebih besar.
Sedang giat hasilkan baja vermi, bantu para ‘pekebun baharu’
Dalam pada itu, CAP juga dilaporkan sedang dalam proses mengeluarkan baja vermi dan penggalak tumbuhan dengan harga berpatutan bagi membantu para ‘pekebun baharu’.
Memulakan tanaman di rumah sendiri adalah berbaloi kerana akan memberi manfaat kepada seluruh ahli keluarga untuk menikmati sayur-sayuran segar dan bebas kimia.
Mereka yang tinggal di bangunan kediaman bertingkat yang mempunyai ruang terhad juga boleh mengamalkan taman bandar dengan berkesan selagi dapat memastikan tanaman mendapat cahaya matahari.
Selain itu, CAP juga akan turut mengadakan latihan pertanian semula jadi dan jika berminat, orang ramai boleh mendaftar di pejabat CAP atau menghubungi talian 04-829 9511 atau 012-537 4899.
Kredit: Kosmo!
+ Baca respon pembaca di Facebook dan Telegram Oh! Media