Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, nampaknya sengaja mahu mencetuskn ketegangan di Asia Barar selepas mengumumkan bahawa negaranya akan mengambil alih semenanjung Gaza dan bertanggungjawab terhadap pemulihannya.
Kami akan memiliki Gaza, menghapus bom yang tidak meletup serta senjata berbahaya, meratakan kawasan itu dan membersihkan bangunan yang musnah.- Kata Trump dalam sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, di Rumah Putih, Selasa lalu.
Trump turut berikrar untuk meratakan dan membersihkan sisa peperangan dan membangunkan semula kawasan yang musnah akibat konflik berpanjangan.
Trump cadang pindahkan rakyat Palestin ke negara lain…
Dalam kenyataan yang sama, Trump mencadangkan agar rakyat Palestin dipindahkan ke lokasi baharu yang disediakan oleh negara Asia Barat yang lain kerana menurutnya, Gaza tidak lagi sesuai untuk didiami.
Saya tidak fikir mereka patut kembali ke Gaza. Tempat itu tidak sesuai untuk didiami. Ia hanyalah timbunan runtuhan.- Ujarnya.
Apabila ditanya sama ada AS bersedia menghantar tentera untuk mengisi kekosongan keselamatan di Gaza, Trump tidak menolak kemungkinan tersebut.
Jika perlu, kami akan lakukan. Kami akan mengambil alih wilayah itu dan membangunkannya semula.- Tambahnya.
Sikap Trump yang menolak Gaza sebagai penempatan kekal untuk rakyat Palestin turut mencetuskan kebimbangan, terutama dalam kalangan negara jiran Israel yang sebelum ini enggan menerima pelarian Palestin.
Menurut CNN, pendekatan ini dijangka mendapat sokongan daripada ahli politik konservatif Israel yang mahu Tel Aviv bertindak lebih tegas ke atas Gaza.
Namun, ia juga berisiko menimbulkan ketegangan dengan pemimpin dunia Arab yang sebelum ini menolak rancangan pemindahan rakyat Palestin secara paksa.
Netanyahu tersenyum bangga ketika dengar kenyataan Trump…
Netanyahu, yang berada di Washington bagi membincangkan fasa seterusnya gencatan senjata di Gaza, dilihat tersenyum ketika Trump mengeluarkan kenyataan kontroversi itu.
Lawatan Netanyahu dijadual berlangsung selama beberapa jam dan termasuk sidang media bersama, yang bertujuan menunjukkan solidariti Trump terhadap Israel.
Trump turut mendakwa bahawa beliau memainkan peranan penting dalam perjanjian pertukaran tahanan dan gencatan senjata yang dicapai sebelum beliau memegang jawatan presiden.
#ApaKataOhmedia
Pemindahan rakyat Palestin secara paksa bukanlah jalan penyelesaian yang tak masuk akal kerana itu adalah tanah air mereka, tempat tumpahnya darah mereka untuk dipertahankan.
Apa yang dicadangkan Trump ini, sebaliknya hanya menambah kesengsaraan mereka. Sebagai masyarakat, penting untuk kita terus cakna terhadap isu ini dan menyokong usaha damai serta pemulihan hak asasi manusia bagi rakyat Palestin.